setegram

Instagram
Memaparkan catatan dengan label Bain. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bain. Papar semua catatan

18.9.14

#2


Aku merenung kawasan Sungai Abong dari tingkap pangsapuri rumahku. Dari tingkat 10. Suasana hiruk pikuk.  Jalan raya menjadi sesak. Kenderaan bermacam macam jenis,  bermacam macam warna membuntuti antara satu sama lain. Jalan dua lorong menjadi satu lorong. Jalan satu lorong jadi setengah lorong.


Suasana yang biasa pada setiap hari Selasa. Hari pasar malam di Sungai Abong.
Hujan pula turun dengan lebatnya sejak pukul 3 petang tadi. Tapi sekarang sudah renyai renyai. Awan sudah memberi laluan kepada matahari untuk bersiaran semula untuk 2-3 jam ini,  sebelum bertukar syif dengan bulan. Aku merenung jam di tangan ku.
Sudah pukul 4.30 petang.  

"Dah boleh dah ni.. " bisik ku pada diri sendiri.

Sudah sampai masanya untuk aku mengemas payung khemah,  meja,  dan barangan jualan ke dalam van mini ku  untuk ke pasar malam Sungai Abong. Sepelaung sahaja dari rumah aku jaraknya. Ikutkan hati,  pukul 5 nanti baru aku nak turun,  tapi bila tengok mak aku gelisah semacam je bila aku buat rilek tadi,  aku pula jadi tak tentu arah. Mesti dia syak aku dah jadi pemalas,  tak nak berniaga hari ini.

"Bukan tak hendak meniaga mak.  Tapi tunggu lah hujan reda sedikit. Nanti Bain pergilah"
Aku menjawab,  tapi dalam hati je la.

Pukul 5 aku sudah terpacak di tapak pasar malam. Sambil menunggu pelanggan,  aku juga menunggu seseorang yang istimewa buatku. Panjang leher ku mencari kelibatnya.  Selalunya waktu orang keluar pejabat ni,  mesti dia singgah di gerai ku untuk membeli mee siput power. Tetapi hingga kini,  batang hidung pun belum nampak.

"Bang Bain,  bang Bain"

Terkejut aku sebaik memalingkan wajahku ke atas. Aku yang dari tadi sibuk membungkus sos untuk mee siput hampir terperanjat bila dia muncul di hadapan ku.

Memperkenalkan, Maryam.

Maryam adakah salah seorang dari pelanggan aku. Tetapi pada aku dia adalah pelanggan yang paling istimewa. Kalau dia beli satu,  mesti aku beri dua. Kalau beli dua,  aku beri tiga.  Kadang kadang aku beri sampai lima. Sampai dia malu hendak berurusan di gerai aku.

Gadis ini berumur 25 tahun.  Sebaya denganku. Body nya sedap mata memandang. Rambutnya panjang separas bahu,  bawah sedikit. Dia tinggal di kawasan bandar,  dan datang kerja dengan menaiki skuter.

Maryam bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kawalan keselamatan kepunyaan Mail Kerabu. Mail Kerabu itu pula adalah ayah saudaranya. Mail Kerabu juga ada masalah dengan aku. Aku pun ada masalah dengan Mail Kerabu. Tetapi masalah aku paling besar adalah aku sukakan Maryam.
"Bagi saya mee siput dua sahaja bang. Jangan tambah.  Kalau tak nanti saya tak nak beli lagi."

Aku tersenyum memandangnya. Wajahnya betul betul mencairkan hati aku. Kadang kadang terasa segan pula melihat dirinya yang kemas,  berbanding diriku yang selekeh ini.

Dengan cermat aku membungkus pesanan Maryam itu.
"Nah. Hari ni saya tak bagi free.  Nanti awak tak datang lagi. "

Wang bertukar tangan.
"Terima kasih bang Bain. " sopan sungguh.

Dan aku memerhati kelibatnya yang semakin lama semakin menjauh.
Macam mana la mak aku boleh fikir aku tak nak berniaga hari ni. Melepas la aku nak menatap wajah Maryam nanti.

(bersambung)

#1

Memasuki ruang kedai yang kecil ini membuat aku rasa senang sekali. Selesa sekali.  Dengan cermin berbingkai gaya lamanya,  kerusi empuk boleh laras, haruman bedak Holiday Ice, serta bau bauan lain  yang sinonim dengan suasana kedai gunting rambut. Ruangnya tidaklah besar mana. 10 kaki lebar dan memanjang ke dalam sebanyak 40 kaki. Kecil tetapi padat dengan segala perkakas. Begitu juga sisa rambut yang hanya disapu pada penghujung waktu kerja nanti. Belum masuk lagi longgokan suratkhabar Kosmo yang dikumpul dari tahun lepas. Untuk dijual ke lori kitar semula barangkali.

Pengunjung kedai ini juga sepanjang masa didendangkan dengan lagu lagu 50an, atau mungkin 60an melalui saluran radio Klasik Nasional. Belum pernah lagi aku dengar kedai ni pasang radio dari siaran Era, Sinar atau yang lain. Hitz  Fm lagilah jauh. Dan kedatangan aku hari ini disambut dengan lagu Mengharap Sinar Menelan Kabus nyanyian Ahmad Jais. Intronya sahaja sudah membuatkan aku bersemangat tadi.

Walaupun kedai gunting rambut  ini kecil sahaja,  tetapi sejarahnya pada aku besar.  Dari aku berumur 3 tahun dibawa oleh bapak, sampailah sekarang sudah besar panjang ni,  setiaku masih di sini. Pernah juga sekali sekala aku mencuba gunting di kedai lain, tetapi feel dia tak sama. Lagi satu kedai lain tak pasang lagu Ahmad Jais.

"Ha, hang nak buat macam mana hari ni?  Biasa? "

**

Ha, pakcik yang tegur aku ni namanya Pakcik Roslan. Tauke merangkap kuli kepada kedai ini. Asal dari Kedah.  Orang sekitar sini memanggilnya Roslan Gusi. Sebab bila dia ketawa,  orang lebih nampak gusinya dari gigi. Tapi ada juga orang panggil dia Roslan Gunting,  atau Roslan Cukur,  atau Roslan Sideburn atau...atau apa apa sahajalah. Pakcik Roslan tak kisah. Cuma jangan panggil dia Ros sudahlah. Kena hambat nanti. Tetapi dalam diam aku memanggilnya Pakcik Ros.

"Macam biasa la Pakcik Ros...lan. Botak. Atas pakai nombor tiga,  tepi pakai nombor satu".

Aku duduk di atas kerusi empuk berwarna coklat yang dibalut dengan material dari kulit sintetik. Kalau 15-20 tahun yang lalu, aku juga duduk di atas kerusi yang sama, tetapi beralaskan bangku kayu kerana kepala kerusi lagi tinggi dari kepala aku. Bayaran pun murah. Iya lah, kepala budak kecil. Kadang kadang,  kalau mood Pakcik Ros baik,  dia tak ambil bayaran pun dari bapak aku.
Kain alas berwarna hitam dihampar ke badan aku, kemudian disangkut di leher dengan menggunakan penyepit.

Pakcik Ros memasang tapak nombor tiga di mesin ketam sambil memandang aku tanpa sebarang ekspresi muka. Aku senyum senipis mungkin.

Ngggggggg....
Mesin bertemu di kepala dan rambut pun berguguran.

Dan aku. 

Nama aku Bain. Bain bin Mukmin. Seorang pemuda berumur 25 tahun yang tiada kecacatan fizikal mahupun mental. Sihat tubuh badan. Bekerja sebagai peniaga Mee Siput di pasar malam Sungai Abong. Dan aku tinggal di pangsapuri peninggalan arwah bapak bersama sama dengan emak dan adik lelaki aku,  Usop. Hobi aku, pergi melepak di kedai Pakcik Ros, dan mengunting rambut gaya botak.


Dan ini kisah hidup aku.

(sambung,  penat. )