Aku merenung kawasan Sungai Abong dari tingkap pangsapuri rumahku. Dari tingkat 10. Suasana hiruk pikuk. Jalan raya menjadi sesak. Kenderaan bermacam macam jenis, bermacam macam warna membuntuti antara satu sama lain. Jalan dua lorong menjadi satu lorong. Jalan satu lorong jadi setengah lorong.
Suasana yang biasa pada setiap hari Selasa. Hari pasar malam di Sungai Abong.
Hujan pula turun dengan lebatnya sejak pukul 3 petang tadi. Tapi sekarang sudah renyai renyai. Awan sudah memberi laluan kepada matahari untuk bersiaran semula untuk 2-3 jam ini, sebelum bertukar syif dengan bulan. Aku merenung jam di tangan ku.
Sudah pukul 4.30 petang.
"Dah boleh dah ni.. " bisik ku pada diri sendiri.
Sudah sampai masanya untuk aku mengemas payung khemah, meja, dan barangan jualan ke dalam van mini ku untuk ke pasar malam Sungai Abong. Sepelaung sahaja dari rumah aku jaraknya. Ikutkan hati, pukul 5 nanti baru aku nak turun, tapi bila tengok mak aku gelisah semacam je bila aku buat rilek tadi, aku pula jadi tak tentu arah. Mesti dia syak aku dah jadi pemalas, tak nak berniaga hari ini.
"Bukan tak hendak meniaga mak. Tapi tunggu lah hujan reda sedikit. Nanti Bain pergilah"
Aku menjawab, tapi dalam hati je la.
Pukul 5 aku sudah terpacak di tapak pasar malam. Sambil menunggu pelanggan, aku juga menunggu seseorang yang istimewa buatku. Panjang leher ku mencari kelibatnya. Selalunya waktu orang keluar pejabat ni, mesti dia singgah di gerai ku untuk membeli mee siput power. Tetapi hingga kini, batang hidung pun belum nampak.
"Bang Bain, bang Bain"
Terkejut aku sebaik memalingkan wajahku ke atas. Aku yang dari tadi sibuk membungkus sos untuk mee siput hampir terperanjat bila dia muncul di hadapan ku.
Memperkenalkan, Maryam.
Maryam adakah salah seorang dari pelanggan aku. Tetapi pada aku dia adalah pelanggan yang paling istimewa. Kalau dia beli satu, mesti aku beri dua. Kalau beli dua, aku beri tiga. Kadang kadang aku beri sampai lima. Sampai dia malu hendak berurusan di gerai aku.
Gadis ini berumur 25 tahun. Sebaya denganku. Body nya sedap mata memandang. Rambutnya panjang separas bahu, bawah sedikit. Dia tinggal di kawasan bandar, dan datang kerja dengan menaiki skuter.
Maryam bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kawalan keselamatan kepunyaan Mail Kerabu. Mail Kerabu itu pula adalah ayah saudaranya. Mail Kerabu juga ada masalah dengan aku. Aku pun ada masalah dengan Mail Kerabu. Tetapi masalah aku paling besar adalah aku sukakan Maryam.
"Bagi saya mee siput dua sahaja bang. Jangan tambah. Kalau tak nanti saya tak nak beli lagi."
Aku tersenyum memandangnya. Wajahnya betul betul mencairkan hati aku. Kadang kadang terasa segan pula melihat dirinya yang kemas, berbanding diriku yang selekeh ini.
Dengan cermat aku membungkus pesanan Maryam itu.
"Nah. Hari ni saya tak bagi free. Nanti awak tak datang lagi. "
Wang bertukar tangan.
"Terima kasih bang Bain. " sopan sungguh.
Dan aku memerhati kelibatnya yang semakin lama semakin menjauh.
Macam mana la mak aku boleh fikir aku tak nak berniaga hari ni. Melepas la aku nak menatap wajah Maryam nanti.
(bersambung)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan