setegram

Instagram

9.6.14

ZOHARI

Zohari menarik lengan baju sejuknya dan mengeling ke jam tangannya. Waktu menunjukkan pukul 11.35 minit malam.  Sudah hampir dua jam dia menunggu di sini.  Sudah habis semua kedai di Stesen Bas Muar Selatan ini diterokai untuk membunuh masa.

"Mana la Abah aku ni. Janji nak datang jemput pukul 10 tadi. "

Bila difikir kembali,  terbit juga rasa menyesal sebab ambil bas awal dari Kuala Lumpur. Bapanya sudah berpesan supaya ambil bas yang lewat sedikit,  kerana dia ada kenduri di kampung.

Tiba tiba perut Zohari memulas. Berpusing pusing seperti ada rama rama di dalam perut. Ah celaka,  ini mesti pasal minum air soya. Dia memang syak betul sebab rasa air tu tadi ada masam masam sedikit. Tapi mengenangkan sudah membayar rm2, ditambah pula kehausan yang amat,  dia telan juga.

Berpusing pusing Zohari mencari tandas di sekitar stesen bas buruk itu. Hatinya lega apabila menjumpai bangunan tandas.  Walaupun kelihatan buruk, sedikit berbau dan punya lampu kalimantang yang malap, itu tak menjadi hal. Janji dia boleh buang racun dalam perut ini.

Tandas busuk itu ada 6 kubikel, dan Zohari memilih tandas yang ke 5 memandangkan itu tandas yang paling bersih di antara kesemuanya.

Sap, pap, ger...!

Lega betul Zohari. Matanya kuyu dan badannya sedikit bongkok seperti baru melepaskan beban yang berat. 

Sedang dia berangan angan di dalam tandas,  Zohari terdengar bunyi suara kanak kanak ketawa. Dia memasang telinga. Ya! Memang suara kanak kanak perempuan. Bukan seorang tetapi berdua. Mereka tidak berbual,  tetapi hanya ketawa kecil,  seperti ada yang menggelikan hati mereka.

Saaaatu!!

Terperanjat Zohari. Hampir tergelincir. Apa benda la budak ni main dalam tandas.

Duuuuua!!

Suara itu semakin dekat dengan kubikel Zohari. Zohari berkira kira mereka sedang mengira pintu tandas.

Tiiiiiiiiiga!!

Suara mereka semakin hampir. Cemas pula Zohari. Macam macam yang bermain di dalam fikirannya waktu ini. Takkan hantu main kira kira pula.

Emmmpat!!

Memang betul betul di sebelahnya. Jelas kedengaran.

"Woi!  Apa main dalam tandas ni? Pergi keluar sana" Zohari memberanikan diri menyergah di luar sana.
Sunyi. Seperti tiada apa apa yang berlaku.

Zohari memasang telinga lagi. Tidak kedengaran pula bunyi tapak kaki mereka keluar tadi. Ah lantak lah.
Dia terfikir fikir dari mana budak budak tu datang. Takkan malam malam begini datang bermain main di stesen bas. Tak marah ke mak diorang. Nanti kena culik siapa yang susah. Zohari membebel di dalam hati.
Sedang dia membasuh apa yang patut, Zohari dikejutkan dengan suara :

Liiiima!!!

Betul betul di hadapan pintunya.
Liiima!!!
Liima!!!
Ayat 'lima' itu diulang banyak kali.

Kemudian Zohari nampak dua pasang tangan berkuku panjang,  disusuli dengan dua wajah kanak kanak yang bermata bulat dan berwajah pucat menjengah di bawah pintu kubikelnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan