13.1.2015
Di Pondok Kecil (Budak kecik mana entah dan UNIC)
Bukan budak darjah satu je tempuh alam baru. Budak tingkatan satu kena masuk asrama macam mana?
Kebanyakan kata macam masuk neraka. Kebanyakan.
Masuk hari ni dah 3 hari kiranya budak tingkatan satu masuk asrama. Masa zaman aku, minggu ni memang minggu penyeksaan. Minggu orientasi. Senior senior semua 'nak berkenalan'. Kau tengah berak kena tendang pintu, kau mandi tuala kena curi, biskut mak kau bagi hilang. Masa tu loker kau punya almari tak kurang dari 2 set dia punya kunci. Macam ada simpan emas.
Itu belum lagi selipar pasang mangga, ataupun toreh nama besar besar. Atau baru belajar skil sorok sebelah selipar jauh jauh. Kau juga mesti pelik tengok budak pergi mandi atau pergi surau pakai kasut sekolah.
Selipar hilang lah tu.
Dah masuk 3 hari ni aku gerenti masih terkulat kulat bangun bersubuh di surau. Kemudian bersarapan nasi goreng yang real punya kering. Kadang kadang kena tuang air teh bagi basah sikit. Baru juga belajar makan guna tray. Baru tahu pisang dewan makan tak semuanya sedap. Ada yang dah berulat.
Baru kau kenal apa itu ikan jaket.
Dan sangat menghargai aiskrim yang hanya wujud pada hari Jumaat kelak.
Kau masih belajar biasakan diri sebut 'assalamualaikum bang, assalamualaikum bang' bila berselisih dengan orang yang kau tak kenal, walaupun orang itu sebenarnya budak batch kau. Play safe orang kata.
Waktu maghrib, biro surau akan bagi taklim, bayan, usrah. Dan kau catit dalam buku nota. Paling gampang, biro surau akan bernasyid lagu:
Di pondok kecil
Di badai ombak
Berbuih putih
Beralun alun
Saja nak bagi kau menangis rindu dengan mak bapak.
Kemudian pergi prep, kau pun tak tau nak buat apa.
Paling cuak, bila lampu bilik ditutup pukul 11.00 malam. Semua tak boleh tidur sangat sebenarnya. Tapi kejam mata kuat kuat. Bukan apa, takut takut ada budak tingkatan dua datang kejut kau. Kata ada brader tingkatan 4 nak jumpa kau.
Kau seorang.
Rakan sebilik hanya memandang sayu sahaja. Seolah mengucapkan selamat pergi dan selamat pulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan