Malam tengahari tadi, aku terserempak dengan satu keluarga, makan di meja hadapan aku. Ada bapa, ibu dan 3 orang anaknya.
Nampak meriah, sepatutnya.
Tapi hakikatnya, si bapa, ibu dan anak anaknya masing masing melayan diri sendiri. Si bapa sibuk berbual di telefon. Ibu mungkin tersenyum sendirian, mungkin sedang bermain whatsapp dan anak anak nya bermain permainan di iPad dan telefon.
Sayangnya. Waktu begitu sepatutnya dihabiskan dengan berbual mesra sambil menunggu makanan yang dipesan sampai.
Terfikir juga aku akan keberuntungan anak anak zaman sekarang yang serba mudah, serba maju. Tidak seperti zaman aku kecil dahulu. Dan aku teringat momen momen waktu kecil dahulu.
***
Waktu aku kecil dahulu, kami sekeluarga sering makan malam bersama. Sebelum makan abah akan baca doa dahulu. Panjang juga doanya. Kadang kadang aku tidak sabar dan mencuit cuit nasi di dalam pinggan. Pasti abah akan menjeling tajam kepadaku sambil mulutnya masih terkumat kamit membaca doa.
Bila waktu makan, abah suka berbicara tentang apa sahaja. Random. Termasuklah komplen masakan mama. Tapi mama rilek je. Sebab dia tahu abah saja je nak bikin modal cerita waktu makan.
Dalam kami 3 beradik (waktu itu), kami sering berlumba, kerana siapa yang paling akhir kena basuh pinggan dan lap meja. Tapi kalau lauk sedap, aku jadi orang paling akhir pun tak apa. Apalah salahnya aku basuh pinggan kalau terpaksa habiskan asam pedas digaul bersama planta, kicap dan nasi panas.
Kalau cuaca panas, aku adalah orang yang paling rimas. Port terbaik aku masa tu ialah di peti sejuk. Aku selalu dan baring depan pintu peti sejuk untuk sejukkan badan. Peti sejuk ni banyak juga gunanya. Hari minggu, aku keringkan kasut sekolah di bawah peti sejuk (peti sejuk kami ialah jenis ada kaki batu di bawahnya). Tapi riwayat peti sejuk tu tak lama, bila ia tumbang semasa aku bermain sorok sorok dengan adik.
Aku tak pernah ada lego masa kecil dahulu. Lego yang aku main adalah lego rakan rakan dan sepupu. Tapi abah selalu belikan aku tanah liat. Aku cipta dinosaur, kereta dan helicopter airwolf, lengkap dengan volcano tempat persembunyian helicopter (guna kusyen).
Permainan yang paling best pernah aku ada ialah skateboard fish deck warna hijau. Beli di pasaraya Upwell. Harga 30 ringgit rasanya. Dan berbunyi ya rabbi. Tayarnya kuning dan lebar macam steamroller.
Lama aku guna skateboard hinggalah patah dilanggar abah masa nak reverse kereta.
Rancangan tv aku hanyalah TV 1, 2, 3. Ntv, TV8,9 semua tak ada masa tu. Berbekalkan tv jenama National tu kami adik beradik survive, tanpa remote. Bila siaran tak sedap semua resah. Jangan ada yang bangun je, memang kena minta tolong tukarkan channel.
Mujur abah ada beli perakam video masa tu. Dan banyak video kosong untuk aku rakam semua benda. Dari cerita P. Ramlee, kartun Tom n Jerry hinggalah iklan Dorina semua aku hentam rakam. Abah juga ada belikan aku cerita Masked Rider sampai 4-5 biji untuk tontonan cuti sekolah.
Waktu petang, kami bermain galah panjang, zero point, ting ting, lumba basikal dan rounders. Ataupun pergi mencari labah labah 'King' di celahan daun pandan dan simpan di dalam kotak mancis. Makanannya adalah air liur dan semut. Ataupun bermain daun tepuk, gambar Ultraman.
Paling dah tak ada geng pun, main kapal terbang polisterin yang dijual serendah 50 sen di kedai. Ataupun layang layang. Tapi aku tak gemar main layang layang. Tak feel.
Memang jauh bezanya zaman kanak kanak aku dengan kanak kanak zaman sekarang. Tiada gajet tetapi imaginasi yang tiada limit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan