setegram

Instagram

23.4.14

KONGSIKONG


Aku tidak malu untuk mengakui yang aku lebih rapat dengan pekerja bawahan atau kong si kong berbanding dengan sub con yang lain. Walaupun mereka pada mulanya agak segan dengan aku yang dengan selamba pergi melepak di kongsi hapak dan kotor mereka,  tetapi mereka tetap menerima dengan hati terbuka. Kadangkala aku bawa keropok dari rumah, atau belikan buah buahan, agar mereka tidak merasa kekok.

Berbual tentang bukan hal kerja dengan mereka agak seronok pada aku.  Cerita tentang kampung mereka,  kerinduan mereka,  budaya mereka, sosial mereka. Nama nama seperti Mudahnan, Suham, Ratnawi, Soli sudah tidak asing lagi di bibirku,  walaupun aku faham benar,  itu bukan nama sebenar mereka seperti di dalam pasport. Memang menjadi amalan pekerja Indonesia menggunakan nama samaran ketika berada di Malaysia. Mungkin untuk keselamatan.

Kehidupan pekerja Indonesia di Malaysia sangat sederhana. Makan ala kadar. Yang aku perhati, menu tengahari mereka adalah telur dadar dan sayur masak air, setiap hari berbulan bulan. Agak membosankan,  tetapi itu rezeki mereka di sini. Wang lebih penting untuk dihantar kepada keluarga di kampung.

Oh ya. Minggu lepas,  mereka beramai ramai membeli permaidani secara pukal (untuk dapatkan harga murah) untuk dihantar ke kampung.  Persiapan untuk hari raya katanya.

***

Pagi tadi semasa waktu rehat pagi,  aku duduk berbual dengan Sarip, seorang tua yang aku memang harapkan untuk kerja kerja repair plaster. Orangnya tenang,  cakapnya lembut.  Tetapi bila bekerja tidak pernah berbual. Aku mengadu kepadanya keadaan anak aku yang demam mendadak. Dia tanya aku dengan tenang:

"Anak awak lelaki atau perempuan?"
"Anak aku perempuan."
"Umurnya berapa tahun?"
"Sudah masuk empat tahun,  Sarip."
"Wah,  pasti sudah cantik kalau umur begitu,  ya?. Lebih kurang anak saya." katanya sambil menghembus asap kretek dan merenung kosong.

Matanya sedikit berkaca.
Aku dapat merasakan yang kerinduannya sudah datang.

1 ulasan:

  1. short, simple....cliff hanger at the end...i like this bit.

    BalasPadam