Maslina sangat bosan hari itu.
Pada petang Jumaat begini, sepatutnya dia sudah pulang ke kampung berjumpa kedua ibu bapanya di Johor Bahru. Tak ingin dia duduk di sekolah dan asrama yang sudah berusia hampir 100 tahun ini. Menyeramkan. Tetapi memandangkan banyak lagi kerja sekolah yang tidak siap, terpaksalah dia tinggal di asrama bersama 4 orang rakannya yang lain.
"Padan muka aku. siapa suruh tak siapkan awal-awal.". Marahnya pada diri sendiri.
Sebenarnya, bukan dia sahaja yang marahkan diri sendiri hari itu, tetapi ada beberapa lagi rakan sekelasnya yang turut terkandas tidak dapat pulang ke kampung. Dan mereka semua merancang untuk menyiapkan kerja sekolah secara grouping sewaktu prep malam nanti.
***
Sesudah habis separuh dari kerja sekolah, Maslina dan rakan-rakan bergegas menuju ke dewan makan. Selalunya selepas prep mereka akan singgah sebentar di kantin untuk membeli Coco Bar sebatang dua. Tetapi, kantin tutup pula hari ini, memandangkan sedikit sangat pelajar yang tinggal di asrama. Barangkali brader kantin sudah mencongak, tiada untung kalau dia buka kantin malam itu.
Sampai di dewan makan, mereka dihidangkan dengan biskut kering cap Ping-Pong, dan air teh kurang manis. Duduklah mereka berenam di meja dewan makan, mencicah biskut sambil memandang muka masing masing.
Ah bosannya!
Waktu berlalu sangat lah lambat bila tiada apa yang hendak dibuat. Maslina sudah tidak tahan lagi. Dia mesti melakukan sesuatu untuk memecahkan kebosanan, sekurang-kurangnya untuk hari ini.
"Wei kawan, aku ada satu idea untung menghilangkan boring kita malam ni."
"Nak ajak buat mende? Baling selipar?" Tanya Wani, budak Terengganu yang tak mengaku Terengganu.
"Kita main spirit of the coin nak?"
Semua terdiam.
"Biar betul kau ni Ina?" Wani bertanya semacam takut-takut.
"Ye la, habis nak buat apa lagi.." ujar Maslina mangharap rancangannya menjadi.
Semua budak masih lagi terdiam.
***
Maslina membentangkan kad manila berbentuk segi empat tepat yang baru dicontengnya tadi. Ada huruf A hingga Z. Kemudian di bawahnya pula ada nombor 1,2,3 hingga 0. Kemudian Maslina menulis lagi perkataan 'Yes' dan 'No' di bahagian atas kad manila, dan perkataan 'Goodbye' di bahagian bawah sekali. Dan perkataan 'Home' di tengah-tengah.
Lampu bilik ditutup. Kemudian Aina, budak Melaka yang mengaku Melaka memasang lilin untuk menambahkan lagi thrill. Mereka duduk bersila mengelilingi kad manila tersebut.
Maslina menghulur tangan kepada Wani. "Mana?"
Dengan muka masam, Wani menyerahkan duit syiling zaman penjajahan British yang memang sentiasa terselit di dalam dompetnya. Pemberian dari ayah tersayang.
Maslina meletakkan syiling tersebut di tengah kad manila. Dia mengarahkan semua rakannya menyentuh syiling tersebut.
"Ingat, jangan siapa lepaskan jari dari syiling ni tau, sebelum habis game ni. Kalu tak, naya kita."
Dia yang agak biasa dengan permainan ini mengetuai pembacaan mantera:
Spirit, spirit of the coin.
Spirit, spirit of the coin.
Spirit, spirit of the coin.
Please come out and play with us.
Mereka beramai-ramai membaca mantera tersebut berulang kali. Masuk sahaja ulangan mantera yang kelima, syiling tersebut bergerak tak tentu hala di atas kad manila kemudian kembali ke tanda Home.
"Woi, siapa gerakkan syiling ni. Jangan main-main woi." soal Wani separuh menjerit. Cuak juga syiling tu bergerak sendiri.
Masing-masing menggelengkan kepala. Nelly, budak seterengganu dengan Wani sudah berkaca matanya. Jelas ketakutan sudah melanda dirinya.
"Rilek, Nelly. Rilek.." Sungguh tenang Maslina mengawal keadaan.
"Spirit spirit of the coin, siapa nama kau?"
Syiling bergerak ke huruf J-I-N-A.
"Jina?" Syiling berlari ke tanda 'Yes'.
"Berapa umur kau?"
Srett..syiling bergerak ke nombor 9-8 sebelum kembali ke tanda Home.
"98 tahun? Tuanya kau!" Wani mengolok 'Jina' tetapi syiling tidak bergerak. Mungkin ia serius.
Semua orang sudah semakin seronok dan berani.
"Nelly, kau tanya pulak lah!" arah Maslina.
"Erm..Jina. Kenapa kau mati?" tanya Nelly takut-takut.
J-A-T-U-H
"Eh, jatuh dari mana pula?"
Syiling tidak bergerak.
"Jatuh dari mana, Jina?"
K-O-R-I-D-O-R. Semua terdiam.
"Kau tinggal di mana?"
Syiling bergerak lagi. H-O-S-T-E-L.
Maslina tiba-tiba cemas. Janganlah Jina kata dia dari asrama sini.
"Hostel mana ni Jina? Jauh kan?" Maslina mengharap jawapan yang positif.
Syiling bergerak ke tanda 'No'.
"Habis hostel mana pula?"
Syiling bergerak dengan laju S-I-N-I.
Masing-masing sudah cuak. Wani mencadangkan supaya mereka berhenti bermain sebelum apa-apa terjadi.
"Jina" Maslina bersuara lembut. "Kami dah tak nak main dah. Kau boleh balik ye?"
Syiling tak bergerak.
"Jina, please.." rayu Maslina. hendak melepaskan jari, tidak boleh. Masing-masing sudah lenguh.
Syiling masih diam.
"Jina.." belum sempat Maslina mengahabiskan cakap, syiling bergerak ke tanda 'No'. Terkedu semua.
"Jina, tolonglah. Kami janji tak akan kacau kamu lagi." Ujar Wani sambil kepit kaki nak tahan kencing.
Berulang kali mereka merayu kepada syiling itu, tetapi Jina masih mahu 'bermain' dengan mereka. Setelah puas dirayu, tiba-tiba syiling tersebut bergerak ke arah 'Goodbye'.
Ah leganya. Masing-masing melepaskan jari dari syiling tersebut. Maslina mengibas-ngibas tangnnya tanda lenguh. Wani pula berlari ke tandas untuk membuang air. Nasib baik Jina beralah tadi.
Sekembalinya Wani dari tandas, dia terus duduk bersimpuh di hadapan kad manila tersebut. Mukanya pelik dan sedikit pucat.
"Kenapa pula dengan kau ni Wani?" ujar Maslina.
Wani memandang tepat ke arah Maslina. Kemudian dia tersenyum nipis. Kemudian dia bersuara seperti seorang tua:
AKU TAK NAK BALIIIIIIIK!!!
Maslina kaget lantas berlari laju merempuh pintu bilik. Sementara Wani mengejarnya sambil ketawa besar.
***
Subuh itu warden bertugas dikejutkan dengan berita gempar. Dua orang pelajar kelihatan terbaring di laman hostel. Seorang lagi terperosok di dalam longkang. kepalanya hancur teruk. Mereka dipercayai jatuh dari tingkat 4 asrama.