setegram

Instagram

15.4.13

USTAZAH FAEZAH


Masa sekolah dulu, pernah tak kau mengalami perasaan, daripada kau malas nak belajar, tetapi kau jadi sangat rajin, hanya disebabkan oleh seorang guru? Subjek yang tak minat pun jadi minat, yang kau benci, yang kau rasa kaulah paling bengap dalam sekolah, tiba-tiba kau rasa naik makam dan ada ilmu sikit nak buat kerek-kerek dengan kawan-kawan.

***

Mungkin cerita aku ni dah macam Great Teacher Onizuka, tapi itulah yang berlaku, khususnya batch aku sekitar 1997. Tahun tu adalah tahun PMR bagi kami. Bahasa Arab aku masih berterabur. Begitu jugak dengan Mok, Atok, Yen. Joe Suki apatah lagi, perkara asas yang tingkatan satu dulu pun masih terkial-kial lagi.

Aku tak berapa ingat siapa yang mengajar kami Bahasa Arab masa tu, tapi aku sangat-sangat-sangat la tak minat dengan subjek tu. Sampaikan aku dah tanam dalam kepala, nak fail pun fail lah. Boleh masuk sekolah Teknik. Apa ada hal. Subjek Bahasa Arab tu aku buang jauh-jauh. Sehinggalah pada satu hari, datanglah seorang Guru Bahasa Arab yang baru ke sekolah aku. Namanya Ustazah Faezah. Orangnya biasa-biasa saja, berpewatakan biasa, menarik tidak, kurang menarik pun tidak, dan sudah tentulah bertudung labuh seperti ustazah-ustazah yang lain di sekolah aku.

Dan dia ditakdirkan untuk mengajar kami Bahasa Arab.

Hari pertama Usatazah Faezah masuk ke kelas, masing-masing buat muka manis. Iyalah, taknak tunjuk belang lagi. Kemudian hati mula menjadi tak tenteram bila dia mengutarakan untuk mengadakan kelas tambahan pada waktu petang, memandangkan kami semua ni haram jadah satu apa pun tak tahu. Separuh yang bersetuju, dan tak sedikit juga yang membantah. Alangkah dalam kelas pun boleh skip, inikan pula buat kelas waktu prep. Bye-bye la..

Tapi Ustazah Faezah tabah. Dia tahu dia sudah diamanahkan oleh majikannya untuk memuilihkan kami semua. Untuk memastikan yang kami ni sekurang-kurangnya tahu juga nak menjawab semasa di dalam perperiksaan nanti. Sekurang-kurangnya tidak membuang masa melukis Ji Fat dan Biduanda Tebuan di atas kertas soalan, seperti yang dilakukan oleh Badsen.

Dengan berat hati melangkah jugalah kami ke kelas tambahan Bahasa Arab. Belajar noun, verb, buat karangan, soal jawab. Oleh kerana Ustazah Faezah ni pandai mengambil hati, sedikit demi sedikit pembelajaran kami menjadi seronok. Aku dah jadi sedap pulak nak tunggu kelas arab, dan tak sabar nak tahu perkataan baru, ayat baru, dialog baru.

***
Sebulan sebelum PMR

3.00pm

Ustazah Faezah mengajar kami seperti biasa. Seperti kelas tambahan hari-hari yang lain. Tapi hari tu dia kelihatan kurang ceria. Walaupun bibir dia sentiasa mengukir senyum, tapi macam dibuat-buat. Macam ada perasaan yang tak lepas dari dalam hati. Mungkin juga dia sedih melihat kehadiran pada hari itu. Ramai budak tak datang kelas tambahan. Atok awal-awal lagi dah sound, tak nak masuk kelas tambahan. Dia nak bantai tidur dekat hostel.

Tapi kami tak pulak bertanyakan apa-apa pada Ustazah Faezah. Kalau tanya pun bukannya ustazah nak beritahu pun. Dan kelas tambahan tu tamat pad pukul 4.30 petang, seperti biasa. kami pulang ke asrama, ustazah pulang ke rumahnya.

6.30pm 

Aku dikejutkan dengan berita yang Ustazah Faezah terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan pulang kerumahnya. Dan yang lebih menyedihkan, Ustazah Faezah meninggal dunia di tempat kejadian. Berita tu betul-betul menggemparkan hostel hari tu. Aku ingat lagi macam mana aku, Atok, Joe dan yang lain-lain menangis tak ingat dunia di belakang surau. Menangis pun kena sorok-sorok, tahut terkantoi dengan junior. Suasana memang sangat sedih masa tu. Atok meracau racau nak minta maaf pada arwah, sebab dia paling banyak skip kelas. Tak sikit yang menyatakan kesal sebab tak belajar sungguh-sungguh. Tapi semuanya dah terlambat. Ustazah dah pergi.

Hancur lebur perasaan masa tu. Semangat nak belajar bahasa arab tiba-tiba hilang. Ustazah Wan (tak silap aku) dimasukkan untuk menggantikan arwah tidak mendatangkan apa-apa kesan. Hati masing-masing sudah lebur. Sudah hancur.

PMR 1997, Kertas Bahasa Arab

Semasa di dalam dewan perperiksaan, kertas Bahasa Arab, aku masih ingat lagi aku menjawab karangan dengan air mata bergenang di mata, sampai pandangan aku menjadi kabur. Dan aku masih ingat lagi, aku terdengar bunyi orang tersedu sedan dan tarik hingus. Aku tahu, mereka juga seperti aku pada waktu tu.

Al Fatihah untuk Ustazah Faezah, guru Bahasa Arab, 1997.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan