setegram

Instagram

23.10.13

REDO

Minggu lepas semasa membuat inspection di rumah-rumah kompeni aku, aku ada memberi beberapa komen tentang kemasan bangunan. Dinding yang retak telah dibetulkan tetapi kemasannya tidak sempurna. Lalu aku menulis di dinding 'redo' (buat semula) agar kelihatan lebih kemas dan sedap mata memandang. Banyak rumah juga aku tulis perkataan 'redo' ni.

Pagi tadi aku datang semula untuk kerja re-inspect. Aku lihat kerja yang aku suruh masih tak buat. Malah perkataan re-do tu masih ada berconteng di dinding. Aku panggil supervisor bertanyakan hal ini. Ok, supervisor mengaku tak masuk rumah buat double check. Dia serah bulat-bulat dekat mamat Indon tu. Nama Indon tu Kozin. Eceh macam orang Yugoslavia pula nama. Dia budak baru dekat site sini.

"Kozin, apasal kau tak repair semua ni. Aku nak close ni."
"Abang yang tulis 'redo'. Saya biarkan saja la. Maknanya abang 'redo' la kan?

Aku rasa aku salah dengar.

"Kau cakap balik apa tadi?"
"Redo."
"Redo tu apa?"
"Redo la bang. Redo, redo (redha)" jelas Kozin sambil buat gaya letak tapak tangan di dada.

Kecil dewasa kecil dewasa aku tengok Kozin ni. Redha kepala hotak kau. Kena hantar balik Madura juga ni karang.

Aku tak redha selagi kau tak redo.

22.10.13

PERTAMA KALI

Aku tak pernah suka bila berjauhan buat pertama kali dengan keluarga. Dah banyak kali aku kena, tetap tak suka. Sekurang-kurangnya pada hari pertama. Sebab selalunya hari kedua aku dah ada kawan dan dah ok. 

Aku masih ingat kali pertama aku berjauhan dengan keluarga adalah masa kena duduk asrama di sekolah Tun Perak. Tengahari tu abah kemas loker aku. Mama susun baju aku. Kemudian abah pasang mangga loker 2-3 biji, yang aku tak berapa lama kemudian kena kopak sebab kunci hilang. Menjelang petang abah dan mama balik, aku rasa keseorangan. Malam tu, aku menangis sorang-sorang atas katil (aku duduk katil atas.) Menangis sebab tak pernah kena tinggal.

Bila masuk sekolah teknik, aku duduk di rumah sewa di Solok Bukit Piatu. Rumah Mak Melah. Kami berempat masa tu. Malam tu aku tidak lah menangis macam aku tingkatan satu dulu, tapi mata aku terkebil-kebil fikir apa akan jadi esok hari. Nasib baik hari pertama aku diceriakan oleh penjaga, Mak Melah. Dia baik. Sewa bilik dekat rumah dia memang best. Bangun pagi dah ada sarapan. Balik sekolah makan tengahari pun dah siap. Makan malam pun sama. Macam hotel.

Lagipun Mak Melah ada anak dara 2 orang yang tinggal sekali dalam rumah tu. Bukan anak dara sebenarnya, tetapi pangkat kakak-kakak. Seorang kerja kilang, seorang belajar di USM. Kadang-kadang bila bangun terawal sangat, kami ternampak kakak tu berkemban pergi mandi. 

Mat Ramat dan Topek selalu mandi lama selepas itu, sampai kami terlewat ke sekolah.

Bila masuk Diploma di Seri Iskandar, semua student tak duduk di hostel. Masa tu hostel hanya ada di UiTM Manjung sahaja. UiTM Seri Iskandar baru sangat masa ni, dalam proses penambahan. Semua student lelaki kena duduk di bangunan JKR. Macam rumah flat , berlatarbelakangkan hutan belantara yang aku saspek ada nyamuk gajah. Aku masa tu adalah second intake student. Abah aku lagi best masa tu. Lepas register, dia letak aku dekat flat tu, terus dia blah. Geram betul aku.

Aku dapat bilik di tingkat dua, berkongsi dengan budak QS semester dua. Satu muka pun aku tak familiar dekat situ. Dah la semua nak cakap slang-slang. Cakap Perak, cakap Pahang, cakap Kedah paling ramai. Ni aku nak cerita bilik aku ni. Aku dapat bilik belakang, paling sempit. Aku rasa tu sebenarnya setor. Ada katil dua tingkat. Almari besi satu. Tetapi aku seorang sahaja di situ. Tak ada kawan. Kipas tak ada. Bilah tingkap pula banyak yang hilang.

Aku pun tak tahu macam mana aku boleh kebal duduk dalam bilik tu. Penuh nyamuk, sunyi. Malam pertama aku tidur dengan air mata bertakung. Rasa macam kena buang keluarga.

2 malam selepas tu aku dah tidur bilik member dah. Sampai hujung semester.
Waktu degree? Biasa-biasa je. Haram tak sedih. Seronok kemain.

Habis belajar, aku dapat kerja pertama yang mengikut bidang. Kerja pertama aku, tu ha buat German Malaysian Institute di Bangi. Dekat belakang UKM. Kompeni tempat aku kerja ni baik sikit, dia bagi rumah. Ada 2-3 orang kawan belajar dulu juga kerja di sini.

Tapi berdebar tetap berdebar. Langkah pertama aku masuk ke rumah tu disambut oleh seorang Cina berkacuk Siam bertubuh gemuk. Aku keliru pada mulanya tentang identiti dia. Dia boleh cakap Cina, tapi muka macam Melayu, ada tatu Siam, cakap slang Kedah. Cakap bayak pulak tu. Kemudian aku baru tahu dia tu pomen dekat site.

Malam tu aku tak tidur langsung, takut dia apa-apakan aku. Itulah pertama kali aku tidur serumah dengan orang ada tatu yang berperangai kasar. Last-last dia jadi kawan, nak tukar minyak hitam kereta je panggil dia. Free. Cuma aku tak suka dia suka paksa main snuker dengan dia. Dah la asyik main bola letup sampai terpelanting keluar table.

Eh penat lah. Nanti lah sambung.

21.10.13

RUMAH SEKSYEN 12


Siapa yang duduk Shah Alam rasanya tahu tentang sebuah banglo di SS12. Banglo yang dikatakan tak pernah siap pembikinannya. Sebab setiap kali nak install tingkap, mesti pecah. Mungkin tuan rumah tu dah fed up, dia tak jadi duduk di rumah tu.

Pernah satu musim tu, tahun 2005, kami semua tengah kemaruk nak cari hantu. Ini semua penangan Uncle Seekers la ni. Kali ni nak main dekat-dekat je. Jadi kami bercadang ke rumah tersebut. Perjalanan dari Padang Jawa dilakukan pada pukul 2.00 pagi. Kalau diikutkan, suasana di taman itu tidak lah berapa seram. Lampu jalan banyak. Cuma di lorong rumah itu sahaja yang sedikit gelap.

Secara kebetulan, sampai sahaja kami di sana, ada satu geng dari Klang pun nak masuk rumah itu. Ok juga la, ramai sikit. Tapi bila nak masuk ke dalam rumah tu, ramai yang enggan join. Jadi tinggallah aku, Toyol, Bond siapa lagi aku lupa. Adalah 5-6 orang termasuk geng Klang. Yang lain semua melepak dalam kereta hisap rokok.

Panjat pagar rumah tu dah satu hal. Tinggi yang amat. Gelap pula masa tu. Aku panjat pagar dari sebelah tepi. Turun sahaja dari pagar, rupanya sikit lagi aku nak terjatuh ke  dalam kolam renang tak ada air. Kalau jatuh tadi, memang naya.

Sekarang aku berada di dalam kawasan ruang tamu rumah. Memang sah tidak lengkap pembikinannya. Tingkap ada kesan pecah, lantai tak lengkap bermozek, daun pintu aku tak pasti hilang atau kena curi. Pokok menjalar di sana sini. Seram juga la.

Salah satu cara untuk mengesan entiti ialah berdiam diri. Itu cara yang paling murah la. Jadi kami duduk mencangkung dan mematikan diri, sesenyap yang boleh.

Di hujung sesi, aku ada terdengar bunyi dentingan jam. Jam dari jenis Grand Old Man aku rasa. Jam yang ada bandul tu. Terdiam sekejap aku jadinya. Cepat-cepat kami keluar dari situ.

Kami semua bersepakat bahawa bunyi jam tadi datangnya dari rumah jiran sebelah. Dan rumah ini tak ada hantu.

18.10.13

BOS GILA

Ada satu bos dekat tempat aku. Bukan bos aku tapi bos department lain.

Kecelakaannya sangatlah besar. Selalu bagi orang lain susah. Site dia memang selalu delay. Kualiti teruk. Kena marah dalam meeting macam makanan. Tapi dia ada beberapa falsafah menarik yang dia pegang. Antaranya ialah:

1. Dapat tugasan ni macam main bola. Kita dapat bola, jangan simpan lama-lama. Terus sepak kasi orang lain. Lama-lama nanti you kena tackle.
2. Tahu apa itu tangungjawab? Lu tanggung, lu jawab la.
3. Kita guna kongsikong macam ubat gigi. Kalau sudah mau habis, kita gulung-gulung ubat gigi sampai keluar isi. Betul-betul habis baru buang.
4. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur. Kalau sudah jadi bubur, saya pun tak mahu makan.
5. Duduk sini telinga mesti kosong. Masuk sini terus keluar sini.
6. You mahu mana? kualiti ke gaji?

Aku syak dia inilah punca dia boleh stay sampai 20 tahun.

10.10.13

PAPAN PUAKA MASLINA


Maslina sangat bosan hari itu.

Pada petang Jumaat begini, sepatutnya dia sudah pulang ke kampung berjumpa kedua ibu bapanya di Johor Bahru. Tak ingin dia duduk di sekolah dan asrama yang sudah berusia hampir 100 tahun ini. Menyeramkan. Tetapi memandangkan banyak lagi kerja sekolah yang tidak siap, terpaksalah dia tinggal di asrama bersama 4 orang rakannya yang lain.

"Padan muka aku. siapa suruh tak siapkan awal-awal.". Marahnya pada diri sendiri.

Sebenarnya, bukan dia sahaja yang marahkan diri sendiri hari itu, tetapi ada beberapa lagi rakan sekelasnya yang turut terkandas tidak dapat pulang ke kampung. Dan mereka semua merancang untuk menyiapkan kerja sekolah secara grouping sewaktu prep malam nanti.


***

Sesudah habis separuh dari kerja sekolah, Maslina dan rakan-rakan bergegas menuju ke dewan makan. Selalunya selepas prep mereka akan singgah sebentar di kantin untuk membeli Coco Bar sebatang dua. Tetapi, kantin tutup pula hari ini, memandangkan sedikit sangat pelajar yang tinggal di asrama. Barangkali brader kantin sudah mencongak, tiada untung kalau dia buka kantin malam itu.

Sampai di dewan makan, mereka dihidangkan dengan biskut kering cap Ping-Pong, dan air teh kurang manis. Duduklah mereka berenam di meja dewan makan, mencicah biskut sambil memandang muka masing masing.

Ah bosannya!

Waktu berlalu sangat lah lambat bila tiada apa yang hendak dibuat. Maslina sudah tidak tahan lagi. Dia mesti melakukan sesuatu untuk memecahkan kebosanan, sekurang-kurangnya untuk hari ini.

"Wei kawan, aku ada satu idea  untung menghilangkan boring kita malam ni."
"Nak ajak buat mende? Baling selipar?" Tanya Wani, budak Terengganu yang tak mengaku Terengganu.
"Kita main spirit of the coin nak?"

Semua terdiam.

"Biar betul kau ni Ina?" Wani bertanya semacam takut-takut.
"Ye la, habis nak buat apa lagi.." ujar Maslina mangharap rancangannya menjadi.

Semua budak masih lagi terdiam.

***

Maslina membentangkan kad manila berbentuk segi empat tepat yang baru dicontengnya tadi. Ada huruf A hingga Z. Kemudian di bawahnya pula ada nombor 1,2,3 hingga 0. Kemudian Maslina menulis lagi perkataan 'Yes' dan 'No' di bahagian atas kad manila, dan perkataan 'Goodbye' di bahagian bawah sekali. Dan perkataan 'Home' di tengah-tengah.

Lampu bilik ditutup. Kemudian Aina, budak Melaka yang mengaku Melaka memasang lilin untuk menambahkan lagi thrill. Mereka duduk bersila mengelilingi kad manila tersebut.

Maslina menghulur tangan kepada Wani. "Mana?"

Dengan muka masam, Wani menyerahkan duit syiling zaman penjajahan British yang memang sentiasa terselit di dalam dompetnya. Pemberian dari ayah tersayang.

Maslina meletakkan syiling tersebut di tengah kad manila. Dia mengarahkan semua rakannya menyentuh syiling tersebut.

"Ingat, jangan siapa lepaskan jari dari syiling ni tau, sebelum habis game ni. Kalu tak, naya kita."

Dia yang agak biasa dengan permainan ini mengetuai pembacaan mantera:

Spirit, spirit of the coin.
Spirit, spirit of the coin.
Spirit, spirit of the coin.
Please come out and play with us.

Mereka beramai-ramai membaca mantera tersebut berulang kali. Masuk sahaja ulangan mantera yang kelima, syiling tersebut bergerak tak tentu hala di atas kad manila kemudian kembali ke tanda Home.

"Woi, siapa gerakkan syiling ni. Jangan main-main woi." soal Wani separuh menjerit. Cuak juga syiling tu bergerak sendiri.

Masing-masing menggelengkan kepala. Nelly, budak seterengganu dengan Wani sudah berkaca matanya. Jelas ketakutan sudah melanda dirinya.

"Rilek, Nelly. Rilek.." Sungguh tenang Maslina mengawal keadaan.

"Spirit spirit of the coin, siapa nama kau?"
Syiling bergerak ke huruf J-I-N-A.

"Jina?" Syiling berlari ke tanda 'Yes'.
"Berapa umur kau?"
Srett..syiling bergerak ke nombor 9-8 sebelum kembali ke tanda Home.

"98 tahun? Tuanya kau!" Wani mengolok 'Jina' tetapi syiling tidak bergerak. Mungkin ia serius.

Semua orang sudah semakin seronok dan berani.

"Nelly, kau tanya pulak lah!" arah Maslina.

"Erm..Jina. Kenapa kau mati?" tanya Nelly takut-takut.
J-A-T-U-H

"Eh, jatuh dari mana pula?"

Syiling tidak bergerak.

"Jatuh dari mana, Jina?"
K-O-R-I-D-O-R. Semua terdiam.

"Kau tinggal di mana?"
Syiling bergerak lagi. H-O-S-T-E-L.

Maslina tiba-tiba cemas. Janganlah Jina kata dia dari asrama sini.

"Hostel mana ni Jina? Jauh kan?" Maslina mengharap jawapan yang positif.

Syiling bergerak ke tanda 'No'.

"Habis hostel mana pula?"
Syiling bergerak dengan laju S-I-N-I.

Masing-masing sudah cuak. Wani mencadangkan supaya mereka berhenti bermain sebelum apa-apa terjadi.

"Jina" Maslina bersuara lembut. "Kami dah tak nak main dah. Kau boleh balik ye?"
Syiling tak bergerak.

"Jina, please.." rayu Maslina. hendak melepaskan jari, tidak boleh. Masing-masing sudah lenguh.

Syiling masih diam.

"Jina.." belum sempat Maslina mengahabiskan cakap, syiling bergerak ke tanda 'No'. Terkedu semua.

"Jina, tolonglah. Kami janji tak akan kacau kamu lagi." Ujar Wani sambil kepit kaki nak tahan kencing.

Berulang kali mereka merayu kepada syiling itu, tetapi Jina masih mahu 'bermain' dengan mereka. Setelah puas dirayu, tiba-tiba syiling tersebut bergerak ke arah 'Goodbye'.

Ah leganya. Masing-masing melepaskan jari dari syiling tersebut. Maslina mengibas-ngibas tangnnya tanda lenguh. Wani pula berlari ke tandas untuk membuang air. Nasib baik Jina beralah tadi.

Sekembalinya Wani dari tandas, dia terus duduk bersimpuh di hadapan kad manila tersebut. Mukanya pelik dan sedikit pucat.

"Kenapa pula dengan kau ni Wani?" ujar Maslina.

Wani memandang tepat ke arah Maslina. Kemudian dia tersenyum nipis. Kemudian dia bersuara seperti seorang tua:

AKU TAK NAK BALIIIIIIIK!!!

Maslina kaget lantas berlari laju merempuh pintu bilik. Sementara Wani mengejarnya sambil ketawa besar.

***
Subuh itu warden bertugas dikejutkan dengan berita gempar. Dua orang pelajar kelihatan terbaring di laman hostel. Seorang lagi terperosok di dalam longkang. kepalanya hancur teruk. Mereka dipercayai jatuh dari tingkat 4 asrama.

8.10.13

SATE LALAT RAHMAN


Detik 1 pagi yang ditunggu menjelang tiba.

Hati Rahman masih gundah gulana. Entah betul atau tidak perbuatan yang akan dilakukannya ini. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia tinggalkan bilik ini dan pergi tidur. Tetapi hati yang sebelah lagi pula kuat untuk menyaksi sendiri benda itu.

***

Petang sebelumnya, kecoh asrama tentang kehilangan beberapa harta milik pelajar. Sebenarnya kejadian seperti ini sudah berlarutan semenjak dua minggu yang lalu. Hilang wang di dalam almari yang berkunci, hilang selipar, hilang tuala. Hilang seluar dalam ada juga. Tetapi bab seluar dalam tu bukan hilang, tetapi salah letak. Tahu-tahu saja dah kering mengeras terperosok di bawah katil, atau di ampaian akibat lupa nak ambil.

Ramai budak kata ini perbuatan makhluk bernama toyol. Rahman, selaku budak bandar dari KL tak percaya dengan benda-benda macam ni. Dia lebih yakin kalau ada orang kata perbuatan ini kerja budak-budak nakal yang kurang iman di dada. Atau kurang perhatian keluarga. Mana mungkin ada makhluk toyol di zaman begini. Tetapi ramai juga yang membuat muka jelik apabila Rahman menyaggah sombong begitu. Belum jumpa lagi, boleh la sembang macam-macam.

Zam-Zam, senior atas setahun dari Rahman, dengan tenang menghampirinya.

"Man, kau tak percaya ada toyol?"
"Benda tak wujud kenapa aku nak percaya, bang?" Rahman menjawab. Bernada sedikit angkuh.
"Kalau macam tu, malam ni kau buat lah sate lalat. Pasti kau percaya selepas nampak toyol."
"Sate lalat?"
"Ya. Sate lalat."

Zam-Zam menerangkan secara terperinci bagaimana untuk membuat sate lalat, alat yang digunakan untuk memanggil toyol. Lalat sebanyak tujuh ekor ke atas (berbilangan ganjil) harus dicari. Kemudian lalat-lalat tersebut haruslah dicucuk dengan lidi penyapu. Buat lah beberapa batang unuk menjamu toyol tersebut. Yang penting setiap cucuk itu mestilah tujuh ekor kesemuanya, atau berbilangan ganjil.

Untuk memanggil toyol pula, haruslah berada di dalam kawasan yang gelap dan sunyi, sambil mengibas-ngibaskan sate lalat tersebut sambil memanggil dengan nada memujuk 'sate lalat, sate lalat'. Upacara menyeru itu haruslah dibuat di dalam kedudukan bersila, dan tidak berbaju.

Setelah faham butirannya, maka bergegaslah Rahman ke dewan makan untuk mencari lalat. Bukan perkara sukar baginya mencari lalat di dewan makan. Tunggu sahaja berhampiran tong sisa makanan. Meliar lalat dan langau di situ sebelum diambil oleh seorang apek tua untuk diberi kepada itik dan babi peliharaannya.

Zap, zap, zap. Rahman dapat mengumpul kira-kira 25 ekor lalat, dan beberapa ekor nyamuk juga. Tak sabar dia hendak membikin sate. Dicarinya pula bilah-bilah lidi. Kemudian dicucuk lalat tersebut dengan berhati-hati. Nah, sate lalat sebanyak 3 cucuk sudah siap.

***

Di satu sudut setor di asrama tersebut.

Stor yang dipenuhi dengan almari lama dan tilam-tilam lapuk dan berlubang.

Rahman duduk bersila dengan tenang. Tiada siapa menyedari akan perbuatannya itu. Koridor asrama pun sudah bergelap waktu itu. Kebanyakkan pelajar sudah masuk tidur. Sesudah masuk di dalam setor tersebut, dia mengunci rapat pintu dari dalam. Rahman membuka baju. Kemudian, dengan berhati-hati dia mengeluarkan sate lalat yang dibungkus elok di dalam lipatan surat khabar.

"Sate lalat..sate lalat..sate lalat..sate lalat"

Dalam keadaan setor yang gelap, sunyi dan hampir tiada bunyi ini, pendengaran Rahman menjadi sangat tajam. Matanya cuba dibeliakkan sebesar mungkin. Tapi hampir tidak nampak apa-apa. Udara pula ibarat terkepung dan statik di dalam setor, menyebabkan bau hamis lalat bercampur bau sisa makanan menerawang dan hampir memuntahkan Rahman. Tetapi dia cuba bertahan.

"Sate lalat..sate lalat..sate lalat..sate lalat.." Dia memanggil tanpa jemu. Berpeluh jangan cerita.

Tiba-tiba telinga Rahman menangkap satu bunyi di dalam bilik setor tersebut. Kreeok...

"Eh, apa pula ni?" bisiknya dalam hati.

Bunyi seperti pintu almari dibuka. Seraya Rahman berpaling dan cuba meninjau. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah gelap yang pekat. Dia cuba terus merenung ke arah bunyi tersebut datang dan mematikan diri semaksima mungkin. Barangkali waktu ini, jantungnya berdegup pun dia boleh dengar. Sementara itu, perbuatan mengipas sate lalat sudah lama dihentikan.

Bunyi tadi semakin jelas. Rahman cuba memasang telinga sefokus mungkin. Dia dapat menangkap bunyi seperti benda terjatuh ke atas lantai. Kemudian bunyi kain diseret.

Kemudian bunyi nafas yang berat dan tersangkut-sangkut. Cukup untuk membuatkan Rahman merasa menyesal berada di dalam setor tersebut. Bau bangkai yang busuk dan bau lumpur mula silih berganti mencucuk hidung Rahman. Dia masih lagi menggagahkan diri memerhati sedari tadi. Tidak sedikit pun dia berpaling.

Dalam keadaan cahaya yang sangat sedikit itu, akhirnya dia dapat menangkap satu susuk. Di atas lantai di hadapannya. Susuk tersebut seperti menuju ke arahnya. Rahman bertambah cemas. Entah kenapa dia tidak dapat bersuara dan bergerak. Dia pasrah sementara susuk itu sudah berada di hadapan silanya.

***

Asrama kecoh tentang kehilangan Rahman. Sudah seminggu tidak dijumpai. Ibu bapa Rahman pun sudah diberitahu. Ada desas-desus mengatakan Rahman panjat pagar sekolah. Tetapi tiada siapa dapat mengesahkan berita tersebut.

***

Rahman berasa sangat lemah. Badannya sudah kehilangan banyak tenaga. Dan dia masih tidak dapat meloloskan diri dari susuk yang memeluknya dengan erat di dalam almari di setor asrama.

Dia berserah sahaja. Mungkin ajalnya akan sampai sebentar nanti. 

7.10.13

MENJEJAK TANAH

Masa aku darjah enam dulu, aku dan beberapa rakan pernah buat kerja gila. Balik sahaja dari ko-kurikulum pengakap pada hari Sabtu, hati membuak-buak nak merayap. Time tu, hanya hari Sabtu je Abah aku bagi naik basikal ke sekolah. Hari lain kena naik motor dengan dia.

Jadi pada hari tu, aku, Bart Bachik, Niko, Farhan, Eddy Roslan dan beberapa yang lain merancang nak merayap jauh sikit. Setakat pergi taman-taman sebelah dah tak adventure dah. Jadi kami pun kayuh la basikal. Ikut tayar la mana nak bergerak.

Jalan punya jalan, aku dah sampai dekat sempadan Melaka dah, Sungai Rambai. Masa tu mercu tanda Kesang, Beca Besar tu belum wujud lagi. Tapi ada gambar Sang Kancil besar dekat sempadan sungai tu.

Itu adalah perjalanan yang paling jauh pernah aku kayuh pada masa tu.

Sampai saja di situ, kami dah kucar-kacir tak tahu nak buat apa. Bart Bachik dah resah takut kantoi dengan bapak. Jadi, kami putuskan untuk berehat sebentar sebelum pulang semula ke Muar. Kami pergi la melepak di sebuah wakaf yang dicipta khas untuk makwe-pakwe berendut.

Dekat wakaf tu, aku nampak la ada beberapa contengan dan vandalisma. Samada menggunakan liquid paper ataupun toreh pakai pisau. Ada yang tulis 'Mamat love Ramlah', 'Sayang Abang Zam', '20 Februari tarikh keramat' dan macam-macam lagi la. Pelik jugak diorang pergi dating bawak liquid paper. Niat pergi dating tu je dah tak betul.

Eh, aku bukan boleh nampak benda-benda macam ni. Sebagai seorang yang mementingkan sejarah dan arkib, aku dan rakan berbincang apa benda yang kita kena buat untuk menunjukkan kita dah sampai dekat Melaka. Liquid, pisau apa semua mana bawak. Bincang punya bincang :

TUIH! TUIH! TUIH!

Kami sepakat mengambil keputusan untuk meludah sahaja di atas bangku wakaf itu, sebagai tanda dah jejak tanah. Bart Bachik mengumpul sejumlah ludah yan agak besar untuk menunjukkan dialah ketua rombongan.

Kalau kira balik, umur ludah kami tu dah 19 tahun. Kalau ludah tu manusia, dah masuk Universiti dah.

5.10.13

SUBJEK LUKISAN


Masa di sekolah dulu, ada sekali tu guru lukisan aku pergi bercuti. Jadi subjek lukisan diganti dengan Warden Belia. Masa tu semua budak ingat Cikgu ni haram apa benda tak tahu pasal lukisan. Ajar Bahasa Melayu bolehlah. Budak-budak ni pula bajet mereka semua handal dalam subjek lukisan.

Bila Warden Belia masuk je kelas, dia terus kata: "Siapa sini pandai melukis?"

Separuh kelas mengangkat tangan.

"Ok. Kalau betul pandai melukis, cuba kamu lukis keadaan kereta remuk baru sahaja lepas eksiden."

Terkuntal-kantil la kami semua melukis kereta lepas eksiden.

Ada pula satu suara berbunyi: "Cikgu saya lukis separuh saja tau. Sebab separuh lagi dah masuk kedai half-cut."

4.10.13

TELESISWA

Pernah dengar perkhidmatan Telesiswa? Sekarang pun wujud lagi kan. Selalu benda ni dipasang oleh brader Telekom di asrama-asrama, untuk memudahkan mereka mintak duit belanja dengan mak bapak. Lepas tu dah dapat duit pergi belanja makwe makan dekat kantin. Setan.

Masa mula-mula telefon Telesiswa dipasang di asrama aku dulu, budak-budak semua jakun. Telefon takde slot nak masukkan duit. Bila kita angkat gagang, ia akan bersambung ke operator. Nasib la dapat operator lelaki ke perempuan. Asrama aku memanjang operator perempuan je yang jawab. Lepas tu kau cakap la nak sambung ke nombor mana, siapa nama. Bil telefon nanti masuk dalam bil rumah mak bapak.

