setegram

Instagram

6.9.14

FARIZA


Memperkenalkan Fariza.


Fariza adalah seorang pemudi dari selatan tanahair. Berumur 26 tahun, berbody solid, single, lincah dan periang. Fariza bekerja di salah sebuah institusi perbankan terkenal di Malaysia.

Fariza mempunyai banyak hobi. Di masa lapangnya, dia gemar memasak makanan Itali, mengambil gambar sendiri, membaca novel, mengemas rumah, mengambil gambar sendiri dan mengambil gambar diri sendiri.

Ya,  hobi terbesar Fariza adalah gemar mengambil gambar sendiri. Lepas ambil gambar, dia akan edit menggunakan aplikasi Camera 360, memuat naik di Instagram dan merayu like.

Hobi Fariza yang suka mengambil gambar sendiri ini melarat larat dan tidak mengira masa. Waktu makan,  waktu lepas solat, waktu lepas mandi dan waktu memasak ikan goreng fesbuk (ikan goreng yang hangus akibat leka berfesbuk).

Juadah makanan juga tidak terlepas menjadi mangsa kameranya.

Hobi mengemas juga menjadi suatu hal kepada Fariza. Akibat perangainya yang suka berkemas ini,  dia tidak rela untuk berkongsi rumahnya dengan orang lain. Ini menyebabkan Fariza menyewa sebuah rumah di pinggir Kuala Lumpur seorang diri. Fikirnya,  duduk sendiri lebih aman dan rumah sentiasa kemas. Lagipun Fariza mampu,  jadi suka hati dia lah nak menyewa rumah sendiri. Sudah lebih 3 bulan dia tinggal di rumah sewa sederhana besar itu, dan dia aman.

Tetapi kebelakangan ini,  ada perkara yang merunsingkan dirinya. Hingga menyebabkan dia sentiasa kelihatan gelisah di tempat kerja. Murni,  rakan sekerjanya kerap melihat Fariza membelek belek telefon dengan wajah yang cemas. Ingin juga dia bertanya,  tetapi takut dikata menjaga tepi blaus orang pula. Kadang kadang dia lihat Fariza menangis. Kadang kadang dia lihat Fariza merenung sesuatu di telefonnya.

***

Seminggu berlalu,  dan Murni sudah tidak tahan lagi melihat keadaan Fariza. Dia menguatkan hatinya untuk bertanyakan masalah Fariza. Kalau Fariza hendak kata dia ini  penyibuk pun dia tidak kisah.

"Fariza,  kau ni kenapa? Dah dekat dua minggu aku tengok kau asyik bersedih.  Lepas tu kadang kadang menangis. "

Fariza kelihatan agak berat mahu membuka mulut. Dia hanya merenung sahaja wajah Murni seperti meminta simpati.

"Kenapa,  cuba beritahu aku. Mana tahu aku boleh tolong."

Fariza menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan telefon bimbit. Dia membuka aplikasi di telefon bimbitnya.

"Kau tahu kan aku tinggal seorang diri dekat  Ampang kan? "
"Hah,  tahu. Kenapa?"
"Kau tengok gambar gambar ni. " Fariza menghulurkan telefon bimbitnya kepada Murni.

Murni melihat ada koleksi gambar gambar selfie Fariza. Gambar tengah tidur,  gambar tengah mandi,  gambar tengah baca buku. Tetapi kebanyakannya gambar sewaktu tidur.

"Kenapa dengan gambar ni? Gambar kau selfie? Bukan kau memang suka selfie ke?"
"Kau tengok la betul betul.. " Fariza mendesak Murni mencari kepelikan di dalam gambar itu.
Murni terbelek belek koleksi gambar Fariza itu. Pening kepalanya mencari apa yang pelik pada gambar tersebut.

"Entah,  tak tahu lah aku! " dia menyerahkan semula telefon kepada Fariza.
"Gambar ni bukan aku yang ambil sendiri.. " ujar Fariza

"Eh??!! " Murni hampir menjerit. Tetapi cepat cepat menutup mulutnya dengan tapak tangan. Bincang perbincangannya disedari rakan pejabat yang lain.

"Eh, betul lah. Kau tengah tidur. Gambar dari jauh pula tu. Ini pula gambar kau tengah... mandi. Siapa yang ambil ni. Kurang ajar! "

Fariza merenung wajah Murni kembali. Kali ini lebih cemas.

"Tak ada siapa yang ambil semua gambar ni. Aku seorang sahaja di rumah tu. "
"Kau tengok pula detail gambar ni, semuanya pukul 3.15 pagi. Apa dah jadi dengan aku ni? Apa kena dengan rumah tu??"

Fariza menangis kembali. Dan Murni pun rasa mahu ikut menangis juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan