setegram

Instagram

12.3.15

SONGKOK


Suatu hari itu di dalam kereta, lagu KRU berkumandang.  Lagu Awas. Aku dan bini pun menyanyi nyanyi lah di dalam kereta. Ye lah lagu top masa kami darjah 6 dahulu.

Tiba-tiba Pinah tutup mulut bini aku sambil menjerit.

"Jangan nyanyi lagu ni! Jangan nyanyi lagu ni!"

"Eh apahal pulak?". Aku tanya.

"Orang ni tak pakai songkok. Kalau tak pakai songkok kita tak boleh nyanyi lagu dia. Nanti tak masuk syurga." panjang lebar penerangannya.

Kami diam sebentar.

"Habis lagu apa yang boleh nyanyi?" aku try provok.

"Lagu Allah! Ya Hanana, Ya Hanana boleh la. Dia pakai songkok."

Kami diam lagi. Siapa la tune kepala dia ni.

"Habis tu lagu Humpty Dumpty tu mana dia pakai songkok, Pinah boleh nyanyi pula?  Lagu Ten Little Indian, mana dia ada pakai songkok?"

Dengan steady dia bersandar, berpeluk tubuh  sambil menjawab, "Ooh, itu kartun. Tak apa.."

Haa. Menjawab, menjawab!

4.3.15

BERSALIN

4.3.2015
Joy of The World (The Carpenters)

Isteri sahabat saya baru bersalin pagi tadi. Riuh rendah dengan ucapan tahniah dan selamat berpuasa kepada sang suami. Mesej di telegram menderu deru masuk.

Teringat 5 tahun lepas sewaktu isteri hendak melahirkan. Saya ikut masuk ke dalam labor room. Kasihan melihatnya kena kontraksi. Peluh berbiji biji kelihatan di dahi berjurai ke atas bantal.

Saya menggenggam tangan isteri sambil memerhati dan memberi kata semangat. Sebenarnya saya tidak tahu hendak berbuat apa apa,  selain dua perkara itu. Kerana waktu itu kelihatan isteri saya bukan di dalam mood hendak berborak. Jadi saya hanya menggenggam,  memberi semangat sepatah dua dan memerhati dirinya mengerang kesakitan.

Adakalanya saya terlelap sesaat dua sambil berdiri.

Saat genting tiba. Seorang doktor, 3 orang jururawat dan saya di dalam bilik itu. Kami sama sama memberi semangat kepada isteri saya. Keadaan sedikit kelam kabut,  sehingga pada satu tahap saya mengelamun.

Blur. Sehingga ditegur oleh seorang jururawat.

Kemudian seorang nurse memberi arahan:
"Ok. Bila saya kata push,  awak teran kuat kuat ye. Sekuat hati. Ok sekarang,  PUSH!!! "

Saya turut menjerit PUSH!!  Dan saya juga turut terikut meneran diri. Hampir terberak rasanya. Mujur tidak berlaku.

Akhirnya isteri saya selamat melahirkan. Anak saya sihat dan hari ini sedang menikmati field trip ke Putrajaya.

KENAPA YA?

4.3.2015
Where were they when the fun went out (Deepset)
--------------------------

Selesai menonton filem Avengers, saya lantas pergi membasahkan badan sebelum nanti.  Selepas itu,  saya bersiap siap untuk tidur.

Sambil berbaring baring,  saya menyemak telefon. Sudah menjadi  tabiat saya sebelum tidur. Dari satu website ke satu website. Kadangkala mencari ilham untuk penulisan yang selalunya terperuk sahaja di dalam telefon.

Sempat juga saya berbalas mesej dengan rakan.  Beliau mengadu sedikit gelisah lantaran isterinya mahu bersalin. Lagi. Anak ke tiga.

Tahniah. Moga dipermudahkan.

Serentak itu juga saya terfikir sesuatu. Saya merenung siling yang gelap memikirkan apa tujuan kita di dunia ini.

Kenapa kita bersekolah
Kenapa bersusah payah untuk berkahwin
Kemudian memiliki anak mungkin sehingga 4-5 orang
Sanggup bersusah bangun pagi membancuh susu
Berlapar demi anak isteri

Kenapa menyusahkan diri yang sepatutnya mudah?
Kenapa merumitkan keadaan?

Saya kurang pasti jawapannya. Tetapi saya pasti salah tiganya adalah kerana cinta, tanggungjawab  dan keinginan untuk memiliki.

Saya tidak mahu memikirkannya hingga menjadi terlalu rumit,  kerana saya sudah mengantuk. Dan esok pagi perlu memandikan anak saya untuk ke sekolah.

Kenapa saya kena bangun memandikan anak saya?

Kali ini mungkin kerana tanggungjawab.  :-)