Aku tidak pasti sama ada perkara ini hanya berlaku pada aku seorang ataupun sebaliknya, tetapi setiap kali aku datang ke sesuatu tempat itu lebih dari satu kali, aku pasti akan ada satu tandas kegemaran.
Aku ada tandas kegemaran semasa di hostel dahulu, semasa di pusat membeli belah kawasan ku, semasa di tempat kerja dan banyak lagi. Sekali aku sudah masuk ke dalam tandas tersebut dan puas hati dengan keadaan dalamannya, memang aku tidak akan ke tandas lain. Ramai macam mana pun, sesak macam mana pun aku akan tetap tunggu. Setia betul aku pada tandas.
Begitu juga semasa aku di sekolah teknik dahulu. Aku ada satu tandas yang amat aku gemar. Tandas itu aku jaga baik-baik. Tip top punya servis aku bagi. Lantai tidak berlumut atau berlecak, penutup pam dipasang dengan rapi. Baldi dan gayung sentiasa tersedia. Kalau gayung hilang, aku rembat dari tandas sebelah.
Waktu yang lama aku peruntukkan di dalam tandas juga menyebabkan aku mula berkarya. Aku tidak ingat bagaimana ia bermula tetapi waktu itu aku di dalam emosi yang tidak stabil, dan kebetulan membawa sebatang marker pen. Seperti biasa, untuk menenangkan diri sebentar aku masuk ke dalam tandas. Terletak di tengah-tengah sekali. Sambil bersandar di dinding tandas, aku merenung pintu tandas yang suci mulus itu.
Dengan tidak semena mena, seperti dikawal oleh kuasa luar aku melakar satu wajah yang aku tak berapa gemar waktu itu. Aku melukis wajah guru HEM sekolah.
Walaupun tak ada rupa dia sangat, tetapi aku puas hati betul. Kemudian aku tulis sedikit 'caption' di bawah gambar tersebut:
'Orang gila Bukit Piatu'
Puas hati aku. Lantas aku keluar dari tandas dan ke kelas semula. Hilang segala geram aku pada orang tua itu.
***
Esok pagi waktu rehat aku masuk ke dalam tandas kesayangan.
Sudah separuh penuh daun pintu tandas itu dengan contengan. Dan semua contengan itu seperti berkomunikasi antara satu sama lain.
Ada orang tulis 'Hoi siapa lukis muka Karim ni?' Kemudian ada tangan lain membalas 'tak macam Karim pun?' dan satu tangan lagi menulis 'Macam Beruk', merujuk kepada lukisan aku.
Di sudut sebelah kanan pintu pula bertulis 'Hoi jangan conteng lah! ' dan disusuli dengan tangan yang lain 'Kau tulis tu bukan conteng ke b**i'?'
Dan banyak lagi contengan dan dialog yang kelakar.
Dan menyebabkan aku semakin ketagih, semakin sayang kepada tandas tersebut.
'Kami', yang saling tidak mengetahui siapa yang menconteng terus aktif bergiat aktif berkarya di daun pintu tandas sehinggalah pada penghujung tahun itu, pintu tandas dicat semula oleh pekebun sekolah.