Semenjak makan sate dan roti kentang (yang dicicah dengan kuah sate) malam tadi, aku mendapat sakit perut yang amat. Dan sewaktu kelam kabut untuk ke tandas, aku tidak tahu buku apa yang harus dibawa. Jadi aku mencapai sebiji buku tanpa melihat lalu berlari deras ke bilik kecil.
Ini bukunya. Perempuan Tua Di Kedai Sup.
Aku mendapat buku ini pada minggu lepas, tetapi belum berkesempatan untuk membeleknya. Dan semenjak semalam, semakin banyak helai aku selak, semakin aku merasakan buku ini tidak patut dibaca di dalam tandas. Bahasanya terlalu indah hingga aku terbuai buai. Tuturnya lembut tidak keras. Kisahnya adakala pedih.
Buku ini adalah sebuah naskah yang patut dibaca di kerusi, di meja membaca, di tepi sawah, atau di mana sahaja asalkan bukan di dalam tandas.
Buku ini jadi rapat dengan aku.
Kali terakhir aku menjadi rapat dengan buku, bermakna sangat rapat hingga ke mana sahaja aku bawa, adalah buku Yang Nakal Nakal himpunan Usman Awang. Dan ini buku yang kedua.
Akan Selesai mengingatkan aku pada zaman belajar aku yang jahiliah. Bising pula mengenangkan aku tentang perangai bodoh aku yang memberontak dan melarikan diri suatu waktu dahulu. Mana mungkin aku melupakan semua itu sehingga mati.
Hari ini, aku pimpin Perempuan Tua tulisan Ptk Daud ini ke hospital untuk rawatan perutku yang menggila. Mahu menunggu klinik panel dibuka, terasa seperti jam di dinding sudah kehabisan bateri. Bimbang juga tadi kalau aku tiba tiba sebak nanti di kerusi menunggu.
Mujur tidak berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan