setegram

Instagram

24.5.14

TOLL GATE BOY

Beberapa huruf sudah terpampang di dinding. Ahmad Samerin tersenyum lega. Huruf yang dipinta mengena. Tuah memang menyebelahinya kali ini.

"Saya jawab ye."
"Silakan Encik Samerin. Sila jawab dengan tenang dan jelas ye. " Ahmad Tarmimi Siregar menjelaskan.
Selepas menarik nafas,  Samerin menjawab tenang.

"SIJIL SIMPANAN PREMIUM"

"Tahniah Encik Samerin! Anda adalah pemenang wang satu juta ringgit dan sebuah kereta Ferrari musim ini. Berjumpa lagi kita di dalam More Jutaria musim yang akan datang..! "
Ahmad Samerin melompat kegirangan dan berpelukan persamaan ahli keluarganya. 

***

Bob menutup tv mudah alih hitam putihnya. Dia merungut sendirian.
"Celaka. Soalan senang macam tu dapat ferrari. Senang betul buat duit. Kalau aku dapat satu juta tu memang aku tak kerja dekat sini. Aku beli kompeni ni."

Hakikatnya,  Bob, tidak dapat wang satu juta, tidak mampu membeli syarikat tol,  dan masih duduk di dalam kotak besi bersaiz 8x 5 kaki, dan masih lagi bekerja sebagai toll gate boy.

Itu kerja yang dilakukan oleh Bob semenjak 6 bulan yang lepas.

Dia melepaskan keluh sambil menyandar. Tol Tangkak pada waktu malam begini memang sunyi. Tak banyak kenderaan yang melalui tol ini, terutamanya pada hari bukan cuti. Kalau cuti sekolah ataupun musim perayaan,  memang penuh tol ini siang dan malam. Walau penat tetapi Bob suka kerana mengantuknya tidak datang. Dia lebih rela.

Lagipun tol Tangkak yang baru dibuka ini masih berhutan di kiri kanan. Kalau waktu malam memang menyeramkan. Gelap pekat. Risau juga kalau kalau harimau atau gajah datang bayar tol.

Baru hendak melelapkan matanya,  tiba tiba Bob nampak samar samar cahaya dari kejauhan. Terang terus matanya. Nasib baik dia belum tertidur lagi. Naya juga kalau pembayar tol yang kejutkan dia nanti. Tetapi Bob melihat cahaya tersebut semakin malap,  malap,  dan terus hilang.

"Eh, mana pula pergi kereta tadi. Takkan masuk longkang pula." Ada banyak teori dalam kepalanya sekarang ini,  tetapi dia tidak mahu fikir yang bukan bukan.

Kurang dari 5 saat, cahaya yang hilang tadi tiba tiba muncul semula dan seperti meluru laju ke arah tol.  Bob panik dan cuba mengamati kenderaan yang sedang menuju laju tersebut.

Itu bukan kereta.
Itu penanggal!!

Berderau darahnya melihat kepala terbang,  dengan rambut mengerbang. Isi perut berjuntai dan darah menitik deras di atas jalan raya. Kelihatan sedikit aneh apabila jantungnya bercahaya. Mungkin cahaya yang dia nampak tadi datang dari situ.

Bob menjerit seperti orang gila. "Tolong,  tolong!!  Mak!!... "

Penanggal itu mengelilingi booth yang didiami Bob sambil mengilai. Penanggal itu kemudiannya berhenti di tingkap booth tersebut dan menjilat pipi Bob dengan lidahnya yang sangat panjang. Bob sungguh ketakutan sehingga terkeluar buih buih di mulutnya. Dia meronta ronta di dalam kotak kerjanya. Menendang di sana sini.

***

"Zam, kau pergi tengok budak Bob tu. Kena sawan lagi. Dalam bulan ni dah 3 kali dia kena. Letih aku menengoknya." ujar Kamarul, penyelia di plaza tol Tangkak.

Zam bersama 2-3 orang lagi pantas menuju ke booth Bob.

"Zam! Jangan lupa letak sudu dalam mulut dia. Kang terputus pulak lidah dia nanti. " pesan Kamarul lagi.
Entah Bob benar benar sawan atau penanggal benar benar datang,  hanya dia yang tahu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan