Memasuki ruang kedai yang kecil ini membuat aku rasa senang sekali. Selesa sekali. Dengan cermin berbingkai gaya lamanya, kerusi empuk boleh laras, haruman bedak Holiday Ice, serta bau bauan lain yang sinonim dengan suasana kedai gunting rambut. Ruangnya tidaklah besar mana. 10 kaki lebar dan memanjang ke dalam sebanyak 40 kaki. Kecil tetapi padat dengan segala perkakas. Begitu juga sisa rambut yang hanya disapu pada penghujung waktu kerja nanti. Belum masuk lagi longgokan suratkhabar Kosmo yang dikumpul dari tahun lepas. Untuk dijual ke lori kitar semula barangkali.
Pengunjung kedai ini juga sepanjang masa didendangkan dengan lagu lagu 50an, atau mungkin 60an melalui saluran radio Klasik Nasional. Belum pernah lagi aku dengar kedai ni pasang radio dari siaran Era, Sinar atau yang lain. Hitz Fm lagilah jauh. Dan kedatangan aku hari ini disambut dengan lagu Mengharap Sinar Menelan Kabus nyanyian Ahmad Jais. Intronya sahaja sudah membuatkan aku bersemangat tadi.
Walaupun kedai gunting rambut ini kecil sahaja, tetapi sejarahnya pada aku besar. Dari aku berumur 3 tahun dibawa oleh bapak, sampailah sekarang sudah besar panjang ni, setiaku masih di sini. Pernah juga sekali sekala aku mencuba gunting di kedai lain, tetapi feel dia tak sama. Lagi satu kedai lain tak pasang lagu Ahmad Jais.
"Ha, hang nak buat macam mana hari ni? Biasa? "
**
Ha, pakcik yang tegur aku ni namanya Pakcik Roslan. Tauke merangkap kuli kepada kedai ini. Asal dari Kedah. Orang sekitar sini memanggilnya Roslan Gusi. Sebab bila dia ketawa, orang lebih nampak gusinya dari gigi. Tapi ada juga orang panggil dia Roslan Gunting, atau Roslan Cukur, atau Roslan Sideburn atau...atau apa apa sahajalah. Pakcik Roslan tak kisah. Cuma jangan panggil dia Ros sudahlah. Kena hambat nanti. Tetapi dalam diam aku memanggilnya Pakcik Ros.
"Macam biasa la Pakcik Ros...lan. Botak. Atas pakai nombor tiga, tepi pakai nombor satu".
Aku duduk di atas kerusi empuk berwarna coklat yang dibalut dengan material dari kulit sintetik. Kalau 15-20 tahun yang lalu, aku juga duduk di atas kerusi yang sama, tetapi beralaskan bangku kayu kerana kepala kerusi lagi tinggi dari kepala aku. Bayaran pun murah. Iya lah, kepala budak kecil. Kadang kadang, kalau mood Pakcik Ros baik, dia tak ambil bayaran pun dari bapak aku.
Kain alas berwarna hitam dihampar ke badan aku, kemudian disangkut di leher dengan menggunakan penyepit.
Pakcik Ros memasang tapak nombor tiga di mesin ketam sambil memandang aku tanpa sebarang ekspresi muka. Aku senyum senipis mungkin.
Ngggggggg....
Mesin bertemu di kepala dan rambut pun berguguran.
Dan aku.
Nama aku Bain. Bain bin Mukmin. Seorang pemuda berumur 25 tahun yang tiada kecacatan fizikal mahupun mental. Sihat tubuh badan. Bekerja sebagai peniaga Mee Siput di pasar malam Sungai Abong. Dan aku tinggal di pangsapuri peninggalan arwah bapak bersama sama dengan emak dan adik lelaki aku, Usop. Hobi aku, pergi melepak di kedai Pakcik Ros, dan mengunting rambut gaya botak.
Dan ini kisah hidup aku.
(sambung, penat. )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan