setegram

Instagram

8.6.13

KOMEN

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
(Ini adalah kisah benar yang dialami hasil pengalaman sendiri dan maklumat dikumpul dari rakan-rakan semasa di sekolah. Ada sedikit penambahan dan olahan untuk memperelok cerita. Watak telah ditukar untuk menjaga hati pihak tertentu. Kalau ada sesiapa yang tahu nama watak dalam cerita ni, diam-diam sudahlah. Baca sahaja).
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Petang tu Komen buat hal. 

Dia yang duduk di pintu bas, diharapkan oleh driver bas untuk melihat-lihat jalan raya untuk melintas simpang. Tapi Komen buat hal. Dengan acuh tak acuh dia kata jalan clear. Bila driver bas, Kojai melintas sahaja, bedebang!! Muncung bas tersebut dihentam oleh sebuah kereta. Semua yang ada di dalam bas terperanjat.

Komen tergamam. Dia tahu nasibnya tak baik hari ni. Dan esok, dan esok-esoknya. Ada pemangsa memerhati dan menunggu. Balik sahaja dari sembahyang Jumaat hari itu, Komen jadi seorang yang pendiam. Dia duduk menyendiri di dalam kelas prep. Kawan-kawan pun tak berani hendak memujuk atau menenangkannya. Kerana mereka juga tahu Komen sedang diperhati. Sementara itu di asrama kecoh kes Komen jadi punca bas Kojai dilanggar kereta. Dari tingkatan 1 hinggalah tingkatan 5.

Dan kisah tragisnya itu bermula malam itu.

Tepat pukul 11.00 malam, seorang budak tingkatan 1 datang ke bilik Komen. 

"Bang Komen, Abang Anding tingkatan 5 tu nak jumpa abang Komen." Ujar budak itu bernada lurus.

Berhenti bergerak sekejap darah di dalam badan Komen. Dia sangat-sangat arif, itu adalah panggilan 'maut'. Dia juga sangat-sangat arif yang dia tak akan pulang dari bilik Anding dengan hadiah berupa jam tangan, puji-pujian atau buah-buahan. Sebaliknya hidung berdarah, badan bengkak dan peha sengal tak boleh jalan.

Perlahan-lahan Komen sarung baju semula. Rakan-rakan sebilik hanya dapat memerhati sahaja. Tiada kata-kata perangsang yang dapat diberi oleh mereka. Komen sarung selipar, dan berjalan lemah ke hujung blok. Di situ letaknya bilik Anding dan rakan-rakan 'seperjuangan'.

Tok! Tok! Tok!
Komen ketuk pintu bilik Anding.

"Masuk lah" Ringkas arahan dari dalam bilik tersebut.

Komen pun perlahan-lahan buka pintu bilik. Gelap. Satu lampu pun tak terbuka. Hanya mendapat cahaya dari lampu koridor. Komen jadi peka.

Baru selangkah masuk ke dalam bilik, BUKK!! satu penendang singgah ke pinggangnya. Sakit Komen kepalang. Hampir tercampak dia ke tepi katil besi dua tingkat.

"Kau Komen kan?" Baru Komen nampak wajah Anding.
"Ha'ah." perlahan Komen jawab sambil menggosok pinggangnya.
"Apa? Ha'ah?"

Satu lagi penapak singgah tepat ke dada Komen. Pedih.
"Aku ni adik kau ke nak jawab ha'ah, ha'ah ni! Sekarang kau berdiri. Kau tahu apa salah kau?"

Anding dah mula menyinga. Sebenarnya Anding ni memang 24 jam menyinga. Suka cari hal dengan budak bawah. Hal kecik-kecik pun nak 'settle'. ('Settle' maksud di sini adalah kena pukul.)

Komen gagahkan diri untuk berdiri. Payah rasanya.
"Saya tak tahu Bang Anding, apa salah saya.." jawabnya sambil membetulkan cermin matanya yang senget.

Sebenarnya Komen tahu sangat apa sebab dia dipanggil. Memang resam asrama, kalau tak sedap di mata budak tingkatan atas, tunggulah malam kena panggil, kena 'settle'. Tapi dia sengaja buat-buat tak tahu.

"Kau tak tahu? Takpe. Meh aku bagi kepala otak kau ingat balik apa salah kau."

PANG!! Satu penampar singgah di kiri pipi Komen. Belum sempat hilang kebas, satu lagi pula singgah di pipi kanan. Benda itu berterusan 5-6 kali. Tapi  Komen tak berani nak melawan. Dia hanya berdiri tegak sahaja. Kalau dia melawan lagi parah jawabnya. Cermin matanya pun sudah tercampak ke mana. Dah la bilik tu gelap.

Anding dan rakan sudah naik gila. Badan Komen sudah jadi macam punching bag. Di sepak di perut, diterajang dipinggang. Bila Komen terbaring, satu penyepak lagi singgah di kepala. Pedihnya tuhan saja yang tahu.

Hampir 15 minit juga Komen dikeroyok.

Mata Komen sudah mula berkaca. Dia sudah tak tahan lagi. Dia mula meraung minta tolong.

"Cukup Bang! Dah Bang! Ampun..!" Sambil menekup mukanya agar tidak dicederakan.

Tapi Anding tak pernah cukup."Bangunkan dia kejap." arah Anding pada rakannya.
Mereka memapah Komen berdiri. Anding ambil step ke belakang. Kemudian dia lari laju ke arah Komen.

DEBUK!! PRAKK!!

Satu tendangan double kick  berhalaju sederhana tinggi singgah tepat ke dada Komen. Komen tak dapat kawal imbangan. Dia terlanggar almari di belakangnya dan terperosok. Pintu almari sudah pecah. Badan Komen sudah luka-luka. Lebam jangan cakap la. Dada rasa nak pecah.

Anding puas. Untuk hari itu.
"Kau keluar lah anjing!" Anding tarik rambut Komen hingga dia tertiarap.
"Hari ni kau dah selesai dengan aku! Tapi esok budak form 4, form 3 tengah tunggu kau. Mampus lah kau!"
"Sekarang kau blah. Esok pagi aku tahu ada satu almari baru dekat sini. Blah!"

Dalam kesamaran cahaya koridor tu, Komen merangkak keluar dari bilik. Dirinya terlalu lemah untuk berdiri. Badannya sudah tak terdaya. Lebam di sana-sini. Kepalanya berdarah. Dia menekup kepalanya sambil menangis.

"Hoi! Ni spek kau" Anding menyepak cermin mata ke muka pintu bilik.

***

Neraka Komen tidak habis di situ. Keesokkan harinya, dia kena mengadap pula budak form 4 dan form 3 pada lusanya. Hasilnya, tulang belakang Komen retak sedikit, dan dia dimasukan ke ICU. Keadaan mula menjadi kecoh. Pihak sekolah mula mendapat tahu tentang kejadian malam minggu tersebut. Semua yang terlibat dipanggil.

***

Komen berpindah sekolah akibat trauma, 2 orang pelajar dibuang sekolah, beberapa yang lain digantung sekolah (termasuk aku), dibuang asrama. Kemudian calon yang mengambil perperiksaan besar disumbat ke dalam satu bilik khas. Macam penjara. Pintu selalu dikunci. Polis akan datang melawat kadang-kala. Bilik tanpa tanpa jaring nyamuk dan panas.

Dan bermulalah satu episod baru untuk budak buangan, Bilik Neraka.

2 ulasan:

  1. tak de sambungan ke cerita nie??

    BalasPadam
  2. Sampai sini saja la. Bahaya sambung panjang-panjang.

    BalasPadam