Muzik kadangkala merosakkan kalau terlampau taksub sangat. Muzik menyebabkan aku pernah melalui zaman kutu berahak yang stok pakai seluar koyak lutut dan baring depan Wetex Parade. Malu pun dah tak ada. Dalam bilik jamming pun boleh buat gig. Sampaikan Wong Tauke Pusat Muzik KTR pun pening kepala. Ada kawan aku yang katanya Crusty Punk dan mengamalkan polisi 'Fuck The System' dan 'Anti Establishment' pula, mengalas perut dengan memakan sisa dari tong sampah. Makan belen kentang goreng dari meja orang. Macam pengemis.
Katanya duit tak penting. Katanya juga, manusia dinomborkan. Semua diatur mengikut telunjuk syaitan. Siapa yang syaitan pun aku keliru sebenarnya. Senang cerita, hidup memang tak terurus sedikit masa tu. Tapi taklah sampai ke gejala menghisap dadah. Semuanya kerana muzik.
Muzik juga menyebabkan aku pandai melawan cakap Abah dan panas baran tak tentu pasal. Kemuncak rebel aku adalah masa umur aku 18 tahun. Abah marah aku sebab tak tutup pintu gate, dan sebabkan kambing jiran masuk dan gigit pokok buah-buahan dia. Abah membebel-bebel dekat aku. Aku pulak jenis tak suka kena bebel, terus capai kayu pengaut rumput cari kambing yang terlepas masuk tu. Adik aku Sang Pengantin ikut sekali. Cari punya cari, aku terjumpa seekor kambing sedang rilek gigit daun anak pokok durian. 'Ajal kau dah sampai', aku kata dalam hati.
ZAAP!!
Aku libas kaki kambing berumur remaja tu. Tepat ke lututnya. Kambing remaja tersebut jatuh terjelepuk. Tapi aku tengok dia takde respon nak lari ke, apa ke. Dia terbaring sambil mengembek-embek. Lah, kenapa pulak ni?
Sang Pengantin yang agak familiar sikit dengan sifat-sifat kambing ni kata mungkin kakinya patah. Laa, aku acah-acah je. Tak de la sampai nak patahkan kaki kambing jiran aku. Aku sedikit panik. Tak tahu nak buat apa.
"Nak buat mende ni?" Aku tanya Sang Pengantin.
"Mana aku tahu!"
"Kita buang je la dekat semak belakang?"
Sang Pengantin diam je.
Aku angkat kambing tu dengan bantuan Sang Pengantin. Berat Ya Rabbi kambing ni. Berapa banyak pokok durian Abah aku dah kau telan? Dengan menggunakan kaedah lempar cakera yang aku pelajari di sekolah, aku hayun kambing tu masuk semak tepi rumah. Mengembek-embek kambing tu mintak tolong. Sayu pulak hati. Perasaan memberontak tu merudum sikit.
***
2 hari lepas tu, Abah panggil aku menghadap. Abah dapat repot dari jiran mengatakan kambing dia hilang. Dan abah memang cas aku punya memandangkan kebencian aku terhadap kambing jiran memang berlebih-lebih. Tapi masa hari kena mengadap tu aku dah tak rebel sangat dah. Aku mengaku je salah. Apa nak jadi, jadilah.
Berbulu je Abah kena bayar ganti kambing mati tu. Sebagai hukuman, aku kena ambik incas kerja-kerja mesin rumput kawasan rumah untuk setahun.
***
Nasihat aku, dengar sajalah lagu yang elok-elok macam nasyid dan kpop. Hardcore, CrustyPunk, ProtoPunk, Skinhead ni menyusahkan je.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan