setegram

Instagram

26.4.14

NYANYI


Hujan lebat sepanjang jalan membuatkan aku rasa nak menyanyi kuat kuat atas motor tadi. Dari satu lagu ke satu lagu aku menyanyi dengan penuh perasaan. Ala, bukan ada orang perasan pun kalau aku nyanyi.

Dekat Elite tadi,  tengah sedap aku tarik korus, sebuah kereta Proton Saga merah memintas aku. Aku pun tak ambil port, sambil sambung tarik korus. Tapi aku perasan lama pula dia ambil masa nak potong aku.

Bila aku toleh,  aku tengok seorang nenek tengah perati aku dengan muka terkejut. Lepas tu dia geleng geleng kepala. Agaknya dia terperanjat tengok aku menjerit atas motor agaknya. Ini dalam fikiran dia tak ada lain, mesti aku layan lagu trash apa benda semua tu.

Rugi nenek tak buka tingkap tadi.  Kalau tak, boleh dengar aku nyanyi

"aku suka singkong, kau suka keju oh oh oh!"

24.4.14

JAMMED

Laluan highway yang jammed dari Nilai sampai Seremban ni dah masuk kategori adat. Tak ada apa-apa pun jammed juga

Kalau tiba-tiba tak jammed, itu maknanya pihak PLUS membuang adat.

Tak elok begitu. Adat harus dikekalkan.

THE STEADY OF PERHIMPUNAN

Kalau masa sekolah rendah dulu,  waktu perhimpunan, ditugaskan untuk menaikkan Jalur Gemilang tatkala lagu Negaraku dinyanyikan adalah antara tugas yang mendebarkan para pengawas.

Waktu nyanyian tu,  semua mata pelajar tertumpu pada bendera yang sedang ditarik.

Kalau bendera dah sampai dulu ke puncak tiang sebelum lagu habis,  boleh mendatangkan malu besar.

Tapi kalau timing lagu dengan bendera cun, ngam-ngam serentak, dia punya kerek boleh bertahan sampai perhimpunan lagi satu.

23.4.14

ROTAN

"Semalam babah rotan Finna,  Finna marah tak? "

Dia berhenti bermain. Dan meletakkan jari di dagu tanda mencari jawapan untuk soalan aku.

"Emm.. entahlah. Tak fikir. Malas nak fikir. "

Kecil dewasa kecil dewasa aku pandang dia.

DOA

Ingat tak dulu Afinna pernah berdoa 'Ya Allah ya tuhanku,  janganlah mama jadi hantu'?

Hari ni lain sikit.

'Ya Allah ya tuhanku,  janganlah mama pergi ikut bakso.'

Sebab dia ingat mama dia lari ikut lori bakso.

Anak kecil ni kadangkala kita kena ajar sedikit supaya masuk darjah satu nanti tak terselit celah kerusi.

PERIHAL NIAGA

Sekitar 2010, aku pernah menjual majalah di kedai aku. Sukarnya nak mendapatkan bekalan majalah seperti Mastika, Ujang, Gila- Gila, Wanita dan banyak lagi. Ini kerana pusat pengedaran majalah di Muar hanya berurusan dengan kedai- kedai besar sahaja. Kedai macam aku ni diorang tak layan.

Mujur aku berjumpa dengan satu kedai mamak menjual majalah. Nama dia Lucky Star. Selepas aku ejas- ejas, dia beri aku harga kurang 30 sen dari harga pasaran untuk satu majalah. Kalau tak habis atau sudah keluar keluaran yang baharu, aku boleh memulangkan kembali untuk ditukar dengan majalah yang terkini.

30 sen untuk satu majalah? Mana cukup untuk tanggung kos. Pergi ke kedai dia sahaja sudah dekat 20 kilometer. Aku pun terfikir macam mana kedai yang lain, yang ambil daripadanya dengannya juga dengan harga yang sama (mungkin) boleh mendapat untung dengan 30sen per majalah itu.

Aku hanya bertahan menjual majalah tersebut lebih kurang enam bulan sahaja selepas aku merasakan perbuatan itu hampir sia-sia.

***
Setiap hari aku pulang ke rumah, aku akan exit di KLIA dan melalui satu papan iklan Air Asia 'Big'. Besar gila muka Tony Fernandes dekat papan iklan itu. Disebabkan aku hari-hari nampak muka Tony tu, membuatkan aku terfikir, macam mana dia boleh kaya macam Qarun begitu pantas, sedangkan tiket yang dia jual kadang seposen sahaja.

Disebabkan hari- hari aku fikir, aku rasa aku dapat jawapannya:

1. Konsistensi adalah penting untuk perniagaan jenis runcit. Jual majalah memang lambat kaya, tetapi disiplin dan konsisten menyebabkan mereka kaya.
2. Majalah hanya sebagai pelaris. Mereka turut menjual produk sampingan yang untungnya lebih kasar di kedai.
3. Air Asia tidak menjual tiket murah. Mereka menjual kebahagiaan kepada pelanggan, walaupun kadangkala dalam plane ada lalat.
4. Marketing. Air Asia tidak takut untuk berbelanja besar untuk pengiklanan. Lambat laun iklan itu akan mempengaruhi orang, macam aku contohya.

Begitulah kisahnya.

MEMBELI SEKOTAK UBAT GIGI


Lelaki: Keluar rumah, target kedai mana nak tuju,  masuk kedai, pergi section ubat gigi, bayar,  balik, sampai rumah.

Perempuan: Keluar rumah, target kedai mana nak tuju,  sampai depan kedai, hati tak sedap, pergi supermarket pula, masuk supermarket, pusing- pusing dulu, termasuk pula section kain bagus,  kemudian terjumpa pula epal sedap di bahagian makanan,  akhirnya baru masuk section ubat gigi,  ambil,  bayar semua,  keluar,  singgah butik depan pula belek tudung,  rembat sebarang dua, balik,  test dalam kereta, sampai rumah, kompelin tudung tak cantik, epal tak sedap.

PERIHAL SARAWAK

Aku baru selesai menonton Majalah 3 tadi.

Kisah tragedi bot karam di Sarawak yang mengorbankan 11 orang adalah satu contoh terbaik bahawa negeri negeri di Malaysia Timur juga harus diberi kemudahan yang sama rata, sama seperti kemudahan di Malaysia Barat.

Memanglah ada yang mengatakan bahawa negeri di Malaysia Timur seperti Sarawak terlalu besar untuk dibangunkan.  Tetapi takkanlah sebatang jalan raya yang ada 'rupa jalan raya ' dan jambatan penghubung tidak dapat disediakan?

Kisah tadi juga menceritakan pengalaman penduduk yang ingin ke bandar besar (Sibu contohnya) terpaksa meredah denai kecil sebelum menjumpai kawasan estet. Bertapa susahnya untuk berurusan di bandar. Itu belum cerita kos hendak ke bandar menaiki bot dengan kos minyak mencecah hampir rm400.

Benda ini juga menyebabkan kukuhnya alasan untuk tidak daftar surat beranak,  buat IC,  jual IC,  seludup barang,  jual benda haram dan banyak lagi.

Past is past. Abdul Taib Mahmud, biarlah dia duduk bersandar di rumahnya, makan nasi sampai kenyang. Moga legasi kerajaan Sarawak yang baharu akan lebih berkebajikan.

Ngap Sayot dari Malaysia Barat.

PULANG

My life sucks.

Klien macam cibai. Suka cari salah. Benda kecil diperbesarkan. Konsultan macam kayu.  Flip flop. Tunggu drawing satu bulan, dapat drawing,  esok boleh cancelkan. Tiba tiba minggu depan kata nak buat balik.

Bos? Tak payah cerita panjang lah. Semua tahu perangai bos macam mana. Kerja sampai naik hitam kulit masih dikata tidak ada tanggungjawab. Aku bergaduh dengan bos. Bos masam muka dengan aku.

Sub con lagi bos dari main con. Kadang kadang aku kerja macam runner pun ada. Beli petrol sampai 4-5 kali sehari. Bila tak dilayan terus tak nak kerja.

Perjalanan yang menuntut pengorbanan. 160 km sehari. Keluar awal pagi,  balik lewat petang.  Kadang -kadang malam.

Aku hanya tenang bila pulang ke rumah sahaja. Keluarga sahaja yang boleh memberi ketenangan padaku.

Sebab itu aku faham,  hancur macam mana pun hidup aku, hancur lagi hati orang yang kehilangan ahli keluarga,  rakan dan sahabat. Aku arif sangat tentang itu kerana aku pun pernah  kehilangan orang kesayangan.

Warga MH370. Aku,  kami, keluarga kamu,  rakyat Malaysia dan dunia semua mengharapkan kepulangan kamu semua. Moga kamu semua masih selamat. Apabila mendarat nanti,  tinggalkan hal yang lain. Cari lah keluargamu.

Moga kamu semua masih boleh bersarapan,  berbual,  bertengkar dan berbakti kepada keluargamu seperti hari hari biasa.

#prayforMH370

USAHA, NASIB, HORMAT

Usaha, nasib dan hormat.

Contoh paling rapat dan popular adalah Shahizey Sam.

Berlakon sejak muda dan tidak pernah mendapat perhatian pembikin filem. Selalu muncul di dalam drama tv 1, kadang kadang cerekarama. Tapi setiap kali berlakon, lakonannya bersungguh. Kenderaan ke lokasi hanyalah kereta Kancil sehinggalah dia terkenal.

Itu usaha.

Tiba tiba dia meletup dengan filem Adnan Sempit. Dan semenjak namanya meniti di kalangan pengarah. Rezekinya melimpah ruah.

Itu namanya nasib.

Kaya dan popular macam mana pun, dia paling hormatkan ibunya. Rela digelar anak mak, tak menjadi kudis padanya.

Itu namanya hormat.

Tak semua orang dapat ketiga tiga ini sekaligus.

QUALITY TIME

Apa itu quality time pada Afinna?

Quality time pada dia adalah bila aku baring sebantal dengan dia,  layan Alice In Wonderland,  atau main sepak sepak bola dalam rumah, atau main main hantu cina.

Atau paling tidak bacakan buku Pinocchio yang hampir seratus kali aku bacakan pada dia.

And I love to do that. Forever.

KONGSIKONG


Aku tidak malu untuk mengakui yang aku lebih rapat dengan pekerja bawahan atau kong si kong berbanding dengan sub con yang lain. Walaupun mereka pada mulanya agak segan dengan aku yang dengan selamba pergi melepak di kongsi hapak dan kotor mereka,  tetapi mereka tetap menerima dengan hati terbuka. Kadangkala aku bawa keropok dari rumah, atau belikan buah buahan, agar mereka tidak merasa kekok.

Berbual tentang bukan hal kerja dengan mereka agak seronok pada aku.  Cerita tentang kampung mereka,  kerinduan mereka,  budaya mereka, sosial mereka. Nama nama seperti Mudahnan, Suham, Ratnawi, Soli sudah tidak asing lagi di bibirku,  walaupun aku faham benar,  itu bukan nama sebenar mereka seperti di dalam pasport. Memang menjadi amalan pekerja Indonesia menggunakan nama samaran ketika berada di Malaysia. Mungkin untuk keselamatan.

Kehidupan pekerja Indonesia di Malaysia sangat sederhana. Makan ala kadar. Yang aku perhati, menu tengahari mereka adalah telur dadar dan sayur masak air, setiap hari berbulan bulan. Agak membosankan,  tetapi itu rezeki mereka di sini. Wang lebih penting untuk dihantar kepada keluarga di kampung.

Oh ya. Minggu lepas,  mereka beramai ramai membeli permaidani secara pukal (untuk dapatkan harga murah) untuk dihantar ke kampung.  Persiapan untuk hari raya katanya.

***

Pagi tadi semasa waktu rehat pagi,  aku duduk berbual dengan Sarip, seorang tua yang aku memang harapkan untuk kerja kerja repair plaster. Orangnya tenang,  cakapnya lembut.  Tetapi bila bekerja tidak pernah berbual. Aku mengadu kepadanya keadaan anak aku yang demam mendadak. Dia tanya aku dengan tenang:

"Anak awak lelaki atau perempuan?"
"Anak aku perempuan."
"Umurnya berapa tahun?"
"Sudah masuk empat tahun,  Sarip."
"Wah,  pasti sudah cantik kalau umur begitu,  ya?. Lebih kurang anak saya." katanya sambil menghembus asap kretek dan merenung kosong.

Matanya sedikit berkaca.
Aku dapat merasakan yang kerinduannya sudah datang.

FROZEN

Lepas layan cerita Frozen,  Finna  memang yakin yang dia pun ada magis macam dalam cerita tu.

Ada sekali tu dia cuba kalih langsir yang tergantung tanpa pegang guna tangan. Dan langsir itu bergerak pula (akibat angin). Bersungguh dia nak tunjuk dekat aku power dia tu. Lepas tu buat muka berlagak. Badan sandar dekat dinding, kaki bersilang.

Semalam aku bagi muka dekat dia. Aku halakan kipas ke daun pintu.  Kemudian aku suruh dia gunakan power dia untuk tutup pintu tu tanpa guna tangan.

Dengan penuh perasaan dia gunakan kuasa dia dan pintu tu tertutup rapat. Peh,  dia punya eksyen.

Selepas 9-10 kali buat,  pintu tersekat. Puas dia gunakan kuasa sambil nyanyi lagu 'let it go, let it go' pintu tak bergerak juga.

Akhirnya dia panik dan menjerit memanggil Puan Bini :

"Mama,  tak boleh krontol! , tak boleh krontol! Tolong!

TUNGGU


Hati Tosiman sudah terasa tidak sabar untuk menelefon ibunya di kampung. Ada khabar gembira yang mahu diberitahu. Setelah enam bulan di bumi Malaysia ini,  majikannya bersetuju untuk menaikkan gajinya sebanyak Rm 5 dan jumlah gaji hariannya sudah menjadi Rm 35 sehari. Rasa syukur yang tidak terhingga menderu deru masuk melekat di lubuk hatinya. Dan rasa gembira ini mahu sekali dikongsikan bersama ibu tersayang yang berada di kampung.

Malam itu,  hujan mulai turun dengan santun sekali. Tidak terlalu lebat,  dan tidak juga terlalu renyai. Angin meniup lembut ke muka Tosiman.

Usai mandi dan makan malam,  Tosiman duduk di hujung pangkin di kongsi usangnya. Dicapai telefon yang berada di poket kiri seluarnya. Tosiman mendail nombor telefon bapa saudaranya yang dipanggil kakek. Kakek tinggal di sebelah rumah ibunya. Jadi,  dialah yang menjadi pengantara untuk Tosiman dan ibunya,  lantaran ibunya yang tidak memiliki telefon bimbit,  mahupun telefon rumah.

Ada bunyi deringan di hujung talian.
"Hello,  assalamualaikum kakek. "
"Wa'alaikumsalam, siapa di sana?" Kelihatan kakeknya seperti sedang menguruskan sesuatu. Acuh tidak acuh jawapannya.

"Saya ini, Man. Ibu ada di rumah? Mau bicara samanya sebentar?

Sunyi di hujung sana.

"Hello,  hello?  Kakek? "
"Hello,  kakek? "

"Iya. Aku masih di sini."
"Mengapa kamu diam saja,  kakek? "

Kakek diam lagi. Tidak lama kemudian dia menyambung.

"Man, ibumu kemalangan baru sebentar tadi. Dia terjatuh semasa meniti jambatan pulang ke rumah. Sekarang kami semua masih mencarinya. " panjang lebar kakek menerangkan keadaan sebenar di sana.

Bagai mahu meletup jantung Tosiman mendengarnya.

"Apa?? Ibu hilang?  Bagaimana?  Bagaimana boleh jadi begini kakek? "

"Hujan lebat di sini dari siang. Sungai menjadi dalam dan deras.  Ibumu pula mahu ke kedai membeli gula. Dan di dalam perjalanan pulang,  dia ditimpa kemalangan. Harap kamu bersabar ya Man?"

"Ya Allah,  kenapa jadi begini,  kakek.. "suaranya sudah hampir tenggelam dalam tangisan. Antara dengar dan tidak. Tosiman menangis di dalam telefon seperti anak kecil. Kakek hanya mendiamkan diri sahaja. Memberi ruang kepada Tosiman untuk beremosi seketika.

Lemah segala sendi Tosiman mendengar berita yang amat mengejutkan itu. Terbit rasa kesal di hatinya kerana meninggalkan ibunya keseorangan di kampung,  semata mata mahu mengejar cita citanya.

Tosiman merasakan dirinya tidak berguna kerana tidak mampu berbuat apa apa. Hendak pulang, simpanan masih belum mencukupi. Dirinya baru sahaja berada selama 6 bulan di bumi bertuah ini. Dia hanya dapat mengirimkan doa kepada yang di atas sana, agar melindungi ibunya.

***

Tunggu sekejap wahai kasih
Tunggulah sampai hujan teduh
Mari ku dendang
Jangan mengenang orang jauh

Tosiman duduk berteleku memeluk kakinya. Air matanya deras mengalir. Terasa sungguh dirinya yang tidak berguna. Mahu saja dia meminta pada Tuhan agar mematikan sahaja dirinya sekarang juga,  agar tidak lagi menanggung seksa begini. Matanya terus menenung kosong malam pekat yang dihiasi hujan. Bunyi bising dari atap zink yang ditimpa hujan ibarat gelodak hatinya waktu itu. Serabut.

Ya Tuhan,  selamatkan ibuku.

Jangan pula
Jangan tinggalkan daku sorang
Tunggu sekejap kasih

Tunggu. Tunggu, ibu.