setegram

Instagram

30.9.13

GIG DI MUAR

Teringat sekitar 1999, pada suatu hari Sabtu, gua dan rakan segig, Cipan menghadiri satu gig yang diadakan di lounge Hotel Pelangi, Muar. Waktu itu, untuk mengorganize sesuatu gig, agak sukar. Bilangan gig yang diadakan di bandar seperti Muar pula hanya boleh dikira dengan sebelah tangan, dua belah tangan kalau nasib baik.

Jadi, apabila satu-satu gig itu dianjurkan, responnya sangat tinggi. Berbondong-bondong budak-budak sekolah rata-rata berumur 15-17 tahun mengunjungi gig tersebut. Ini adalah pertama kali gua menghadiri gig yang diadakan di lounge hotel. Entah organizer mana yang kaya boleh tempah di sini. Selalu aku pergi di kelab-kelab malam yang dah nak bankrap je.

Menaiki lif ke tingkat tujuh dengan budak-budak bergaya rambut punk dan steel toe, memang terasa peliknya memandangkan lif tersebut selalunya dimonopoli oleh pakcik-pakcik berbaju batik.

2.00 petang gua sudah terpacak di hadapan pintu lounge. Besar nak mampus dewannya. Buat pogo / mosh memang puas gila. Gig kali ini menghimpunkan band-band Hardcore dan Skinhead dari Muar dan sekitarnya. Memang gamat. Dengan rm20, kalu boleh melepasi dewan tersebut disertai dengan 1 soft drink. Bila fikir balik, mahal juga gig dulu-dulu ni. Sekarang rm10 boleh masuk sekaum rasanya.

Band demi band membuat persembahan, badan gua pun dah naik berlengas berpogo dengan umat lain. Hinggalah tiba lagu kegemaran aku waktu itu, mungkin juga lagu kegemaran orang lain juga waktu itu:

"This song is called Monkey Man!!"



Satu dewan bersorak macam nak runtuh. Dengan penuh gaya, pemain gitar melantunkan irama ska kegilaan aku. Semua berpakat berpogo dan buat tarian gaya orang portugis. Kah kah kah.

Tak sampai satu minit, keadaan menjadi kecoh tiba-tiba. Beberapa anggota polis masuk ke dalam dewan dan mengarahkan kami semua beredar serta-merta. Di lobi pula, gua lihat ada satu trak polis sedang menunggu. Ap jadah semua ni. Bukan ada buat salah pun. Masuk pun berbayar ni.

Gig itu habis begitu sahaja, apabila abang polis mula bersuara menggunakan hailer. Gua syak ini mesti ada penyewa hotel yang buat report ni. Sejak itu, gua memang tak percaya gig di hotel-hotel ni. Gig dekat dewan Tamil lagi aman. Haram tak ada orang kacau.

27.9.13

RAKAN DARI LAHAD DATU

Lepas 2-3 hari gua fikir, baru teringat yang dulu gua ada kawan yang berasal dari Lahad Datu, Sabah. Mereka adalah dua beradik yang berpindah mengikut bapa dia kerja apa entah, berpindah ke Johor. Dua-dua masuk satu kelas dengan gua masa tingkatan tiga dulu. Seorang nama  Hafiz. Seorang lagi Hanafi.

Secara teknikalnya mereka ni bukanlah kembar. Tapi seorang lahir awal tahun, seorang lagi hujung tahun. Muka pun masing-masing berbeza. Kadang-kadang gua kagum jugak dekat mak bapak diorang ni. Gigih betul.

Masa hari pertama dia masuk sekolah, semua budak pandang pelik. Sebab bila dia bukak mulut je, memang cakap bahasa Sabah pekat. Kelakar pun ada. Sebab itulah pertama kali gua berkomunikasi dengan orang Malaysia Timur. Oleh sebab kepekatan berbahasa, kitorang pun cadang nak bagi nama yang sesuai mengikut semangat kenegerian.

Setelah bincang lebih kurang, kami pun berpakat nak memberi nickname 'Ketuak'. Satu Ketuak Abang, satu Ketuak Adik. Mula-mula diorang macam marah jugak. Tapi lama-lama diorang redha je la. Gua rasa pun lebih baik la diorang redha je. Ok apa Ketuak.


***


Selepas 2 hari The Ketuak's berada di sekolah, gua perati Ketuak Adik ni lain macam  sikit. Pelik jugak bila dia macam tak tahu apa benda pun. Padahal dah tingkatan 3 ni. Tahun Pmr. Jangan buat gila.

Jadi masa satu period tu, Cikgu masuk ke kelas lewat. Jadi gua dan konco pergi la bermesra-mesra dengan Ketuak adik. Dalam kesempatan tu gua pun tanya la apasal beg sekolah dia ringan semacam. Orang lain macam-macam tanggungjawab ada dalam beg. Tapi beg sekolah dia bukan main nipis lagi.

Ketuak Adik hulur beg dia dekat gua. Gua pun selak la beg sekolah dia. Mengucap panjang gua bila tak ada satu buku teks pun.

Yang ada adalah kereta mainan Tamiya 2-3 bijik.

Gua tak tahu la apa kerajaan Sulu buat dekat diorang sampaikan dah tingkatan 3 masih bawak Tamiya. Macamana la rupa manifesto diorang sehingga  terbentuk seorang pemuda Tamiya.


p/s Nota Tamiya

*Ketuak Abang sekarang dah berjaya membuka kedai welding di dan mencari nafkah di Muar.
*Ketuak Adik, pemuda Tamiya last gua dengar dah jadi jurutera di sebuah syarikat perkapalan.

26.9.13

MEMAKAN AISKRIM


Masa lepas SPM sampailah gua grad, gua paling suka melepak di rumah Mar Kidal. Sebab rumah dia selalu clear. Kami memang akan buat port berkumpul, sebelum pergi melahu ke mana-mana. Selalunya gua la sampai paling awal. Pekena main gitar dulu, pekena tv layan badminton. Rumah sendiri macam tak ada tv. Dan tiap kali gua datang, wajib Mar Kidal bukak pintu rumah dengan muka tak mandi petang lagi, tuala sidai dekat bahu.

Satu malam tu, gua melepak di rumah Mar Kidal dan tiada perancangan nak ke mana-mana. Papan, Cipan pun ada masa tu. Lepak punya lepak, perut pulak dah lapar. Masa tu jam dah tunjuk pukul 11.00 malam. Nak keluar carik makan, bontot pulak rasa berat. Gua decide nak selongkar makanan dekat dapur rumah Mar Kidal. Lagipun sebelum ni kami memang dah biasa pun makan takde minta izin dekat rumah dia. Dia pun pasrah je.

Mak dia pun dah lama masuk tidur. Line clear.

"Mar, gua lapar ni. Dapur rumah lu ada nasik tak?
"Entah. Gua pun tak makan lagi. Pergi la carik." Mar reply sambil tangan sibuk tune gitar buruk dia.

Gua dengan Papan dengan 'selincah majid' pergi dapur korek makanan.

Gua dan rakan ada benda kelakar yang kami buat setiap kali selongkar rumah Mar Kidal. Kami akan buat bunyi cencurut. Konon-konon cencurut sedang geledah dapur la. Memang macam setan bunyinya.

Buka tudung saji, kosong. Bukak periuk, kosong. Bukak peti ais bawah, ada air sejuk je. Gua buka peti ais atas.

Terhidang sekotak aiskrim bertajuk Paddle Pop, berperisa pelangi.

"Mar,Mar. Ni ada aiskrim ni!" Gua separuh menjerit.
"Hah. bak datang sini la. Gua pun lapar ni. bawak sudu sekali."

Gua terus capai aiskrim tu, bawak sekali 3 batang sudu. Tak sabar gua nak makan aiskrim pelangi ni.

Dah macam orang kebulur pulak kami. Terus tuju meja ruang tamu. Letak kotak aiskrim tu perlahan-lahan. Masing-masing dah pegang sudu tak sabar nak melahap. Terbayang kesedapan aiskrim ada 7 warna, bergolek masuk ke dalam mulut. Sejuk-sejuk manis.

Gua buka penutup. Prak!

5 ekor ikan kembung dan beberapa ekor udang beku di dalamnya. Cilakak!!

***

Kecewa punya pasal, gua terus balik rumah, goreng telur makan dengan roti.

25.9.13

TIPS TAK GUNA

Pergi prep pada waktu lepas sekolah amatlah memenatkan. Bukan-calang-calang orang boleh tahan mata waktu-waktu kritikal pukul 3-4 petang tu. Disebabkan ada beberapa pelajar yang lambat ke kelas waktu prep, benda ni mendapat perhatian dari para warden, dan mereka telah menasihatkan para AJK Asrama untuk menangani masalah ini seberapa segera.

Pada satu malam selepas isyak, AJK kebersihan brader Halim Abu Bakar tampil ke depan untuk memberi beberapa nasihat mengenai kebersihan dan hal ehwal di asrama. Kami masa tu baru tingkatan 1 hanya mendengar dengan penuh ikhlas di hati. Tak pernah terfikir di dalam otak kami masa tu nak rebel atau nak fly. Semua suci murni.

Tengok muka senior Halim ni sejuk je mata memandang. Berkulit cerah. Pakaian pun kemas. Memang patut sangatlah jadi AJK Kebersihan.

"Adik-adik, ni abang nak beri beberapa tips semasa tinggal di asrama. Ini adalah untuk menjamin kesihatan kita. Bla bla,bla.."

"Balik saja dari kelas, sebaiknya kita buka baju sekolah, kemudian gantung baju tu di luar almari. Kita anginkan dulu supaya baju tak berbau. Barulah boleh pakai sampai 2-3 hari. Bukan masukkan terus baju dalam almari."

"OOO.." beberapa budak yang almarinya kupap menyahut. Baru tahu ke?

"Ni abang nak beritahu tentang tips supaya tidak lewat ke prep ye. Kalau mengantuk sangat, kita jangan tidur atas katil, sebab nanti kita boleh jadi nyenyak sangat. Sebolehnya adik-adik semua tidur di atas lantai bilik, dan niat nak bangun 15 minit kemudian." 

"Percayalah cakap abang. Bila bangun nanti, mesti adik semua segar bugar." Semua budak mengangguk tanda terima pendapat.

***

Esok harinya, lepas balik dari sekolah, aku cuba nak mempraktikkan apa yang disaran oleh senior Halim. Aku gantung baju guna hanger dan sangkut di tepi katil. Kemudian aku baring di atas lantai. tak lupa niat nak bangun 15 minit kemudian. Beberapa yang lain juga berbuat begitu. Kami tidur secara konvoi.

***

Nasib baik warden tak check bilik tadi. Manakan tidak, pukul 4.30 baru kami bangun. Tak boleh pakai punya tips. Makin sedap tidur adalah. Siap berguling sampai bawah katil.

Ke kami yang salah setting niat? 15 minit ke 150 minit?

21.9.13

CINTA AYAM GORENG


Benda ni jadi masa gua kecil dulu. Masa gua masih menetap di Berek Balai Bomba Jalan Hang Tuah. Masa tu entah apa angin, Ma dengan Abah gua, dia ajak pergi makan dekat KFC. Cemas juga dibuatnya sebab itulah pertama kali gua ke kedai ayam goreng. Selalu Abah gua bawak gua pergi makan di Sate House je dulu. Ingat tak dulu ada Sate House dekat KL? Sekarang dah bangkrap kot.

Bila sampai je dekat kedai ayam goreng tu, gua jadi teruja pulak tengok bangunan merah putih tu. Besar jugar. Ada gambar orang tua pulak dekat luar. Ma gua pimpin tangan gua keluar dari kereta. Gua gangster, mana main turun kereta sopan-sopan ni. Gua lompat je.

Masuk ke dalam KFC memang mengujakan. Bau ayam goreng memang semerbak. Gua hirup udara dalam tu cukup-cukup. Peh. Sedapnya. Lepas tu baru gua ikut Ma gua beratur nak order makanan.

Makwe sebelah gua ni pelik-pelik pulak ketawa tengok-tengok gua. Lepas tu cakap sesuatu dekat mak dia. Apahal lu. Lu oun tak pernah datang kedai ayam goreng ke? Hati gua jadi panas, gua mengadu dekat Ma gua.

"Ma,Ma. ada budak sebelah kita ni gelak-gelakkan Adib Ma"

Ma gua pandang gua, gosok kepala sambil senyum ke gua. Kemudian tiba-tiba dia pulak buat muka terperanjat.

"Hey, mana selipar?" Ma gua separuh menjerit.

Gua keliru.


++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Nom!Nom!Nom!

Ma gua makan ayam goreng dengan muka sedikit geram. mata tak lepas pandang gua. Abah gua pulak gelak-gelakkan gua. Gua ni pulak tak berani nak angkat muka.

Mana la gua tahu masuk KFC ni kena pakai selipar. Ingatkan macam dekat rumah. Jadi gua tinggal la selipar dekat depan pintu masuk tadi.

Tapi bila fikir balik, memang bersopan sungguh betul gua masa tu. nasib baik tak makan bersila atas lantai macam pendekar.

Semenjak itu, percintaan gua dan kedai ayam goreng pun bercambah.

20.9.13

BUKU TAKLIM

1997.

Di asrama, selepas waktu maghrib, AJK Surau seperti brader Hamim dan rakan-rakan selalunya akan adakan sesi Taklim. Aku pun tak berapa ingat la macam mana sesi tu dilakukan, tapi ada nasihat-nasihat, kisah nabi, kadang-kadang lagu nasyid termasuklah 'Di Pondok Kecil'. Memang saja nak bagi budak tingkatan 1 menangis ingat mak bapak dekat rumah. Tapi memang berkesan pun. Betul ni.

Untuk budak tingkatan 1, mereka diwajibkan membawa buku nota untuk menyalin kisah dan pengajaran daripada taklim tersebut. Dan buku tu boleh disemak secara random oleh budak tingkatan 3 ke atas. Biasalah, undang-undang rimba.

Pada suatu hari tu, sementara menunggu masuk isyak, aku dan Syukor Malek petik satu budak junior ni. Nama dia siapa aku pun dah tak ingat. Yang aku ingat, badan dia kurus macam S. Shamsudin. Jadi kita panggil dia Sudin saja la ye. Syukor Malek panggil dia :

"Mintak buku taklim kau."

Buku taklim diserahkan. Bila selak muka surat pertama je dah nampak beberapa contengan dan lukisan pakai pen. Nota taklim aku tak nampak pulak. Selak punya selak baru jumpa satu nota. Yang lain semua lukisan kartun. "Yes, dapat point." Bisik aku pada Syukor Malek.

Aku buka balik muka surat pertama. Di kulit buku bahagian dalam ada beberapa biodata serba ringkas. Tetapi aku tertarik pada kata-kata hikmat budak ni. Dia tulis :

'Hidup untuk makan'
'Makan untuk kenyang'
'Kenyang untuk haaaaaangin satu badan'

"Ni apa benda ni?" aku buat-buat garang.
"Err..ni motto hidup saya bang." Ketar-ketar Sudin jawab.
"Cuba kau baca balik apa yang tulis dekat sini. Siap dengan gaya." Aku dah datang akal nak membuli.

Sudin bangun. Dia berdiri kemas-kemas. Kemudian dia sebut 'motto hidup' dia tu.

HIDUP UNTUK MAKAN, MAKAN UNTUK KENYANG, KENYANG UNTUK HAAAAANGIN SATU BADAN.

Part 'kenyang untuk haaaaangin satu badan' tu dia ada buat gaya siap dengan lenggok badan. Memang macam celaka la. Kelakar pun ada.

***

Malam tu dan dua malam berikutnya, Sudin kena entertain senior buat gaya tu entah berapa puluh kali, diselang-selikan dengan sesi ambik air teh, biskut dan aktiviti membasuh baju senior.

Itulah lain kali salin taklim tu, salin.

CERITA UiTM 2

Selain dari main kad, kerja kami hampir setiap malam adalah pergi melepak di Taman Maju. Itu sajalah kemodenan yang dapat kami rasa bila duduk di Seri Iskandar sekitar 2001-2004. Masa tu Petronas, KFC belum ada. CD cetak rompak pun belum ada. Tapi kaset cetak rompak ada. Lombong pun masih banyak, pembangunan baru sahaja bermula. Selain berperang Counter Strike dengan budak UTP di siber cafe Invictus, kami selalu pergi makan malam di Rimba Permai. Dekat situ ada makwe cun ala Jepun yang boleh jadi pembangkit selera makan malam. Tomoko pernah ajak makwe tu berdating dulu. Dekat situ juga ada seorang waiter yang rupa dia sebijik macam Ronaldinho. Selalu juga kami mengusiknya.

Tapi itu kalau waktu duit berkepuk la. Kalau poket nipis, kami pergi makan di Layar Rasa. Makan dekat situ, sedap dia ada kurang sikit. Tapi dia punya kuantiti, gua rasa lebih berat ke kerja amal berbanding nak buat untung. Kalau order nasi goreng tu, dia punya banyak tu sampai kami boleh pecahkan ke 2 pinggan setengah. Harga memang tip top. Murah. 

Bila dah kenyang, hati pun senang. Kami pun memandu pulang ke hostel. Waktu tu, kenderaan rasmi kami adalah Kancil bikin L5 850cc kepunyaan Poker Face. Orang-orang elit je boleh naik kereta ni. Kaset rasmi pulak adalah kompilasi lagu-lagu alternatif 2000, yang ada lagu 'I'm Afraid of Britney Spears'. Kaset itu saja lah yang asyik diulang-ulang sampai naik haus tali tape dia. Bunyi dah sengau semacam.

Acara wajib kami pula ialah memandu masuk ke asrama puteri. Tujuan kami tak lain, nak 'tengok astro'.

Tengok Astro itu bukan bermaksud menonton siaran satelit berbayar, tetapi melayan nafsu melihat bra bergantungan di koridor dan ampaian.

Oh pervert sungguh waktu tu.

19.9.13

CERITA UiTM 1

Masa di Uitm Seri Iskandar, gua ada la seorang kawan ni, kira kawan kamcing jugak la. Apa saja projek yang gua buat, mesti dia terlibat sama. Ok, kita panggil dia Sarop. Kawan gua ni baik orangnya, bersopan santun, kadangkala kelakar dan mempunyai tabiat membeli belah seperti orang gila. Tapi bila masuk bab kebersihan, Ya Rabbi punyalah teruk. Dia punya pengurusan bilik, memang patut gua bagi gred F. F tu Fakof. Seluar atas lantai, baju sidai atas kerusi, sapu tangan dalam akuarium. Itu belum kira bawah katil ada kotak rokok, kuih kek batik mak bagi dari kampung berbulan tak dimakan.

Kalau kami tumpang hisap rokok dalam bilik dia, kadang-kadang kami tanya "mana ashtray?"
Selamba dia jawab "kita duduk dalam ashtray la ni, petik je ikut suka kau."

Selekeh tahap jeneral.

Satu hari tu gua main lari-lari dari satu bilik ke satu bilik. Entah apa benda yang gua buat pun dah lupa. Bila masuk bilik Sarop tu, gua dengan yakinnya terus melompat atas katil dia yang dipenuhi dengan baju baru lepas hantar dobi. Lompatan gua agak cemerlang juga masa tu. Laju dan tinggi.

Bila badan mencecah je ke atas tilam, tiba-tiba 'prakk!' ada bunyi benda patah. Badan gua sakit betul masa tu, rasa macam landing atas batu.

Dalam kesakitan macam askar tercedera tu, gua gagahkan diri untuk menyelak longgokan baju, mencari misteri yang tersembunyi di sebaliknya. Ada seketul printer A4 tersedia duduk di atas katil tu. Cilaka apa letak printer atas katil ni?

***

Sambil duduk-duduk di dalam bilik, gua menggosok-gosok belakang badan dengan minyak angin. Sumpahan printer tu masih tidak hilang lagi. Sakitnya masih ada, walau semingu berlalu. Sumpah gua akan berhati-hati bila masuk bilik Sarop lain kali.

CHRISTOPER COLOMBUS

"Kapal Christoper Colombus ada berapa?"
"Ada tiga!" bersemangat.
"Apa nama dia?"
"Nina, Pinta, Santa Mariiiia."

Yang Mariiiia tu memang ada lenggok sikit. Bagus.

"Diorang bawk kapal banyak-banyak ni nak pergi mana?"
"Pergi Amerika."
"Buat apa?"

"Nak jumpa Thomas and Friend." (Thomas Alva Edison sebenarnya)

Apasal bercampur-campur Colombus dengan pencipta telefon dengan Thomas kartun ni?

18.9.13

TIGA HURUF

Cerita ini memang betul-betul sadis. Aku ni kadang-kadang bila terfikir tu, rasa bersalah memang datang menyinggah. Sebetulnya, bukan aku seorang saja yang rasa begitu. Tapi satu batch aku pun sama. Kisahnya begini :

Dalam batch aku ada seorang budak bernama Airil Izwan. Kami panggil dia Cas. Dalam bahasa sekolah aku, 'cas' tu maknanya tunjuk hensem. Haha. Dalam masa yang sama, sekolah aku juga ada kelibat senior bernama Airil Hod. Kami panggil Abang Airil la. Brader Airil Hod ni memang keturunan orang baik-baik. Pendiam, orangnya tangkas, tak banyak cakap dan suka bersukan.

Dah jadi kebiasaan pada kami bila mencampur-adukkan nama orang supaya nampak kelakar. Contohnya Yusmaredza dan Wirza Feldi, kami cantumkan jadi Yusmaredzawirzafeldibinnawir. Syukor Malek memang suka buat benda macam ni.

Dan aku pun tak pasti siapa sebenarnya yang mula-mula memanggil 'Cas' bertukar menjadi 'Hod'. Benda tu jadi macam tiba-tiba je. Panggil Airil Izwan 'Hud'. Sikit-sikit 'Hud'. Mula-mula benda ni hanya disebut di kalangan kami saja. Bila dah asyik panggil benda sama 1-2 bulan, benda ni dah jadi kebiasaan, sampaikan budak tingkatan 2 pun panggil Cas tu Abang Hod. Haru!

Lama kelamaan, kes ni dapat dihidu jugak oleh senior. Dalam satu malam minggu tu, kami dipanggil naik ke kelas tingkatan 5. Jarang aku naik kelas ni. Berduyunlah kami, dalam 20-30 orang naik ke kelas. Masing-masing tak tahu apa sebenarnya punca dipanggil ni. Jangan kena settle sudahlah.

Tapi bila masuk je dalam kelas tu, aku nampak muka Airil Hod, dan beberapa muka senior lain. Automatik otak aku dapat tangkap apa puncanya. Ini mesti sebab panggil nama bapak dia takde copyright ni.

Memang berdebar jugak malam tu bila kena tengking, kena bambu. Malam tu aku rasa jam sangat lambat bergerak (ayat klise). Masing-masing berdiri tegak je. Nak angkat muka pun tak berani. Di penghujung'orintasi' tu, brader Airil Hod bersuara :

"Aku ni tak pandai nak 'buat' orang. Betul. Tapi disebabkan kau orang dah mainkan nama bapak aku, kau semua mesti kena hukum."

Semua diam je.

"Nama bapa aku ada berapa huruf?"

"TIGA HURUF!" semua rasa bersemangat bila dapat rasa yang brader Airil Hod tak akan lempang muka kami.

"Kau semua ketuk ketampi. Satu huruf satu ratus. Aku tunggu sampai siap."

Simple arahannya. Tapi seksa nak laksanakannya.

***

Menuruni tangga dari kelas tu, aku dah tak larat nak berdiri dah. Turun tangga pun duduk. Mengesot-esot macam cerita Pondok Buruk tu. Badsen dah merangkak. Yen terbaring atas lantai koridor. Syukor Malek dah berpaut pada dinding koridor. Rasa nak pecah otot peha ni!

Brader Airil Hod, kami tahu brader memang baik. Tapi rasanya baik brader lempang je kami hari tu dari suruh ketuk ketampi. Trauma rasanya.

17.9.13

DEWAN MAKAN

Dewan Makan/ Dining Hall/Dining/ Bilik Makan. Semua sama.

Asrama dan dewan makan memang tak dapat dipisahkan. Ibarat aur dengan tebing. Macam ombak dan pantai. Seperti irama dan lagu . Tiada irama, pincanglah lagu. Tiada dewan makan, kebulurlah kami.

Aku tak tahu dewan makan sekolah kamu semua macam mana, tapi sekolah aku punya dewan makan masa tahun 1995 - 1997 dia punya prestasi di antara horror dan best. Mistik pun ye.

Hari isnin sampai khamis, makanan asasi kami selepas pulang dari sekolah ialah nasi putih, lauk ikut suka tukang masak,sayur-sayuran dan buah-buahan seperti pisang separa benyek. Ataupun tembikai segar. Lauk yang ikut suka tu pula terdiri dari ikan jaket, ikan masak pindang, daging masak sambal. Sayur-sayuran punya line up pula terdiri dari sayur kobis masak air, sawi masak air, taugeh normal (masak air), taugeh sperma kepala besar (masak air), dan beberapa lagi. Janji masak air.

Hal ikan jaket ni aku rasa satu Malaysia punya asrama menggunakan manual memasak yang sama. Ikan cencaru dia ya rabbi punyalah keras. Buat yang tak duduk asrama, ikan jaket ni rupa dia macam ikan yang pakai jaket. Jaket pulak bukan sembarangan. Jaket kulit. Kau kena kopek dulu kulit dia baru jumpa isi. Ini mesti tukang masak main masuk je ikan dalam kuali besar. Rasa kunyit ke garam ke memang jauh sekali la. Cuma kadang-kadang datang kreatif akak tu, dia letak la sambal sikit, kuah sikit.
Tapi bila dah lapar, benda tu juga la yang dibaham tanpa banyak soal.

Kau pernah makan tak sayur taugeh yang besar tu? Aku kalau ada lauk tu, sumpah aku tak makan hari tu. Sanggup aku tunggu kuih waktu petang lepas balik prep. Aku tak boleh  tahan bau dia. Mual. Tapi ada member aku nama Ocher rilek je makan. Apa jenis manusia la Ocher ni.

Apa? Pinggan? Gila ke? Guna tray la makan!

Tray tu, kalau terjatuh time tengah beratur nak ambik nasi, bunyi dia memang kuat. Itu jam satu dewan makan haruk kau. Muka tebal gila babeng la masa tu. 

Time tu jugak la kau akan dapat dengar makian yang rare, contohnya 'woi mak kau tak sekolah agama ke', 'woi nak kena 'panggil' malam ke', ataupun 'woi pegang tray pun terjatuh, macam tak ada pedoman'.

Tapi ada juga sesetengah kes, member belakang  sengaja tepuk tangan member depan bagi jatuh tray. Benda macam ni boleh buat bergaduh.

Hari Jumaat memang hari yang ditunggu-tunggu. Dia punya power lauk hari Jumaat ni, kalau ada lauk yang short, memang boleh memberontak. Ada makan nasi tomato, ayam masak merah dan aiskrim cup. Budak-budak dah macam orang gila dah beratur. Que paling panjang memang la hari Jumaat. Macam tu sekali sekolah kami memuliakan hari Jumaat tau. Makan pun mewah. Memang setiap hari Jumaat je, kami rasa kami sayang sangat dekat sekolah. Hari lain tak.

Sabtu dan Ahad, hidup kami kembali normal. Makan la apa yang dimasak. Jangan banyak sangat kompelin. Bab makan petang, biasalah kuih keledek, apam, biskut ping-pong,dan kuih keledek balik.

Makan kuih apam ke, ayam goreng ke, taugeh sperma ke, benda yan tak sedap pun akan jadi sedap bila kita makan ramai-ramai sambil borak hal makwe.

13.9.13

UBAT ALTERNATIF


Cerita ni terjadi beberapa tahun lepas. Masa tu puan bini dan aku menghidap demam dan selsema. Dah bermacam ubat ditelan, masih tidak kebah-kebah juga. Hingus meleleh macam budak tadika kemas.

Aku cuba-cuba juga untuk membantu. Try la google apa yang patut. Kemudian aku jumpa dalam satu website ni, tentang cara mengubati demam dan selsema selain menggunakan ubat/ dadah halal.


"Sayang, cuba awak try cara ni pulak. Mesti baik."
"Betul ke ni? Macam pelik je?"
"Confirm baik.."

Kami pergi beli 2 tin Coca-Cola. Kemudian tuang air tin tersebut dalam periuk dan didihkan. Tujuannya untuk membuang gas yang terkandung di dalam air. Kalau ikut website tu tulis la.

"Betul ke ni? Mati karang.?"
"Tak mati tak."

Sudah siap dididihkan. Nampak hitam pekat macam ubat batuk. Ada la rupa ubat sikit. Aku tuang air tadi ke dalam dua gelas. Satu untuk aku, dan satu untuk puan bini.

"Ok, dah ready ye? baca bismillah dulu."
"Bismillah..."

Gluk-gluk. Dia punya rasa manis. Melantun.

***

Esok kami ada sakit baru pula. Sakit perut. Oh setan punya website.


10.9.13

MAUT


Sesaat tak menunggu,
Seinci tak perlu,
Sekelip tak mengganggu.

Nyawaku nyawamu,
Di tangan Tuhan yang satu,
Menunggu direnggut malaikat yang patuh.

Petanda diberi,
Hanya kita tak merasai,
Maut itu tiada bau,
Dan tiada dua,
Hanyalah satu.

Maut berlalu, akhirat menunggu.
Ibadah teratur, syurga bagimu.

Amalanmu ogah, neraka lah hadiah.

6.9.13

CEMERLANG SANG IKAN

Aku suka baca tentang kehidupan artis-artis lama, zaman Jalan Ampas. Ada yang cemerlang hingga akhit hayat. Ada juga yang merana di pengakhiran usia. Jadi aku selalu beranggapan, menjadi selebriti yang malang ini diibaratkan seperti ikan dilautan.

Asalnya dari dalam laut bebas ke sana ke mari tanpa halangan, memiliki masa dan ruang, serta bakat yang terpendam. Untuk menjadikan kehidupannya lebih menarik dan adventure, maka sang ikan pun bermain-main di lubuk.

Kemudian, sang ikan ini akhirnya berjaya dipancing oleh sang pengail yang kerjanya memang memancing ikan yang segar, lincah dan sedap untuk diratah dan ditonton ke khalayak.

Naik sahaja ke darat, maka melentik-lentik lah sang ikan tersebut, simbolik kepada zaman kegemilangannya. Ramai orang yang memerhati dan kagum dengan kelincahan sang ikan untuk melepaskan diri. Dan akhirnya lantaran tidak cukup nafas dan letih, sang ikan pun mengalah dan berhenti melompat, cerminan kepada zaman kejatuhannya.

Cuma kadang-kadang, dengan sisa nafas yang ada ia akan cuba melompat-lompat semula, sama seperti sesetengah selebriti yang cuba bangkit semula dari kejatuhan. Namun, selalunya tidak berjaya.

Dan akhirnya akan berakhir dengan kesedihan. Sama seperti dengan pengakhiran sang ikan yang mati di daratan.

Kesian jadi ikan. Kalau dia tahu, tak ingin dia bermain di lubuk. Zaman cemerlangnya sekejap sangat.

4.9.13

PERIHAL NESCAFE


Siapa yang tidak gemar akan Nescafe? 

Sejenis kopi segera yang memerlukan kajian selama tujuh tahun oleh pakar kopi, Max Morgenthaler dan kumpulannya. Juga sejenis kopi segera yang terhasil daripada cabaran pihak kerajaan Brazil kepada syarikat Nestle. Semenjak diperkenalkan oleh Nestle di Switzerland pada 1 April 1938, namanya terus melekat di kepala para penggemar kopi yang cerewet. Aromanya telah bertebaran ke sekeliling dunia dengan gahnya.

Minuman yang 'trending' di seluruh dunia ini juga pernah menjadi minuman rasmi para pejuang negara Amerika semasa perang dunia ke-2 dan anak-anak muda yang menjadi pejuang muzik rock n roll pada tahun 50-an.

Di Malaysia sedikit masa dahulu, Nescafe juga dikatakan lambang status dan darjat. Rumah orang yang memiliki Nescafe dilihat lebih berkemampuan pendapatannya daripada rumah orang yang hanya ada kopi cap kapal selam, atau cap ikan sebelah. Pergerakan ekonomi negara juga banyak bergantung kepada Nescafe. Para-para Menteri dan Professor mesti terasa malas nak buat kerja kalau tak pekena secawan Nescafe di awal hari. 

Tetapi itu dahulu. Sekarang tidak lagi. Semua rumah di Malaya dengan mudah boleh memilikinya. Apatah lagi di pantri-pantri pejabat kerajaan dan swasta.

Dan sebentar tadi, semasa aku sedang enak menghirup Nescafe di hadapan komputer meja pejabat aku, terbang seekor lipas yang entah dari mana datangnya. Turun dari langit barangkali. Aku yang terperanjat telah menumpahkan Nescafe O panas kaw-kaw ke atas seluar kerjaku. Tepat-tepat di bahagian zip.

Menitik air mata bila mengenangkan nasib hari ini.Harap-harap masih berfungsi.