setegram

Instagram

11.6.14

KANAK KANAK AKU

Malam tengahari tadi, aku terserempak dengan satu keluarga,  makan di meja hadapan aku.  Ada bapa,  ibu dan 3 orang anaknya. 

Nampak meriah, sepatutnya.

Tapi hakikatnya,  si bapa, ibu dan anak anaknya masing masing melayan diri sendiri. Si bapa sibuk berbual di telefon.  Ibu mungkin tersenyum sendirian,  mungkin sedang bermain whatsapp dan anak anak nya bermain permainan di iPad dan telefon.

Sayangnya. Waktu begitu sepatutnya dihabiskan dengan berbual mesra sambil menunggu makanan yang dipesan sampai.

Terfikir juga aku akan keberuntungan anak anak zaman sekarang yang serba mudah,  serba maju. Tidak seperti zaman aku kecil dahulu. Dan aku teringat momen momen waktu kecil dahulu.

***

Waktu aku kecil dahulu, kami sekeluarga sering makan malam bersama. Sebelum makan abah akan baca doa dahulu. Panjang juga doanya. Kadang kadang aku tidak sabar dan mencuit cuit nasi di dalam pinggan. Pasti abah akan menjeling tajam kepadaku sambil mulutnya masih terkumat kamit membaca doa.

Bila waktu makan, abah suka berbicara tentang apa sahaja. Random. Termasuklah komplen masakan mama. Tapi mama rilek je.  Sebab dia tahu abah saja je nak bikin modal cerita waktu makan.

Dalam kami 3 beradik (waktu itu), kami sering berlumba,  kerana siapa yang paling akhir kena basuh pinggan dan lap meja.  Tapi kalau lauk sedap, aku jadi orang paling akhir pun tak apa. Apalah salahnya aku basuh pinggan kalau terpaksa habiskan asam pedas digaul bersama planta, kicap dan nasi panas.

Kalau cuaca panas,  aku adalah orang yang paling rimas. Port terbaik aku masa tu ialah di peti sejuk. Aku selalu dan baring depan pintu peti sejuk untuk sejukkan badan.  Peti sejuk ni banyak juga gunanya. Hari minggu, aku keringkan kasut sekolah di bawah peti sejuk (peti sejuk kami ialah jenis ada kaki batu di bawahnya). Tapi riwayat peti sejuk tu tak lama,  bila ia tumbang semasa aku bermain sorok sorok dengan adik.

Aku tak pernah ada lego masa kecil dahulu.  Lego yang aku main adalah lego rakan rakan dan sepupu. Tapi abah selalu belikan aku tanah liat. Aku cipta dinosaur, kereta dan helicopter airwolf, lengkap dengan volcano tempat persembunyian helicopter (guna kusyen).

Permainan yang paling best pernah aku ada ialah skateboard fish deck warna hijau. Beli di pasaraya Upwell. Harga 30 ringgit rasanya. Dan berbunyi ya rabbi. Tayarnya kuning dan lebar macam steamroller.

Lama aku guna skateboard hinggalah patah dilanggar abah masa nak reverse kereta.

Rancangan tv aku hanyalah TV 1, 2, 3. Ntv, TV8,9 semua tak ada masa tu. Berbekalkan tv jenama National tu kami adik beradik survive,  tanpa remote. Bila siaran tak sedap semua resah. Jangan ada yang bangun je, memang kena minta tolong tukarkan channel.

Mujur abah ada beli perakam video masa tu. Dan banyak video kosong untuk aku rakam semua benda. Dari cerita P. Ramlee, kartun Tom n Jerry hinggalah iklan Dorina semua aku hentam rakam. Abah juga ada belikan aku cerita Masked Rider sampai 4-5 biji untuk tontonan cuti sekolah.

Waktu petang,  kami bermain galah panjang,  zero point, ting ting, lumba basikal dan rounders. Ataupun pergi mencari labah labah 'King' di celahan daun pandan dan simpan di dalam kotak mancis. Makanannya adalah air liur dan semut. Ataupun bermain daun tepuk,  gambar Ultraman.

Paling dah tak ada geng pun, main kapal terbang polisterin yang dijual serendah 50 sen di kedai. Ataupun layang layang. Tapi aku tak gemar main layang layang. Tak feel.

Memang jauh bezanya zaman kanak kanak aku dengan kanak kanak zaman sekarang. Tiada gajet tetapi imaginasi yang tiada limit.

10.6.14

NAZLI

Nazli terjaga dari tidurnya apabila penggera di telefonnya berbunyi. Dia menggosok gosok matanya kemudian meraba raba dia atas meja katilnya mencari cermin mata. Kemudian dia bergegas menutup bunyi penggera di telefon yang membingitkan itu.

Matanya sempat menangkap waktu yang terpampang di telefon.  Pukul 3.26 pagi. Di ekor matanya,  Nazli perasan akan satu susuk berada di almarinya.  Dia memalingkan kepalanya dan dapat melihat dengan jelas  satu lembaga berwarna hitam,  berbau busuk mencangkung di dalam almari bajunya. Mukanya tidak jelas kelihatan,  tetapi Nazli dapat melihat kukunya yang hitam,  dan kulitnya yang sangat berkedut.

Lembaga itu kemudiannya memanjat di atas almari baju Nazli dan merenung tepat ke arah Nazli.

Nazli hanya tergamam dan tidak tahu berbuat apa apa. Sedang fikirannya masih keliru dengan keadaan semasa,  tiba tiba lembaga itu menjerit seperti marah dan terbang ke arah katil Nazli.

Nazli amat terperanjat namun berjaya mengelak hingga terjatuh ke lantai biliknya. Bajunya sedikit carik dicakar lembaga tersebut.

Serentak dengan itu,  dia membuka matanya.

Hatinya sangat lega kerana itu hanyalah mimpi. Dia tersenyum.
"Bodoh betul. Mimpi sampai jatuh katil. " dia mentertawakan dirinya.

Dia naik semula ke atas katilnya dan memakai selimut. Kemudian Nazli perasan akan bajunya yang sedikit carik.  Dia kehairanan. Lantas dia mencapai telefon bimbitnya.  Jam menunjukkan pukul 3.25 pagi. 

Dan dia nampak almari bajunya terbuka dengan sendiri.

Nazli tahu mimpi ngeri ini bakal terjadi. Dia tergamam lagi, seperti di dalam mimpinya tadi.

9.6.14

FARZIYAH


Farziyah termangu mangu apabila dikejutkan oleh panggilan telefon seawal 2 pagi. Dalam keadaan mamai itu dia dapat melihat nama pemanggil :MAK.  Farziyah menyeret ibu jarinya di atas permukaan skrin telefon untuk menjawab telefon.

Terfikir juga akan dirinya, kenapa mak tidak datang sahaja ke biliknya.  Kenapa mahu telefon?

"Iye Mak. Kenapa telefon pagi pagi ni? Ada hal penting ke? Mak mengigau lagi ke? "
"Yah, mak rasa ada orang pecah masuk rumah kita la. Ada bunyi bising di bawah. "
"Biar betul Mak ni.. " Farziyah jawab acuh tak acuh. Bukan sekali emaknya berperangai begini. Suka menyangka yang bukan bukan.
"Iye.. mak dengar ada bunyi bising tadi. Cuba kau jenguk di bawah. Mak takutlah.. "
"Mana apa Mak..itu bunyi kucing jiran sebelah lah. Kan memang hari hari macam tu bunyinya. "
"Alah, kau tolonglah tengokkan. Mak takut ni.. "

Farziyah berfikir sebentar. Sebenarnya tertidur sebentar.

"Emmm. Yelah mak. Nanti Yah pergi tengok. Mak tidur dulu. Apa apahal nanti Yah pergi bilik mak."

Farziyah bangkit dari katilnya dan dengan malas dan longlai menuju ke pintu. Ikutkan hati,  malas dia hendak bangun dari katil gebunya. Tambahan pula esok dia ada ujian untuk kuliahnya.

