"Abah!! "
Terperanjat Razi. Itu suara anaknya, Daim dari bilik sebelah. Bergegas dia menuju ke biliknya. Razi membuka pintu dan ternampak Daim terbaring di atas lantai.
"Hmm.. mengigau lagi anak aku ni. Tidur bersepah."
Dia mengejutkan Daim. Daim tersedar dan dengan gaya mamai, naik semula ke atas katil.
Kemudian Razi menyelimutkan Daim. Kasihan Daim, mukanya kelihatan pucat dua tiga hari kebelakangan ini. Kurang sihat barangkali.
Diusap usap muka anaknya itu, kemudian mencium dahi sebelum mengucapkan selamat tidur kepada Daim. Sementara menuju ke suis lampu, Daim berkata kepada Razi:
"Abah, tolong tengokkan di bawah katil Daim. Ada hantu. Daim takutlah. "
Razi senyum sahaja. Untuk memuaskan hati anak kesayangannya itu, dia pun menyelak cadar dan menjenguk di bawah katil.
Kelihatan Daim sedang ketakutan di bawah katil tersebut.
"Abah, tolong tengokkan di atas katil. Ada hantu. Daim takut sangat. "
Dia kelihatan menggigil sekali dan mukanya pucat lesi.
Razi tidak berani lagi untuk menoleh apa yang di atas katil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan