setegram

Instagram

28.8.13

STANDBY


Officemate baru gua ni ada perangai pelik yang annoying. Terlebih gula dalam badan  gua rasa. Dia duduk di bay hadapan ofice, tetapi selang 10 minit, dia akan datang ke bay belakang, meja budak Qc dan Safety kemudian pergi ke mana-mana meja secara random ni dan tanya: 

"Wei, hang buat apa?" 

Pantang betul kalau orang asyik tanya gua buat apa, buat apa ni. Macam budak sekolah. Time nak balik pun macam tu jugak. Masuk 5.30 dah kucar-kacir.

"Wei, hang tak balik lagi ka?"

Hampir semua meja dia dah tanya "Wei, hang buat apa?" ni. Meja gua dan meja safety je dia belum redah. Sebab selalu tak ada di office.

Gua standby je ni. Kalau dia tanya je "Wei, hang buat apa?"

Gua nak jawab "Aku tengah tengok gambar mak hang berkemban ni."

20.8.13

SIRI BERCAKAP DENGAN ABAH 11

Abah aku pantang betul kalau aku pergi keluar bermain tak ingat dunia. Kalau balik Mahrib memang menempah maut namanya. Hukuman yang selalu aku kena bila balik lewat ialah, menyiram pokok durian dan pokok manggis di dusun belakang rumah. Ada la setengah ekar.

Mengunakan fakta sains yag aku belajar dalam kelas Alam dan Manusia, aku selalu bertelagah pada abah yang pokok tidak menjalankan proses fotosintesis pada waktu malam. Jadi tiada gunanya menyiram pokok di waktu senja. baik aku siram diri aku, lepas tu boleh pergi makan nasi. Point tu je lah aku dok ulang-ulang pada abah, bagi dia faham tentang kejadian alam ni.

Abah mana peduli dengan semua benda pendapat sains ni. Siram tetap siram. Tak siram, duduk luar rumah sampai malam. Hendak tak hendak, terpaksalah aku tadah air dalam penyiram dan pergi siram pokok durian dan manggis yang aku rasa ada 20 batang kesemuanya. Hati terbakar siapa yang tahu.

Lagipun aku bukan suka sangat siram pokok waktu senja. Gelap. Karang disorok hantu tetek, siapa nak jawab?

Alah, aku tahu sebenarnya abah bukan nak suruh aku siram sangat pun pokok waktu senja. Tapi saja je nak bagi hukuman sebab langgar Maghrib.

19.8.13

IBU SEGALA DILEMA.

7.20 am
Suatu Hari Isnin tahun 1992. 

Aku masih di dalam kereta separa buruk yang banyak berjasa berjenama Datsun, yang berwarna merah kepunyaan keluarga. Hari itu Ma bergegas hendak menghantar aku ke sekolah. Satu rumah terbangun lewat. Semua orang mandi lebih kurang. Lepas hantar adik ke rumah penjaga, kemudian aku ke sekolah, dan kemudian hendak ke pejabat pula. Kadang-kadang, kasihan pula aku melihat Ma selalu terkejar-kejar pada waktu pagi. Abah pula selalu kerja syif. Sekali-sekala bila dia ada di waktu pagi, Abah akan menghantar aku. Barulah Ma sedikit lapang.

Tapi pagi itu memang maha kelam kabut. Aku pun pakai stokin dalam kereta, Lagi 50 meter nak sampai pagar sekolah baru sempat nak tuck in baju. Tetapi nasib baik juga la sempat sampai sebelum brader pengawas tutup pintu pagar sekolah.

Aku bergegas turun dari kereta, salam tangan Ma dan berlari melintasi pagar sekolah. Dalam 30 meter kemudian, aku toleh semula ke belakang. Kereta Datsun merah tu masih ada di pagar. Aku lihat Ma bermuka cemas.

Kereta tu buat hal lagi. Enjin terpadam dan tak boleh dihidupkan semula. Sekarang giliran aku pula yang jadi cemas.

Sebenarnya bukan cemas. Tetapi perasaan kasihan, simpati, malu, panik dan macam-macam lagi. Semuanya dicampurkan dalam periuk hati aku. Dan ia menghasilkan satu perasaan yang lain; keliru.

Apa aku nak buat? Nak tolong Ma, aku sudah berada di dalam kawasan sekolah. Lagipun satu jenis saiz spanar pun aku tak hafal. Nak minta tolong orang, yang ada di situ hanya pengawas berkaca mata tebal. Nak menemani Ma, loceng sudah berbunyi.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berdiri tegak, 30 meter dari pagar sekolah dengan muka nak menangis mengenangkan kesusahan Ma aku. Tak sanggup rasanya aku nak biarkan Ma aku terkontang kanting seorang diri di situ. Tetapi tidak lama kemudian Ma perasan akan aku dan mengangkat tangan memberi isyarat menyuruh aku masuk ke kelas.

Demi Tuhan, itulah antara tindakan yang paling berat aku rasa pernah dibuat. Dengan berat hati, aku melangkah terus, tidak memandang ke belakang, sambil menyeka air mata di pipi.

Rasa bersalah menyelubungi aku pagi itu.

16.8.13

CENDOL PUAKA

Cendol Kacang RM2, Cendol Jagung RM2, Cendol Pulut RM2, Cendol Pulut RM2. Cendol Special pun RM2.

"Cendol Special ni ada apa, anney?" gua tanya.
"Special kita letak telur goreng la."

Cuaca panas begini masih ada mood nak bergurau. Terajang karang.

15.8.13

CILOK


Musim beraya ni, cerita jalan jem, highway sesak memang tak lari dari menjadi antara topik hangat selain daripada cerita bila nak tambah anak dan kuih raya power.

Aku berkunjung ke rumah rakan semasa raya tempoh hari. Bila dah duduk berborak, kami pun bercerita up kampung masing-masing. Masing-masing cerita kampung dia sesak la, jem 2-3 kilometer. Dalam bayak-banyak kisah tu, aku menceritakan pengalaman aku dari Muar ke Batu Pahat yang mengambil masa 3 jam. Gila.

Kawan aku memandang pelik. Dia tanya "Kenapa tak cilok ikut kiri?"

Aku merenungnya dalam-dalam. Kemudian aku mengusap wajahnya perlahan-lahan kemudian menampar laju-laju. Tapi itu dalam bayangan aku saja.

Aku balas "Ah, malas la aku nak cilok-cilok ni. Beratur je dah la." Dan topik perbualan beralih pula ke cerita Kacang Pool dan Mi Racun.

Aku sebenarnya bukan jenis yang bersopan santun apabila di atas jalanraya. Kadang-kadang aku memaki hamun juga orang yang bawa kereta slow semacam. Macam bawa dosa 3 trailer. Mencarut dalam hati ni memang tak terkira lah. Isyarat jari keluar juga kadang-kadang.

Tapi macam mana pun, aku tetap tak tergamak nak memotong di sebelah kiri, sebab pada aku hanya orang tak ada perasaan malu, tiada kesedaran sivik dan tak pergi sekolah je buat macam tu. Dan aku mungkin akan rasa malu gila bila dah potong kiri, nak masuk lorong kanan semula. Muka tebal betul masa tu.

Pelik betul macam mana kawan aku boleh muka rilek je memotong dan masuk lorong semula. Pakai topeng ke apa?

6.8.13

HARI RAYA


Sekitar 20 tahun dahulu, pada waktu akhir-akhir Ramadhan begini, aku akan duduk depan tv pada pukul 8.30 malam untuk pengumuman Hari Raya. Lepas diumumkan sahaja kami akan melonjak gembira jerit 'Yeay! Lusa raya!!' dan terus keluar rumah main bunga api. Lagu paling standard masa main bunga api ialah 'Selamat hari raya, aidilfitri mulia' (lirik berterabur) sambil pusing-pusing bunga api cap kucing. Kemudian bengkokkan dan campak atas pokok rhu.

Sekitar 20 tahun dulu, pada waktu akhir-akhir Ramadhan begini, aku selalunya sudah mula mengira-ngira duit upah puasa yang bakal aku dapat pada 1 Syawal nanti. Satu hari dijanjikan 1 ringgit. Selalunya tak pernah cukup pun 30 ringgit. Mesti short.

Sekitar 20 tahun dahulu, pada waktu akhir-akhir Ramadhan begini, Abah dan Ma dah siapkan segala kelengkapan raya aku. Baju Melayu, songkok berlilit, T shirt Rocky One (ok, aku tipu. Aku tak pernah ada Rocky One) dan kasut. Pada malam raya pula, aku akan gayakan semua pakaian tu depan cermin di dalam bilik. Posing yang paling standard aku buat ialah gaya memegang gitar sambil buat muka rock. Aku pun tak tahu kenapa suka posing macam tu. Pergi beraya rumah orang tak pernah pula aku posing macam tu.

Sekitar 20 tahun dahulu, pada waktu akhir-akhir Ramadhan begini, selepas menggayakan semua pakaian itu, aku akan susun Baju Melayu atas katil. Siap dengan samping dan songkok. Hal kasut jalan pula, aku akan susun baeek punya tepi dinding. Dan tidur mengadap kasut sambil tersenyum.

Sekitar 20 tahun dahulu, pada waktu akhir-akhir Ramadhan begini, aku dah mula meratah biskut raya Ma aku. Banyak telap juga aku adik-beradik baham. Tapi yang paling tak boleh tahan adalah home made tempeyek. Jawa stail.

Sekitar 20 tahun dahulu, pada waktu akhir-akhir Ramadhan begini, kawan-kawan dah ramai yang pulang ke kampung mak bapak diorang. Masing-masing berjanji bila pulang dari kampung nanti akan bawa duit raya berkepuk-kepuk dan beli pistol air berbentuk kapal terbang Batman. Time tu jugak dah pilih group nak berperang.

Pagi raya, aku dah lancarkan misi kutip duit raya. Semua rumah tak kira siapa aku redah. Belum kira pakcik-makcik, atok, atok jiran, nenek jiran lagi. Rekod tertinggi aku masa tu adalah RM 500++. Kau fikir la berapa kali aku beli pistol air.

***

Tahun ni, turn aku pulak kasi anak aku rasa semua tu. Aku biasa-biasa sahaja.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Andi Eshak
Kuih Apam Sekolah Maahad