setegram

Instagram

18.6.16

#rumahsewakeduasaya

Memasuki tingkatan lima, saya dan rakan bepakat untuk menyewa sebuah rumah kampung berdekatan. Kali ini rumahnya lebih hampir dengan dengan sekolah, walaupun track rekod menunjukkan hampir setiap kali saya lewat ke sekolah.

Rumah kampung yang kami sewa ini besar. Rumah papan bertiang dan bertangga batu. Ada 3 bilik kesemuanya, memiliki dapur yang luas dan garaj untuk repair motor. Sewanya hanya rm150 sahaja. Tuan rumah pula dengan baik hatinya menyediakan dapur gas. Kalau tak silap peti ais pun ada disediakan.

Rumah ini memang betul betul rumah kampung. Lantainya kayu. Ada celahan untuk dibuat ashtray semasa main kad terup. Kalau waktu siang, panasnya bukan main lantaran tiada siling. Pasang kipas speed 100 pun belum tentu boleh kering peluh.

Hari hari awal menginap di rumah sewa ini amatlah menyesakkan. Pemuda kampung di situ tidak menerima kehadiran kami. Asal lalu rumah kami je dia akan pulas minyak motor kuat kuat. Lepas tu buat muka tak puas hati.

Kadang kadang kami geram juga, rasa nak ajak bertumbuk. Tapi bila fikir ini kampung dia, kami cuma marah dari dalam rumah saja.

Tapi satu hari tu ada seorang kawan saya sudah tidak tahan. Telinganya panas mendengar bunyi lalakan dari ekzos pemudah kampung. Berpuluh kali setiap hari. Merasakan dirinya diperlekeh, dia  mula berdepan dengan pemuda yang asyik lalu lalang di depan rumah kami.

Belum sempat bertumbuk, kami dipanggil untuk menghadap budak bujang yang juga menyewa tidak jauh dari rumah kami.

Malam tu kami semua satu rumah dan geng budak kampung duduk berkumpul di dalam rumah bujang tu. Brader tu nama dia aku dah lupa. Tapi malam tu dia tenang betul. Pakai seluar jean dan singlet rock. Pakai bangle besar jari kelingking.

Brader tu membebel entah apa benda tapi objektifnya adalah untuk mendamaikan kami. Agaknya sebab dia pun dah bingit dengar bunyi preng preng hari hari. Antara perkataan yang dia ada sebut adalah 3 line. Sampai sekarang aku ingat lagi. Dipendekkan cerita, kami budak rumah sewa dan budak kampung pun berdamai. Macam tu je secara tiba tiba.

Sejak dari hari itu, rumah sewa itu diisytiharkan rumah port lepas sekolah untuk budak teknik dan sekolah budak budak kampung. Lagi haru jadinya.

***

Selepas 5,6 tahun kemudian barulah aku tahu 3 line tu apa. Hmm.

#rumahsewapertamasaya

Saya tertarik untuk menceritakan tentang rumah sewa pertama saya seperti yang dianjurkan oleh Fdaus Ahmad.

Rumah sewa pertama saya bukanlah sewaktu belajar di universiti atau selepas berkahwin. Tetapi seawal belajar di Sekolah Teknik Melaka, sewaktu di Tingkatan Empat. Selepas mendapat surat tawaran ke sekolah teknik yang menunjukkan saya tidak akan dapat menginap di asrama, hati saya sedikit gusar. Melaka bukanlah kawasan permainan saya waktu itu. Di manalah saya hendak tinggal?

Mujur sewaktu pendaftaran di sekolah tersebut (tingkatan empat) pihak sekolah rupanya telah memberikan beberapa senarai rumah sewa di sekitar sekolah. Saya (dengan restu kedua ibu bapa saya) dan berberapa rakan yang saya baru kenal hari itu memilih untuk menyewa bilik  dengan satu keluarga di sebuah rumah kampung di Solok Bukit Piatu.

Solok Bukit Piatu ini tidaklah saya pasti kedudukan sebenarnya,  samada di dalam kawasan Bukit Baru ataupun Paya Ikan. Tetapi itu tidaklah penting sangat bagi saya. Orang Melaka sendiri pun saya rasa tak ambik port hal ini.

Rumah yang kami sewa itu agak sempit. Tingkap ada pasang jaring hijau,  bertujuan untuk menghalang nyamuk masuk,  tetapi menyesakkan mata dan nafas. Ada katil double decker dengan tilam usang. Biliknya suram sangat. Kadang kadang masuk bilik tu rasa macam nak mengamuk. Jarang benar saya tidur di dalam bilik tersebut kecuali perkara pekara kecemasan seperti hisap rokok. Saya selalunya tidur di rumah tamu belakang sahaja.

Sewa bilik itu dibayar bersekali dengan makanan pagi petang dan malam. Terasa macam bos pulak.  Bangun pagi dah ada sarapan roti bakar, atau cekodok.  Budak dekat asrama pun sarapan nasi goreng kering. Boring. Balik sekolah, selak aje tudung saji. Pasti ada makanan. Lauk wajib adalah telur dadar.

Tuan rumah ini bernama Ramlah.  Kami memanggilnya Mak Melah. Selain business sewa bilik ala ala  breakfast and bed ni, dia juga ada jual jajan dan aiskrim. Selalu juga saya curi aiskrim dan jajannya bila teringin. Minta maaf Mak Melah. Suaminya bekerja di kilang TEAC. Pergi kerja naik basikal dan jarang ada di rumah.

Mak Melah ada 2 orang anak perempuan yang hot dan seorang anak lelaki yang sudah berkeluarga dan tinggal berasingan. Yang perempuan, seorang bekerja kilang, seorang lagi belajar di USM. Setiap pagi kadang kadang kami selalu sengaja mandi lewat, biarkan anak Mak Melah yang kerja kilang tu mandi dahulu. Kemudian dia akan keluar dengan berkemban kain batik dan tuala di bahu.

Barulah segar kami nak ke sekolah hari hari.

Kalau ada anaknya yang belajar di USM tu pulang, kira double bonus lah.

Duduk di rumah Mak Melah tak boleh balik lewat malam. Nanti dia bising. Selalunya pada waktu malam kami pergi lepak di flat Bukit Baru dan balik sekitar 9.30 malam. Kalau terlajak lewat, kau hadaplah suara petir Mak Melah dengan pekat Melaka dia. Kalau tak kena gaya boleh kecik hati.

Itulah serba sedikit kisah mengenai rumah sewa pertama saya. Kisah rumah sewa kedua saya (di tingkatan lima) lebih adventure dan tragis. Kalau ada masa saya ceritalah nanti.