Tiba tiba langkah Farziyah terhenti. Matanya automatik menjadi segar. Dia dapat merasakan bulu romanya tegak berdiri.

Dalam keadaan sedar yang penuh itu,  baru Farziyah teringat emaknya sudah mati,  dibunuh penceroboh yang masuk ke rumah mereka 2 minggu lepas.

Dan telefon berbunyi lagi. Nama pemanggilnya :


MAK.

ZOHARI

Zohari menarik lengan baju sejuknya dan mengeling ke jam tangannya. Waktu menunjukkan pukul 11.35 minit malam.  Sudah hampir dua jam dia menunggu di sini.  Sudah habis semua kedai di Stesen Bas Muar Selatan ini diterokai untuk membunuh masa.

"Mana la Abah aku ni. Janji nak datang jemput pukul 10 tadi. "

Bila difikir kembali,  terbit juga rasa menyesal sebab ambil bas awal dari Kuala Lumpur. Bapanya sudah berpesan supaya ambil bas yang lewat sedikit,  kerana dia ada kenduri di kampung.

Tiba tiba perut Zohari memulas. Berpusing pusing seperti ada rama rama di dalam perut. Ah celaka,  ini mesti pasal minum air soya. Dia memang syak betul sebab rasa air tu tadi ada masam masam sedikit. Tapi mengenangkan sudah membayar rm2, ditambah pula kehausan yang amat,  dia telan juga.

Berpusing pusing Zohari mencari tandas di sekitar stesen bas buruk itu. Hatinya lega apabila menjumpai bangunan tandas.  Walaupun kelihatan buruk, sedikit berbau dan punya lampu kalimantang yang malap, itu tak menjadi hal. Janji dia boleh buang racun dalam perut ini.

Tandas busuk itu ada 6 kubikel, dan Zohari memilih tandas yang ke 5 memandangkan itu tandas yang paling bersih di antara kesemuanya.

Sap, pap, ger...!

Lega betul Zohari. Matanya kuyu dan badannya sedikit bongkok seperti baru melepaskan beban yang berat. 

Sedang dia berangan angan di dalam tandas,  Zohari terdengar bunyi suara kanak kanak ketawa. Dia memasang telinga. Ya! Memang suara kanak kanak perempuan. Bukan seorang tetapi berdua. Mereka tidak berbual,  tetapi hanya ketawa kecil,  seperti ada yang menggelikan hati mereka.

Saaaatu!!

Terperanjat Zohari. Hampir tergelincir. Apa benda la budak ni main dalam tandas.

Duuuuua!!

Suara itu semakin dekat dengan kubikel Zohari. Zohari berkira kira mereka sedang mengira pintu tandas.

Tiiiiiiiiiga!!

Suara mereka semakin hampir. Cemas pula Zohari. Macam macam yang bermain di dalam fikirannya waktu ini. Takkan hantu main kira kira pula.

Emmmpat!!

Memang betul betul di sebelahnya. Jelas kedengaran.

"Woi!  Apa main dalam tandas ni? Pergi keluar sana" Zohari memberanikan diri menyergah di luar sana.
Sunyi. Seperti tiada apa apa yang berlaku.

Zohari memasang telinga lagi. Tidak kedengaran pula bunyi tapak kaki mereka keluar tadi. Ah lantak lah.
Dia terfikir fikir dari mana budak budak tu datang. Takkan malam malam begini datang bermain main di stesen bas. Tak marah ke mak diorang. Nanti kena culik siapa yang susah. Zohari membebel di dalam hati.
Sedang dia membasuh apa yang patut, Zohari dikejutkan dengan suara :

Liiiima!!!

Betul betul di hadapan pintunya.
Liiima!!!
Liima!!!
Ayat 'lima' itu diulang banyak kali.

Kemudian Zohari nampak dua pasang tangan berkuku panjang,  disusuli dengan dua wajah kanak kanak yang bermata bulat dan berwajah pucat menjengah di bawah pintu kubikelnya.