Disebabkan telefon Telesiswa ni letaknya di balik dinding Bilik Neraka, tangan pun asyik la gatal nak buat panggilan. Sikit-sikit angkat gagang nak cakap dengan operator. Kadang-kadang operator sampai merayu tolong jangan call lagi. Penat dia nak melayan.

***

Satu hari tu, poket aku betul punya nipis. Nak beli apa dekat kantin pun tak boleh. Hari tu pula aku terpaksa mengadap ikan masak pindang yang tuhan saja tahu bertapa tak sedapnya rasa dia. Kombo sayur dia pula taugeh sperma yang kepala besar tu. Aku memang tak boleh blah betul dengan taugeh sperma ni. Bau dia mual. Jadi terpaksa lah aku berlapar sampai malam.

Balik dari berzohor di surau, aku tak buang masa terus capai gagang Telesiswa. Aku nak telefon abah minta duit. Minta-minta petang nanti dia datang hantar duit.

"Hello, boleh tolong sambung ke nombor rumah saya?"
"Berapa nombor ye?"
"06 bla bla bla"
"Siapa yang bercakap ni ye?"
"Anak tuan rumah. Cepat sikit ye, saya dah lapar ni."
"Sebentar ye.."

Aku menanti penuh harapan. Dan perut yang menggigil.

"Hello." Satu suara garau di hujung talian. Aku cam betul. Suara abah aku. Memanglah, dah tadi aku kata nak cakap dengan abah aku.

"Abah, Adib ni. Nak mintak duit sikit bah. Dah tak ada ni."
"Haa. Itulah kau. Time tak ada duit barulah nak telefon. Bila kaya, haram tak tanya khabar."

"Err..boleh ye Bah? Adib janji belajar bersungguh-sungguh sampai masuk universiti."
"Hmm. ye lah." Ringkas dan tegas.

Macam tu sekali dia punya janji bila perut dah lapar.

Malam tu aku makan besar. Mee Goreng telur mata, air botol dan take away burger daging.

Sambil kepala sibuk fikir macam mana jalan paling senang nak masuk universiti.

3.10.13

SAYA DAN ORANG SEPARA SIUMAN


Dekat Muar ni ada ramai orang gila. Samada orang tu gila betul-betul ada orng gila yang menyamar. Aku dan rakan selalu syak kalau terjumpa orang gila baru je, mesti nak cakap : "Ini polis menyamar ni. Menyamar jadi orang gila." Antara orang kurang siuman yang ada dekat Muar ni Tukirah Bus Stand, Makcik Botak yang mintak 'baaaang, nak seringgit', lelaki gemuk yang selalu pau rokok orang, brader yang selalu dressup jogging kaler sedondon dan banyak lagi. Macam kaum mutan dia punya banyak. Ramai tapi menyorok.

***

Hari tu aku, Edy Losen, Papan, Bart Bachik baru turun dari UM, pusat snuker yang aku pun tak tahu ada lagi ke tidak. Turun je dari bangunan tu, rupanya hari tengah  hujan lebat. Adoi, tersangkut pulak. Nak naik balik malas rasanya. So aku pun melepak la dekat bawah. Time aku lepak dekat bawah tu (Bank RHB), rupanya ada satu brader kurang siuman tengah tidur di balik kadbod depan tangga bank tu. Terperanjat jugak la tengok tiba-tiba tengok kotak-kotak kadbod tu bergerak.

Timing brader tu memang cantik. Dia bangun time semua tengah on rokok masing-masing. Bangun-bangun je dia terus tuju dekat Edy Losen. 

"Bang, mintak rokok?"

Edy Losen hulur rokok. Brader tu ambil. Dia letak rokok di bibir. Kemudian memuncungkan mulut minta dibakarkan rokok.

"Kepung la sikit api tu. Angin kuat ni." Adi suruh mamat tu kepung sikit muncung rokok tu sebab angin kuat sangat, tak lighter tak hidup.

Brader tu tutup telinga dia.

"Tutup telinga buat apa?!! Tutup sini la! Adoi kau ni! Adi dah berangin dah.
Tersengih-sengih brader tu. Patut la dia tidur celah kadbod.