setegram

Instagram

20.7.14

PUAN HASHIMAH


Cikgu bahasa Inggeris aku masa darjah 5 pula ialah Puan Hashimah. Puan Hashimah ni orangnya sedikit garang.  Susah juga aku nak nampak dia senyum.  Sesuai lah dengan jawatannya sebagai Guru Penolong Kanan sekolah,  tak silap aku lah.

Dia pernah glamor sekejap dekat sekolah dulu,  sebab muka dia masuk surat khabar. Dia dapat nombor tiga dalam pertandingan Courts Mammoth. Pertandingan yang kena duduk dalam kubikel lepas tu kutip duit tu.

Aku ingat lagi ada satu kali tu Puan Hashimah masuk dengan muka masam dan berjalan laju. Satu kelas tak sempat nak cakap 'Good Morning Teacher' dia dah buka mulut menyoal:
"Kalau orang Indonesia kita panggil apa?"

Satu kelas terkial kial.

"Orang Indonesia kita panggil Indonesian la." Sendiri tanya sendiri jawab.

"Kalau orang Malaysia?"
"Malaysian..!" Dah pandai dah.

"Kalau England?"
"Err.. Englanddd."

Dia merenung tajam. Matanya tajam memerhati kami secara rawak. Semua tak berani angkat muka.

"Suka hati je!  Macam mana nak pergi England nanti kalau benda macam ni pun tak tahu!?"

Eleh, siapa nak pergi England.

CIKGU FATIMAH


Masa darjah 6 dahulu,  aku ada crush dengan satu cikgu ni. Sebenarnya bukan aku seorang,  tetapi semua budak lelaki dalam kelas tu ada memendam rasa pada cikgu ni.

Cikgu bahasa Inggeris kami,  Cikgu Fatimah namanya. Agaknya.  Aku ingat ingat lupa namanya. Kita panggil Cikgu Fatimah sahaja.

Cikgu Fatimah ni orangnya cantik, berkulit cerah,  muda,  suka pakai baju kurung kain cotton. Kalau dia mengajar,  semua budak tekun, pandang sahaja mukanya,  walaupun ada beberapa pelajar yang pandangan mereka tembus ke dinding.

Aku paling suka kalau dia tanya "any question?". Bila dia buka mulut, berebut budak angkat tangan nak tanya soalan. Bila budak tanya soalan,  selalunya dia akan pergi ke meja budak tersebut.

Masa tu kami beramai ramai akan datang mengelilinginya. Bukan nak belajar,  tapi nak ambil bau sebab Cikgu Fatimah tu wangi sangat.

Oh harumnya...