setegram

Instagram

28.2.15

BAGAIMANA JIKA

26.2.2015
What if (Mocca)
------------------

Beberapa hari yang lepas saya diselubungi perasaan bersalah.

Usai asar di Masjid Sepang, saya didatangi oleh sekumpulan geng jubah. Salah seorang daripada mereka memberi salam kepada saya. Saya sahut salamnya. Lantas dia menghampiri saya dan bertanya apakah saya boleh berbahasa Arab.

Saya terfikir kali terakhir saya berbahasa Arab adalah semasa berumur 15 tahun,  sewaktu ujian dialog. Jadi saya jawab kepadanya saya tidak pandai berbahasa Arab. Kemudian dia kata saya menjawab salamnya dalam bahasa Arab.

Lalu, saya harus menjawab salamnya dalam bahasa apa lagi selain Arab? Wa'alaikumsalam itu standard prosedur menjawab salam. Takkan saya mahu menjawab salam di dalam bahasa Thailand pula.

Saya tidak pasti dia bergurau atau dia memang sebenarnya blur, memandangkan dia kata mereka dari Saudi Arabia.

Jadi kami berbahasa seterusnya di dalam bahasa Inggeris.

Ok berbalik kepada cerita geng jubah tadi. Dia mendatangi saya dengan bahasa yang sopan,  bertanya khabar dan sebagainya. Dia kata telah menunggu saya hampir 15 minit kerana hatinya telah terbuka pada kali pertama sewaktu berjumpa di tangga masjid sebelum itu. Saya abaikan poin itu kerana itu ayat klise untuk meminta pertolongan atau menjual produk. Lantas saya terus bertanya padanya apa tujuannya.

Dia meminta saya untuk menderma atau mewakafkan Al Quran. Dia juga meminta saya menulis nama saya, nama ibu bapa saya di atas sekeping kertas. Katanya untuk didoakan di hadapan Kaabah. Tetapi melihatkan keadaan kertas usang yang kelihatan lebih kepada kertas bungkusan,  saya tidak yakin kertas ini akan sampai di hadapan Kaabah.

Tetapi saya tulis juga lah kerana saya manusia yang percaya kepada keajaiban. Saya juga diarahkan menulis jumlah wang yang hendak disedekahkan. Saya menulis rm 10.00

Dia memandang saya dengan wajah sedikit terkilan. Dia menegaskan bahawa wakaf Al Quran adalah sebanyak rm 250.00 per unit. Saya hampir terperanjat dan mengatakan tiada wang sebanyak itu untuk diberikan pada waktu itu. Tetapi dia berterus terusan meminta saya rm 250.00 untuk 'diwakafkan' sambil memancing nama saya dan keluarga akan didoakan di hadapan Kaabah.

Saya menjadi sedikit berang kerana dipaksa begini. Saya katakan padanya saya tiada wang sebegitu banyak untuk diberikan.  Dia tetap bertegas juga meminta jumlah tersebut. Akhirnya saya katakan saya akan beri rm 50.00 sebagai sedekah. Saya menjangkakan itu akan meredakan perbualan kami yang sedikit tegang.

Nyata dia tidak mahu menerima sedekah saya itu. Dia tetap mahu saya mewakafkan rm 250.00. Tidak boleh kurang.

Entah apa yang saya fikirkan waktu itu,  saya memintanya untuk tunggu sebentar barang setengah jam. Saya perlu ke tempat kerja saya untuk mengambil yang yang diminta. Sedangkan di tempat kerja saya pun bukannya ada mesin ATM.

Sebenarnya saya terus pulang ke rumah. Sengaja membiarkan dia terkulat kulat menunggu saya membawa rm 250.00 kepadanya. Waktu itu saya rasa dia mahu menipu saya. Hati saya disalut dengan perasaan marah dan bengang. Marah kerana dia memaksa saya dan bengang kerana dia tidak faham konsep asas bersedekah. Iaitu ikhlas.

Sampai di rumah, perasaan bersalah pula mula menyelubungi saya. Apa jadi padanya yang menunggu saya di masjid? Mungkin hatinya kecewa kerana saya membiarkannya begitu. Bagaimana pula kalau dia sememangnya tidak menipu? Bagaimana pula kalau dia memang di dalam kesusahan?

Lantas saya makan nasi dan ayam goreng untuk mengendurkan perasaan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan