setegram

Instagram

27.3.13

DOA HABIS-HABISAN


Malam semalam, Puan Bini mengusik Afinna. 

Dia suruh Afinna peluk dia, tapi Afinna taknak sebab tengah sibuk suapkan makanan dekat patung beruang dia. Lepas tu Puan Bini kata, kalau macam tu dia nak lari dan jadi hantu. Kemudian, Puan Bini pun lari keluar ke pintu rumah dan buat-buat macam kena rasuk nak transform jadi zombie.

Afinna dah serba salah ni. Nak suap beruang ke nak peluk mama dia. Serba-salah punya serba salah, Puan Bini dah pun lari dan menyorok di balik kereta di garaj rumah. Melalak la Afinna sebab dia tengok mama dia dah jadi zombie dan melarikan diri. Dia tarik tangan gua yang tengah sedap pekena baring atas toto layan tv.

"Babah, cepat la carik mama, cepat la!!"

Ini kaw-kaw punya nangis ni.

Gua pun tak berapa rajin nak melayan, jadi gua ajar dia satu benda.

"Finna nak mama jadi orang balik? Finna baca doa. Macam ni doa dia.."

Ya Allah Ya Tuhanku
Janganlah Mama Jadi Hantu
Finna Sayang Mama

"Kena baca banyak kali tau!"

Dalam sedu sedan tu, gua lihat Afinna duduk bersimpuh, menadah tangan dan membaca doa sungguh-sungguh. "Ya Allah Ya Tuhanku..Janganlah Mama Jadi Hantu..Finna Sayang Mama...

Gua rasa dekat 6-7 kali la dia ulang baca doa tu, dengan air mata meleleh-leleh, tersedu-sedu, tadah tangan bukan main tinggi.

Hek eleh. Ambik serius betullah budak ni..


26.3.13

KONSPIRASI


Petang tadi gua buat inspection di site Seremban. Supervisor Man mengiringi gua dan Brader Latif, sambil standby nak taici apa apa hal nanti.

Satu persatu rumah gua masuk. Semua ok, sempurna (sempurna habis!) seperti yang diberitahu oleh Supervisor Man sebelum kami membelek satu persatu rumah tadi.

Tapi ada satu hal yang gua tak puas hati. Banyak gila window handle terbalik dia punya arah buka. Selalunya handle tu buka dari arah bawah ke kanan. Tapi yang ni  arah atas ke kanan. Bukan sikit-sikit punya tingkap yang salah ni. Satu biji rumah je ada la 4-5 biji.

Gua tanya Supervisor Man, apa kes ni. Supervisor Man tak tau nak jawab mende, jadi dia kata:
"Ini mesti konspirasi Bangla nak menjatuhkan saya ni bang. Diorang bukan suka sangat dengan Melayu ni."

Gua tak tahu nak tulis mende, gua tulis je 'Konspirasi' dekat form yang gua tengah tulis tu. Menjawab la kau nanti, Supervisor Man.

23.3.13

ULASAN LAGU (TRIAL)

[Ok disebabkan gua tak ada kerja duduk mengangkang je dekat office hari ni, maka gua nak cuba menulis satu ulasan lagu. Kalau ulasan gua tak sedap, caci maki saja diriku, bila itu bisa membuatmu kembali bersinar dan berpijar seperti dulu kala.]

Lagu : Where Were They (When The Fun When Out)
Kumpulan : Deepset
Genre: Post Rock
Album : 'The Lights We Shed Shall Burn Your Eyes'
Tahun Rilis : 2007/2008
Durasi :7:00 minit




Kali pertama saya mendengar lagu bergenre Post Rock ialah pada tahun 2003, setelah mencuri-curi download lagu di tempat praktikal saya di Putrajaya. Lagu genre begitu yang pertama kali saya dengar ialah dari kumpulan Damn Dirty Apes, yang semasa itu saya tidak tahu apakah jenis muzik yang tanpa menyanyi ini. Dalam fikiran saya adalah 'apa jenis lagu takde penyanyi ni' 'ni lagu soundtrack drama ke' dan banyak lagi. 

Ini adalah kerana pada masa itu, telinga saya hanya disumbat dengan bunyi-bunyi dari Prana, The Offspring, The Squirtgun, Minor Threat, Earth Crisis, Catch 22, Rancid, Radiohead, ACAB, ABBA  dan juga Rahimah Rahim. Semuanya ada melodi dan nyanyi-nyanyi. Dan tidak berapa lama kemudian apabila saya mendengar album dari Deepset pada tahun 2008, barulah saya tahu tu adalah salah satu sub genre dari Rock, iaitu Post Rock. Diibaratkan Rock ni datuk, Post Rock ni anak menakan lah. Begitulah anggapannya.

Muzik bergenre post rock cepat menangkap di hati saya. Saya juga menjangka ia akan cepat melekat di hati sesiapa sahaja. Saya agak sahaja. Formula perlahan/kuat/perlahan itu manjadi daya penarik di dalam sesebuah hasil post rock. Apabila mendengar lagu bertajuk 'Where Were They (When The Fun When Out)-amboi panjang betul tajuk, saya terus membahagikan lagu ini kepada 3 fasa, iaitu fasa 1 (malu-malu), fasa 2 (bersawai) dan fasa ke 3 (putus asa). Saya juga suka untuk membayangkan pergerakan lagu ini. Ia diibaratkan seorang budak yang sedang mengikat tali kasut di permulaan lagu, kemudian cuba berjalan laju, kemudian berlari akibat tertinggal bas dan akhirnya putus asa kerana bas sekolah sudah jauh meninggalkannya. Itu imaginasi saya. Imaginasi kamu semua, lantaklah.

Memasuki minit yang ke dua, saya amat meminati dengan larian drum oleh Lobo, walaupun tidaklah deras mana. Just perfect. Diikuti pula oleh petikan-petikan tab satu persatu, bagai jari menari di atas fret. Oooh sungguh inzal. Memasuki minit ke 3.10, kita sudahpun memasuki fasa ke 3 , iaitu fasa bersawai. pada masa ini bunyi kelihatan marah.

Eh nanti la gua sambung.Nak berak la.


21.3.13

MENGAMBIL RESULT



Masa hari peputusan perperiksaan SPM diumumkan, gua punya neves sampai tak boleh tidur malam tu. Sebab gua macam dapat rasakan yang result gua memang jahanam. Masa trial dulu Sejarah fail, Add Math 5/100, Fizik dapat D. Yang terer pun cuma Agama Islam, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan juga Peng. Kej. Awam. Oh lagi satu PJ memang gua terer. Tapi malangnya tak masuk exam.

Pagi-pagi lagi gua dah bangun. Gua kena bergerak awal sebab sekolah gua letaknya di Melaka dan gua menetap di Muar. Dalam pukul 10 pagi, semua orang sudah berkumpul di dewan sekolah. Gua tengok yang datang awal ni semua muka baca buku, muka hafal formula ikatan kimia bagai ni. Yang gua result macam taik ni apahal nak datang awal jugak. Tak malu ke.

Keputussan SPM diagih agihkan oleh guru kelas masing-masing, kalau gua tak silap la. Sampai giliran gua, Mak Pah menyebut nama gua : Mohd Adib! Haa, saya ingat awak dah fail dah! Nasib baik lulus!

Jatuh sekejap jantung gua masuk ke perut kemudian naik balik. Bila gua belek je result tu, dia tulis gua punya aggregate 25 (masa tu masih pakai sistem aggregate). Gua buat satu senyuman yang paling lebar sekali.

"Peh!!! 25 beb! Terima kasih cikgu! Terima kasih cikgu! Gua dapat pangkat satu beb!"

Itu jam gua rasa nak melompat. Tapi terbantut bila Mak Pah bersuara:

"Pangkat satu apa benda. 25 tu pangkat 2"

Itu jam, gua memang rasa down gila la. Gua lupa yang pangkat satu sampai aggregate 24. 25 dah masuk pangkat 2. Gua toleh belakang, semua buat muka simpati nak gosok kepala gua.

***

Ok gua terus balik rumah taknak enjoy-enjoy dan berjanji akan balas dendam kalau dapat masuk Universiti nanti.

Nasib baik bila masuk universiti gua dah jadi terer tiba-tiba. Kakaka.

****Kepada yang dapat resulttak berapa power tu, rilek. Perjalanan masiiiiiiiiiiiih panjang gilaaaaaaaaaaaaaaaaa. Bancuh air pun kerjaya apa.

20.3.13

NOTA UNTUK AFINNA



Sekarang Afinna ada satu hobi baru. Dia selalu nak panjat atas bahu gua dan nak capai benda yang tinggi-tinggi. Nak pegang frame pintu la, nak pegang frame gambar dekat dinding la, nak pegang kipas dinding la, nak pegang shower la, nak cuit itu, nak cuit ini.

Gua selalu perasan, bila dia dapat pegang benda-benda tinggi ni, nanti dia akan ketawa. Gembira la dapat pegang. Selama ni asyik dapat tengok dari bawah je. Gua pun mula-mula letih juga nak melayan benda macam ni. Tapi lama-lama bila dah selalu main benda ni, buat gua terfikir dan mendalami secara makrifat, apa yang Afinna nak capai itu adalah impian dia.

Dia bercita-cita nak pegang frame gambar. Jadi dia memasang impian. Bila dah pasang impian, dia kena pula ada usaha. Usaha dia ialah pujuk gua main dukung belakang. Susah sebenarnya dia nak ajak gua main sebelum ni. 24 jam sibuk. Nak fesbuk lagi, nak main gitar lagi, nak bertukang lagi. Bila dah dapat dukung belakang, maka tercapai la impian dia nak pegang frame gambar yang tinggi tu. Maka, tersengih-sengihla Afinna lantaran apa yang dhajati tercapai.

Itu pada anak kecil, begitu juga dengan kita. Kalau kita nak sesuatu, dan bila tercapai dan ada pula orang  yang sokong kita mesti la kita seronok dan puas hati kan?

Jadi, gua menanam azam di dalam diri, apa saja impian yang Afina impikan bila dia besar nanti, seperti belajar sampai oversea ke, nak jadi askar ke, nak jadi jurutera ke, nak itu, nak ini, gua danPuan Bini akan sentiasa 'mendukung' dari belakang agar impian dia tercapai. Dukung belakang pada aku adalah simbolik kepada 'moral support'. Sampai dewasa Babah akan support lu, Afinna.

Eh, apasal gua jadi abah-abah sangat hari ni?


18.3.13

BARU SEBENTAR TADI

Gua punya semangat balik kerja tadi sebab nak makan nasi. Lapar gila sebab satu hari gua tak makan ni. Puan Bini cadang nak masak sardin dengan sayur goreng.

Tapi tiba-tiba tak jadi nak masak sardin sebab tadi terbeli popiah otak otak. Lagipun dia sekarang tengah musim jogging malam. Tapi hal macam tu tak patahkan semangat gua nak makan nasi.

Sampai rumah, gua terus basuh besar dan tanak nasi.

***

Tapi sampai sekarang gua tak dapat makan lagi sebab gua lupa nak petik suis rice cooker ke 'cook'.Patutlah gua tak nampak asap kepul kepul.

Rasa nak menangis pun ada. Bukan apa, gua kesian tengok perut gua ni. Nak pakai lama ni.

TIOMAN RAGE 6 (FINAL PART)


Gua pun tak berapa ingat berapa hari sebenarnya kami semua stay di Pulau Salang. Sama ada 4 hari ke 5 hari. Tapi yang paling gua ingat ialah kami tak cukup duit nak bayar sewa chalet tu. Bajet dah burst. Ini gila babi ni. Silap-silap boleh jadi orang tahanan dekat pulau. Kena kerah basuh bot ke, repair jala ke, ambik sub pasang atap zink ke. Aah gila, gila. Gua nak balik juga. Berenang pun tak apa.

Kami merancang untuk balik pada keesokkan harinya, sebelah pagi. Jadi malam tu ingat nak setelkanlah duit sewa chalet. Bincang punya bincang, masing-masing nekad la apa nak jadi. Mintak diskaun ke, bayar kemudian ke. Try je la mana yang dapat. Janji dapat balik. Papan dan Jawa menjadi delegasi kami berenam.

Maka, berjalan kakilah Papan dan Jawa menuju ke rumah orang tua tu. Sampai di sana, mereka bagi salam, tak ada orang sahut. Banyak kali juga bagi salam, tapi tak ada yang menyahut. Setelah beberapa lama, Papan dan Jawa dah naik fed up, pintu rumah dibuka. Keluarlah seorang wanita tua, iaitu isteri kepada sang suami, empunya chalet.

"Pakcik kau tak ada. Dia pergi surau la." Nenek tu tegur sambil senyum. Tapi tak salam sebab bukan muhrim.
"Ni kami nak bayar sewa bilik ni Nek.."
"Apa dia? Cakap kuat sikit." (Reminder : Nenek ini kurang mendengar)
"KAMI NAK BAYAR SEWA BILIK"
"Ooh..alamak, Nenek tak tahu la korang sewa berapa malam..Ha..berapa malam?"

Papan dan Jawa saling berpandangan.....

***

Muka berseri-seri bila balik dari membayar sewa bilik. Pelik juga. Takut-takut juga kalau Papan menjual diri untuk melangsaikan hutang sewa bilik. Jangan membuat hal.

"Ok semua dah setel. Esok boleh balik dengan aman."
"Kau bayar semua sekali ke?" Cipan tanya.
"Aku cakap dengan nenek tu nak bayar  untuk 3 hari. Tapi nenek tu dengar 2 hari. Jadi aku bayar je la 120.00 untuk 2 hari." 
"Esok pagi dia kata tinggalkan je kunci dekat dalam bilik." Jawa tersengih macam hero dapat memperdaya orang tua.

***

Pagi-pagi lagi kami dah berterabur berkemas nak keluar dari bilik tu. Takut jugak kalau pakcik tu datang tuntut duit chalet. Gila mana nak cekau. Kalau boleh cagar dengan bulu ketiak, dah lama kami kumpul dan ikat dalam sampul tangan. Lepas kucar-kacir bersiap, semua bersepah berlari ke jeti. Dalam hati semua berdoa janganlah pakcik tu datang dekat jeti, ataupun dia doa feri yang kami naik karam. Lepas setel beli tiket semua feri pun sampai, dan kami pun berjaya naik, menandakan kami akan meninggalkan Pulau Salang yang bakal kami rindui, tinggalkan makwe Perancis, tinggalkan buah kelapa dan parang, tinggalkan Mat Saleh teammate bola sepak pantai, juga tinggalkan pakcik dan isteri dengan bayaran chalet kurang di tangan. Ampun, kami tak cukup wang. kami baru je habis SPM. nanti kami dah jadi Polis, kerja dah bagus, kami cari pakcik lagi. Itupun kalau kami ke sana lagi la. 

Dan kami bawa balik kenangan paling best dalam hidup kami, bawa balik kulit hitam, rambut hangus, bahu sunburn (tak boleh backpack sebab sakit sangat), dan paling penting bawa balik kejayaan yang budak kampung macam kami pun boleh travel jauh gila dari rumah kalau nak, kalau ada impian.

p/s:
Gua pun dah lupa, Cipan dah pasang balik ke belum kipas dinding yang dia campak tempoh hari.

TIOMAN RAGE 5


Masuk hari ketiga, duit dah mula rabak. Bajet memang la bajet, tapi makan petang, makan malam takkan la nak tangkap ikan di laut dan buat unggun api. Rokok pun nak kena beli jugak. Duit nak balik nanti pun nak kena spare. Jadi hakikatnya, kami tak boleh berbelanja walaupun dalam tangan masih ada wang.

Dan dalam time macam ni, orang yang paling kurang menyumbang selalunya akan dijadikan korban. Bart Bachik akan incas segala apa benda yang dirasakan sedap dan dapat menjimatkan wang. Yela, badan pun dah rasa berapa nak sedap ni. Hidup dekat sini : Bangun tidur, pantai. Lepas tu tidur. bangun balik, pantai. Begitulah dari siang membawak ke malam. Berhari-hari. Kadang-kadang je kami pergi main bola sepak pantai dengan mat saleh.

Main bola sepak pantai ni pertama kali gua main bila sampai di Tioman. Ingatkan senang macam main futsal atau bola sepak padang. Rupaya penat nak mampus. Kami pernah lawan 2 orang mat saleh, lawan kami 4 orang. Sudahnya gua muntah air tepi court. Entah makan apa la mat saleh tu punya la fit. Tak penat langsung.

Berbalik kepada cerita makwe Perancis sebelah chalet gua tu, kami selalu lihat mereka berkepit dengan satu jantan jepun. Jantan Jepun ni Bart Bachik syak konco Yakuza. Badan dia penuh tatu. Kalau dia keluar berjalan sekitar pantai, dia tak pakai baju dan cuma pakai sarung. Rambut panjang dia ikat kemas. Bart Bachik buat andaian dia ni Yakuza yang sedang dalam pelarian. Entah apa dia kelentong, makwe Perancis boleh lekat.

***

Satu petang tu, tekak kami rasa sangat nak minum air kelapa. Disebabkan nak beli air kelapa tu harga dia agak mencabar jugak, kami semua ambik keputusan pergi petik saja di pokok kelapa yang bersepah dekat pulau ni. Haa, kalau bab ni memang Bart Bachik la jadi mangsa. Maka terkial-kial la Bart Bachik panjat pokok kelapa. Tak la tinggi mana. tapi kesian jugak bila orang lalu lalang tengok budak tak ada duit nak minum air sedap. 

Lepas dapat kumpulkan kelapa, dalam 5-6 bijik, datang pulak satu problem. Macam mana nak kopek kelapa ni. Bart Bachik dengan muka kesian pergi ke sebuah kedai makan yang selalu kami sarapan (bekalan roti dan susu dah habis).

"Bang, pinjam parang boleh tak bang?"
Brader tu hulur parang. "Jangan tak pulang pulak.". Dapat sound sedas.

Lepas siap kopek kelapa. Bart Bachik datang semula ke kedai tu.

"Bang, mintak air batu sikit boleh tak?"
Kecik beso kecik beso brader tu tengok Bart. Gua buat-buat sibuk karate pokok kelapa. Papan anyam daun ketupat.


Nota :

1. Brader tu bagi juga la ais dengan percuma. Gua dah cakap mulut Bart Bachik ni ajaib.
2. Parang tu sampai la kami balik, kami tak pulang-pulang.
3. Badan dah mula kena sunburn. Kulit dekat bahu melepuh-lepuh. Masing-masing taknak duduk 
    rapat-rapat. 
4. Hari tu kantoi Papan bawa bedak setelah kami selongkar beg dia. Macam adik-adik sapu bedak dekat badan lepas mandi.


BERSAMBUNG..

16.3.13

TIOMAN RAGE 4


Gua tak sangka rupanya sebelah chalet gua ni ada 2 orang makwe dari Perancis. Ye la malam tadi mana la perasan, diorang pun mungkin tiada di chalet. Mungkin pergi 'pub'. Kekeke. Itupun gua tahu keesokkan paginya, bila Bart Bachik pagi-pagi huru-hara kejut semua orang. Segala beg dia lempar atas katil. Cilake takde adab.

"Woi! woi! sebelah rumah kita ada minah saleh woi! Tadi dia ambik bra dekat luar tak pakai bra! Berlengging gitu je!"

Peh! Cargas bijik mata masing-masing berebut nak pergi tengok dekat luar. Tapi minah tu dah masuk dalam.

Hampa nikmat dunia.

Lepas masing-masing ambik roti sorang dua keping dan cicah susu buat sarapan, Jawa pergi lepak dekat beranda hisap rokok. Dan kebetulan tu makwe omputih tu duduk di beranda rumah mereka sekali. Gua yang duduk dekat dalam ni terdengar la Jawa cuba cakap orang putih dengan makwe sebelah. Gua yang dari dalam rumah ni, Jawa banyak guna perkataan 'quite', 'quite'. Antara dialog yang gua dapat tangkap ialah 'quite expensive', 'quite far', dan juga 'quite delicious'. Agaknya Jawa masa tu hanya tahu perkataan 'quite' saja. Kira strong la English kalau tahu guna perkatan 'quite' ni. 

Makwe sebelah pulak rupanya tak berapa fasih English jugak. Tergagap-gagap. Jadi kenalah. Macam Beruk cakap dengan Orang Utan. Kemudian Papan keluar dari rumah dengan tak pakai baju nak tunjuk terer cakap orang putih. Aku pun tak pernah dengar dia cakap orang putih selama ni kecuali 'Shut the fuck up man' (?), 'Shit damn it' dan juga 'F**k off'. Itu je.

"So, where you're from?"
"Oh hi. we're from France." makwe berdua menjawab serentak sambil senyum tengok Papan tak berbaju dan berseluar Hawaii. Masa tu pesen seluar Hawaii tengah 'in'.

"Oooh. I remember you're from England." Sambil buat muka manis. Badan masih cuba dikepak-kepakkan bagi nampak tough.

Makwe berdua blur sekejap. Gua tarik Papan masuk dalam. Buat malu kaum betul la.

"Bukan 'I remember' la. 'I thought' la bodoh!." 
(Benda ni jadi bahan sepanjang di Tioman, membawak la ke kampung)

***

Mandi time! 

Lepas siap-siap lebih kurang, kunci pintu chalet, kami semua menuju ke pantai. Paintai agak jauh sedikit. Ye la nak rumah murah, dapat la hujung-hujung. Gua singgah sebentar ke kedai untuk membeli keropok dan rokok Perilly's 25. Rokok perang.

Sampai di pantai, gua lihat semua dah terjun. Wah seronok betul. Gua campak keropok atas pasir, bukak baju kemudian terus terjun tiruk dari atas batu besar yang ada tepi pantai tu. Air dia biru betul Ikan warna-warni main tepi pasir je.  Peh, nikmat betul pekena air laut ni. Suam-suam kuku, waktu tu masih pukul 9 pagi.

Lepas 15 minit mandi, Mar Kidal nak naik atas. Nak pekena keropok dan rokok. Gua nampak dia mundar mandir, seperti mencari sesuatu di celah-celah baju.

"Amende woi?"
"Rokok mana, rokok?"

Tiba-tiba gua rasa nak raba poket seluar gua......

***

Malam kedua tu, gua terpaksa salai satu persatu batang rokok, berjumlah 25 batang kesemuanya. Dah macam penagih dah. Sedih juga bila diperlakukan begini. Tapi nak buat macam mana. Kalau beli lain nanti bajet lari.

Tapi boleh tahan juga rokok Perilly's perisa air laut ni. Ada rasa pasir sikit.

BERSAMBUNG...

15.3.13

TIOMAN RAGE 3


Pukul 8.30 malam kami sampai di Pulau Salang, sebuah perkampungan nelayan yang tak berapa nelayan. Gelap betul 8.30 dipulau ni. Dekat situ ada banyak warung yang diusahakan oleh orang kampung, yang apabila tengah malam berubah menjadi pub. Power betul. Kami yang baru bangun tidur masih mamai tengok ramai orang dekat pulau tu. Memang ramai gila orang putih dekat sini. Orang China, orang Jepun, Orang Perancis, Orang Itali pun ada. Orang Eskimo je gua tak nampak.

"Ni mana kita nak tidur ni?" Papan bertanya sambil landing dekat satu buaian wakaf yang diikat pada pokok. Bagus betul ada banyak buaian wakaf.

"Cari homestay la. Apa lagi. Takkan nak tidur tepi pantai?"

Terpusing-pusing la Papan dan Jawa mencari hotel/ homestay/ bilik sewa. Yang lain duduk menunggu di bawah pokok berhampiran. Perut lapar nak mampus. Last makanan masuk ke perut gua adalah Mee Bandung di Muar. Tapi nasib baik gua ada bawak bekal roti gardenia dan susu. Entah kenapa gua bawak susu pun tak tahu. 

Rata-rata bilik dah penuh. Ye la sampai pun lewat. Susah la sikit. Sampai di penghujung pulau, kami terjumpa dengan bilik kosong. Bila tanya dengan orang di situ, mereka suruh kami ke sebuah rumah untuk memohon bilik sewa. Bilik sewa (atau lebih tepat chalet) itu diusahakan oleh sepasang suami isteri yang tua. Isterinya pekak sediit. Kami kena cakap kuat-kuat.

"Nak sewa chalet? Oh boleh. Satu chalet RM 60. Tapi boleh masuk 3 orang je. Kalau ramai, kena sewa lain lah." Pakcik Chalet mensajeskan kepada Papan dan Jawa. Chalet yang dimaksudkan itu adalah rumah kayu yang rupa dia sebijik macam rumah Felda lama-lama, versi mini. Ada beranda, tangga, katil queen size sebijik, kipas dinding sebijk dan bilik air kecil. Senang cerita bukan untuk 3 orang, 2 orang pun belum tentu.

"Kami ni bertiga je." Papan menipu orang tua. Demi penjimatan duit.

"Nah. Kunci. Kamu buka la sendiri. Pakcik tak larat nak jalan. Letak sikit deposit dekat sini. Bila nak keluar lagi nanti, bayar lagi. ok?"

Ok saja Papan kalau benda begitu.

Wang deposit dan kunci chalet bertukar tangan. Papan dan Jawa pulang dengan gembira. Berebut kami masuk rumah. Badan dah berlengas gila ni. Naik-naik rumah je Cipan terus slam atas tilam. 

Prak!! Katil patah. Peh tak sampai satu minit duduk dah ada benda rosak. Bala-bala. Petik kipas dinding, tak hidup juga. Waah, bala-bala.

Akibat rage yang terlampau, Cipan campak kipas dinding ke luar tingkap dan kami tidur berhimpit2 atas katil yang patah. Dan lantai ada sedikit pecah. Akibat lompat-lompat. Perangai Yakjuj Makjuj.


BERSAMBUNG..


p/s : Semua orang mentertawakan gua bila gua bawa sebuku roti gardenia dan setin susu. Macam sial kena kutuk. tapi last-last roti dengan susu tu lah jadi sarapan kami sepanjang kami berada di sana. Semua makan senyap-senyap tak berani nak kutuk dah.


TIOMAN RAGE 2


Setelah membuat perjalanan bodoh ke Pulau Tioman (Kami ambil bas Muar-Batu Pahat-Ayer Hitam-Mersing-Jeti sedangkan hanya perlu Muar-Segamat-Mersing-Jeti) kami pun sampai la di jeti. Masa tu dah dekat pukul 5.30. Kira feri pun last trip lah. Mujur kami semua sempat beli tiket.
Ok cerita sekejap pasal laluan bas kami tu. Kalaulah Muar ke Pulau Tioman tu adalah satu bulatan, maka kami telah membuat laluan sejauh 3/4 bulatan. Sedangkan laluan sebenar hanyalah 1/4 bulatan. Bangang.
Masa nak beli tiket tu, sebenarnya itulah pertama kali gua dengar yang rupanya Pulau Tioman ni ada banyak pulau. Gua ingat Pulau Tioman tu macam satu pulau yang besar je. Masing-masing kucar kacir tak tahu nak ke pulau mana. Tak boleh salah pilih ni. Duit ngam-ngam je.
"Bang, apasal banyak pulau pulak dekat Tioman ni?"
"Pergerakan bumi" Macam sial ulat tiket tu punya hujah.
"Kau orang nak pergi pulau yang mana satu ni? Cepat sikit!" Brader Ulat tinggi suara sikit tengok kami duduk melahu tak beli tiket lagi.
"Ok macam ni la bang. Pulau mana yang paling best sekali?"
Brader Ulat tenung wajah sorang-sorang. Muka masing-masing baru lepas SPM memang mintak penampar.
.
.
.
.
.
.
"Ok. Kau nak tak pergi ke pulau yang paling jauh, paling hujung, makan paling murah dan banyak minah saleh berjemur?"
"Nak! Nak! Nak!"
Terjelir-jelir masing masing dengar khayalan Brader Ulat.
"Maka, pergilah kamu semua ke Pulau Salang." Brader Ulat menyarankan sambil koyak tiket feri.
***
Tepat jam 5.30 petang feri pun bertolak. Sebetulnya hanya group kami dan ada dua Mat Saleh je nak naik last trip tu. Hati gembira tak terkata bila akhirnya dapat juga ke Pulau Tioman. Menjerit jerit kami kesukaan. Masing-masing tak sabar nak jejak kaki di Pulau Salang. Sambil-sambil tu masing masing-jadi jakun bila nampak ikan dugong berenang kejar feri.
Tapi gembira tu sekejap je la sebab perjalanan ke Pulau Salang ambil masa 3 jam. Masing-masing bersepai tidur dalam feri.
p/s : Dalam Feri tu Papan dan Jawa slow talk dengan Mar Kidal, suruh pakai dulu duit saman. Mar Kidal menyerah kalah.
Dengar cerita sampai sekarang tak bayar saman motor RXZ dia.
BERSAMBUNG...

14.3.13

TIOMAN RAGE 1


"Ok,kompom eh?" berkali-kali Papan tanya sambil tunjuk peta.

Adventure kali ni, kami nak ke Pulau Tioman pulak. Dengan bajet yang minimum dan semaksimum trip. Memang cuak sikit sebab ini melibatkan benda jauh ni. Kalau tak cukup duit, mampus tersadai dekat pulau jadi nelayan.

"Betul la. Ikut laluan ni la." Jawa meyakinkan. Laluan yang dimaksudkan ialah Muar-Batu Pahat-Ayer Hitam-Mersing-Jeti. Menaiki bas sangkut-sangkut.

"Ok, masing-masing esok jangan lupa pau mak bapak. Jangan tak bawak duit dah la. Jumpa dekat stesen bas." Papan briefing konon-konon incas ketua rombongan.

Bersemangat gila babi gua bila balik meeting malam tu. Esok pagi ada misi penting. Ke Pulau Tioman. Gua tak mintak Abah duit, sebab duit kerja angkat kelapa dulu masih berbaki RM 100.00. Budak lain gua tak tahu la.

***

Petang itu Gua dan Bart Bachik sudah melepak di stesen bas. Hujan agak lebat masa tu. Gua sempat pekena Mee Bandung, ye la takut jugak kalau gua tersangkut dekat pulau nanti sebab duit tak cukup, tak la kempunan.

Kemudian sorang-sorang sampai. Papan, Jawa, Cipan,Mar Kidal. Kami pergi berlonggok kejap kumpulkan duit yang ada:

Gua ada 100.00
Papan 100.00
Jawa 100.00
Cipan 60.40
Bart Bachik 30.00
Mar Kidal 100.00 (sebenarnya ada 300.00, duit abang bagi suruh bayar saman motor, tapi merahsiakan dari pengetahuan kami)

Gua rasa nak belasah je Bart Bachik sebab dia bawak 3o hengget je. Kau nak pergi Sunway Lagoon pun tak lepas la cilaka. Tetapi disebabkan jiwa muda yang sentiasa optimis, kami yakin trip ini akan berjaya. Dengan jumlah wang 490.40, untuk 6 kepala, kami berharap kami berjaya la  survive di pulau idaman tu.

Naik bas, turun bas, naik bas, turun bas...

Bas terakhir, bas Mersing ke Jeti. Bas power lantai kayu seat kulit sintetik. Perjalanan tu memang macam setan. Jalan bengkang bengkok. Orang tak berapa ramai dalam bas tu. Sempat la gua bertegur sapa dengan brader konduktor bas.

"Kau orang ni bawak beg banyak-banyak nak pergi mana ni?"
"Pergi Pulau Tioman la bang..!" Semangat Bart Bachik jawab.
"Waah!! Jalan-jalan. Memang best tempat tu. Tapi kalau setakat bawak 100.00 sorang baik tak payah. Memang tak cukup!"

***
Gua dah pandang sayu je muka Bart Bachik. Ada harapan dia nak jadi korban Pulau Tioman ni. Gua pun ada rasa macam nak suruh brader bas tu u turn balik ke Muar.

BERSAMBUNG...

8.3.13

PANGGILAN POLITIK

Satu petang tahun 2011

A: Hello, assalamualaikum
B: W'salam. Siapa ni?
A: Ni abang xxx la. Ni Adib ke?
B: Ooh abang xxx. Ni saya la ni. Kenapa? Nak order kek lapis ke? 
A: Eh tak la, ni abang call ni ada hal nak bincang dengan kau.
B: Eh, hal apa pulak tu bang. Lain macam la bro...men
A: Ni, abang dah bincang dengan 4-5 orang dekat sini. kami ingat nak lantik kau jadi Ketua Pemuda untuk kawasan dekat sini. Amacam? Ha? Ha?

B: Hah? Ketua Pemuda? Gila ah. Apasal saya pulak ni bang?
A: Ye la, aku tengok kau je yang boleh harap nak gerak budak-budak dekat sini.
B: Haha, budak-budak sini pun ramai yang saya tak kenal lagi. Saya ni baru je balik kampung bang. Entah esok lusa keluar kampung lagi.
A: Tapi aku tengok kau ni macam boleh harap la. Kedai pun kau ada. Senang nak fotostat apa benda nanti.
B: (Cari akal)..Err tapi bang saya ni Ketua Pembangkang..
A: Hah?! Kau biar betul. Bapak kau tahu mampus kau.
B: Hahaha. Gurau je la. Sebetulnya saya taknak la bang jawatan tu. Bagi la dekat orang lain.
A: Hmm, dah kau taknak nak buat macam mana. Bukan boleh paksa. Terpaksa la aku perah otak cari orang lain lagi.

A: Hehehe. Ok la bang. Saya ada banyak order fotostat nak buat ni. Kalau abang nak order kuih lapis, datang la kedai nanti. Booking awal. Raya nak dekat ni.
B: Iye la..haha. kbai.

Gila, gila.

6.3.13

MOVEMENT


Suatu pagi masa tingkatan empat seingat aku la, waktu cuti sekolah, gua tengah melepak-lepak dengan Acad. Hari sabtu minggu tu dia ada perform di gig Muar. Masa tu Acad masih main muzik berirama crusty punk lagi. Sekarang dah tua, tubuhkan Deepset pula. Aku cakap aku nak try dengar lagu selain hardcore.

Acad cakap dengan aku :

"Kau suka ska.? Ska Punk?
"Ska memang la aku suka, Punk pun minat jugak."
"Ok. Apa kata kau dengar dulu dengan lagu ska-punk. kau layan dulu Catch 22."
"Catch 22 tu band ke? Aku ingat tajuk novel."
"Tajuk novel pun ada nama Catch 22 jugak. Tapi yang ni band ska punk."


Semenjak itu aku menyelam mencari apa itu ska punk. Aku berjumpa dengan Catch 22, Streetlight Manifesto, I vote for Kodos, Mighty Mighty Bosston, Less Than Jake. Aku juga ada berjumpa dengan pojaan aku, Operation Ivy, Rancid No Doubt dan Exploited di simpang yang lain.

Aku berharap aku tak timbul-timbul lagi dari selaman itu.




BANYAK SOAL


Gua pergi minum-minum dengan budak site gua tadi di kedai Mark Chicks Laksa. Entah apa angin tah hari ni C.O.W gua jadi  banyak cakap pulak. Terkena saka lori konkrit barangkali. Semua kuih muih dekat situ dia tanya. Namum dengan tabah Mark Chicks Laksa menjawab. Muka rilek je sambil balut popia basah power, sambil sekali-sekala membetulkan / menayang gelang emas besar di tangan. Poser.

"Cik, kuih karipap ni siapa buat?"
"Yang tu orang hantar."

"Cik, kuih lepat ni makcik buat ke?"
"Tak lah. yang tu pun orang hantar."

"Cik, kuah pekat tu pakai santan tak?"
"Mestilah pakai santan. Gila tak pakai santan?"
"Pakai santan kotak ke santan perah sendiri?"

Peh soalan.

Namun Mark Chicks Laksa menjawab dengan suara manja. "Santa kotak.."

Dia diam sekejap. Mungkin dah takde soalan nak tanya.

........

Baru nak rilek 5 saat.
"Cik, yang pasal karipap tadi tu, karipap sardin ke karipap kentang?"
"Karipap kentang. Apahal"?
"Kentang tu beli ke tanam sendiri?"

Kecik beso kecik beso Mark Chicks Laksa tengok dia. Gua tak cakap banyak. Terus karate meja. Orang bertempiaran lari.

5.3.13

MENGINSTALL GAME

Semenjak The Ketuak's berpindah ke Muar, gua agak rapat dengan mereka, terutamanya Ketuak Adik memandangkan mereka tinggal berdekatan dengan rumah gua. Bapanya pula membuka sebuah kedai buah-buahan, juga di area  rumah gua.

Untuk pengetahuan, Ketuak Adik ni semangat dia lain macam kalau bercerita bab mainan, bab game. Semangat gila babi. Dia memang memandang serius betul industri permainan dan industri Tamiya.Tak macam Ketuak Abang. Rilek-rilek je.

Ada satu hari tu, gua terbuka cerita, beritahu dekat rumah gua ada komputer. Padahal itu komputer untuk kegunaan kerja abah gua. Komputer jenis lama. Yang siap ada adapter besar gila, dengan printer bising macam nak print resit  dekat kedai tayar.

Ketuak Adik terencat semacam pula bila dengar rumah gua ada komputer. Dia cadang pada gua supaya install game. Gua mana la tau sangat nak install benda2 ni masa tu. Tapi dia kata dia boleh tolong. Anak kawan bapak dia yang tinggal di bandar ada game best. Gua cabar dia kalau rajin datang la rumah hari minggu ni. Gua cabar je. Tak suruh pun.

***

Petang sabtu tu, sedang gua rilek-rilek layan cerita Hindi, gua dikejutkan dengan panggilan salam dari luar rumah. Gua selak langsir, Ketuak Adik sedang terjerit-jerit bagi salam. Dengan muka berpeluh, bawak beg dan basikal Avantee dia. Gua dah serba salah ni. Kepantangan betul dalam undang-undang keluarga gua orang datang time tengahari.

Nak tak nak, gua pun terpaksa keluar. Sampai di pagar, Ketuak Adik dengan muka tak sabar cakap, slanga Sabah: "Beb, aku ada bawak game ni. Best punya. Ada dalam disket ni. Aku ambil dari kawan aku di bandar."

Gua garu kepala....

Dengan berat hati, gua persilakan Ketuak Adik masuk dan merogol komputer abah gua. Gua perasan abah gua jeling-jeling dari ruang tamu, tapi gua tak berani nak angkat muka pandang dia.

Klik! Klik! Tap!

Ketuak Adik install game. Nama game tu Doom. Gila babi power Ketuak Adik install game. Guna MS-DOS masa tu. Gua kagum betul. Di sebalik main Tamiya, Saidina, pistol buah ceri, rupanya celik It. Power, power!

Semenjak peristiwa install game Doom tu, Ketuak Adik kerap datang ke rumah gua pada waktu tengahari, sekaligus melanggar undang-undang rumah gua. Sampai abah gua pernah sorok kabel komputer.

Kuasa rakyat betullah kau ni, Ketuak Adik!